Jumaat, 18 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Red Warriors bedil Gladiators

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my

PENYERANG Kelantan, Mohd. Nor Farhan Muhammad diasak pemain ATM, Nor Fazly Alias pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

SELAYANG - Pentas akhir Piala Malaysia semakin menggamit juara bertahan, Kelantan, apabila meraih bekalan yang cukup berharga untuk dibawa ke Kota Bharu melalui kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua watak penting yang membawa kemenangan The Red Warriors adalah Mohd. Badhri Mohd. Radzi yang menjaringkan gol pertama pada minit ke-12 sebelum jaringan kemenangan dicipta Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-78.

Christie Jayaseelan menjaringkan gol sagu hati buat ATM pada minit ke-19 yang sekadar gol penyamaan sementara namun itu masih belum cukup untuk memberikan Kelantan satu kelebihan selesa dengan dua gol di tempat lawan.

Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol ATM, Farizal Harun, skuad kendalian B. Sathianathan pasti kalah dengan keputusan yang lebih teruk ketika barisan pertahanan yang diketuai Shukor Adan begitu sukar mengawal kekuatan fizikal yang ada pada penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme.

Selain itu, faktor keletihan dialami oleh kebanyakan pemain ATM yang berusia 30an ke atas bijak diambil kesempatan oleh pasukan pelawat pada 20 minit terakhir permainan dengan melancarkan serangan pantas bertali arus selain kecederaan yang menimpa Norfazly Alias.

Kelantan menggamatkan suasana di Selayang terlebih dahulu apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-12 melalui pemain pujaan The Red Warriors, Badhri Radzi. Badhri atau lebih popular dengan nama jolokan Piya meledak melalui rembatan jarak jauh dari luar kotak selepas melakukan tindakan susulan percubaan Nor Farhan Muhammad.

The Gladiators tidak menunggu masa terlalu lama memadamkan kelebihan pelawat apabila Christie dalam situasi yang tidak diduga bijak menghukum kealpaan pertahanan Kelantan, enam minit kemudian.

Fitri Omar yang sebelum itu gagal melunaskan peluang keemasan pada minit kesembilan, sekali lagi menghampakan rakan-rakan sepasukan apabila bola sepakannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan pada minit ke-51.

Pada minit ke-71, Kelantan seharusnya boleh kembali berada di hadapan namun K. Reuben menjadi penyelamat ATM apabila dapat mengeluarkan bola di atas garisan gol hasil percubaan Nor Farhan.

Bagaimanapun, Nor Farhan menebus kembali kehampaannya pada minit ke-78 selepas berseorangan di dalam kotak penalti dan mudah menewaskan Farizal yang tidak dapat berbuat apa-apa.

Kemenangan tak cukup besar - Farhan

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

SELAYANG - Kejayaan 2-1 di tempat lawan belum cukup melegakan penjaring gol kemenangan Kelantan, Mohd. Nor Farhan Muhammad, yang menganggap mereka sepatutnya menang dengan keputusan lebih besar.

Sekurang-kurangnya 3-1, itulah keputusan yang diinginkan oleh pemain berusia 28 tahun berkenaan berdasarkan banyak peluang tercipta sepanjang perlawanan namun disia-siakan ekoran penyudah yang tumpul.

''Ini adalah satu keputusan yang kurang selesa sebenarnya untuk dibawa ke Kota Bharu kerana berdasarkan apa yang kami tunjukkan malam ini, kami sepatutnya dapat jaringkan lebih banyak gol lagi.

''Jika dapat lebih daripada dua jaringan melalui kemenangan 3-1, baru saya anggap itu sebagai satu bekalan yang selesa.

''Walaupun begitu, saya tetap berasa sedikit gembira kerana kita masih mampu mengakhir perlawanan ini dengan kemenangan selepas melakukan serangan bertubi ke arah pintu gol lawan," katanya yang ditemui sejurus perlawanan ATM dan Kelantan berakhir, semalam.

Nor Farhan dalam masa yang sama mengingatkan ATM bukan sebuah pasukan yang cepat mengaku kalah dan merasakan mereka pasti akan cuba bangkit di Stadium Sultan Muhammad IV, minggu hadapan.

Kemenangan 3-1 pada saingan Liga Super yang berpihak kepada ATM menjadi bukti paling nyata yang saingan antara kedua-dua pasukan bagi memburu tike ke pentas akhir masih terbuka.

''Dalam dua tahun ini, rekod ATM tiap kali bertandang ke Kota Bharu cukup baik dan itu tidak boleh membuatkan kita berasa cukup selesa pada saingan separuh akhir kedua.

''Perjuangan masih belum selesai dan kita mesti mensasarkan satu lagi kemenangan bagi membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir dan seterusnya mempertahankan kejuaraan yang kita miliki tahun lalu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved