Jumaat, 18 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Fahami keputusan kalimah Allah

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh Salleh Buang
PENULIS ialah penganalisis undang-undang.

Barisan peguam bela mengadakan sujud syukur selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan di dalam The Catholic Weekly. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kerajaan. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

Dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 yang lain lwn Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No. W-01-1-2010), Mahkamah Rayuan telah menyatakan, dalam satu dokumen 4 muka surat bertajuk "Ringkasan Keputusan" (Summary of Decision) bertarikh 14 Oktober 2013, ditandatangani oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, bahawa kes ini adalah satu rayuan daripada keputusan Mahkamah Tinggi ekoran satu permohonan semakan kehakiman mengenai satu syarat yang telah dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri dalam permit penerbitan The Catholic Weekly.

Syarat yang telah dipertikai oleh Roman Catholic Archbishop itu adalah larangan menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan itu. Dalam keputusan Mahkamah Tinggi di akhir pendengaran semakan kehakiman itu, Hakim telah membenarkan permohonan Archbishop.

Intipatinya, Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri tidak boleh mengenakan syarat yang dipertikai itu. Ini bermakna penerbitan The Catholic Weekly itu boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Menteri Dalam Negeri dan lapan pihak lain (termasuk Kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam beberapa negeri dan Persatuan Muslim Cina Malaysia) telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Di akhir pendengaran rayuan ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan perayu.

Intipatinya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa syarat yang dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah sah, dan oleh itu kalimah "Allah" tidak boleh digunakan dalam penerbitan The Catholic Weekly.

Di bawah sistem kehakiman negara, pihak yang masih terkilan di peringkat rayuan kali pertama masih boleh lagi membuat rayuan kali kedua ke mahkamah yang lebih atas, tetapi ini bergantung kepada "izin" (leave) diperolehi daripada mahkamah yang di atas itu (iaitu dalam kes ini, izin atau kebenaran Mahkamah Persekutuan).

Andainya Mahkamah Perekutuan memberi izin dan bersedia mendengar rayuan daripada Archbishop, kes ini akan sekali lagi didengar di mahkamah. Tidak siapa boleh meramalkan bagaimana Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini nanti.

Jika izin untuk merayu kali kedua tidak diberi, kes ini berakhir di sini sahaja.

Hakim Mohamad Apandi menyatakan, dalam Ringkasan Keputusan tersebut, bahawa undang-undang semakan kehakiman di negara ini sudah jelas. Katanya lagi ada tiga kategori kes di mana satu keputusan pentadbiran (administrative decision) itu boleh disemak oleh mahkamah iaitu bila berlaku illegality, irrationality and procedural impropriety.

Maksudnya satu keputusan yang dibuat oleh seorang Menteri itu boleh disemak oleh mahkamah sekiranya ia didapati menyalahi undang-undang, tidak rasional (dalam bahasa mudah, tidak masuk akal), dan sekiranya ia menyalahi prosedur yang ditetapkan.

Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah pihak-pihak berkenaan, Hakim Apandi menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati Menteri telah bertindak dengan betul, dan tidak ada asas atau sebab mahkamah perlu menggugat atau campur tangan dengan keputusan yang dibuat olehnya ("It is our considered finding that the Minister has not acted in any manner or way that merit judicial interference on his impugned decision.")

Hakim Mohamad Apandi juga menyatakan bahawa kalimah "Allah" bukan satu bahagian dalaman yang penting bagi kepercayaan dan amalan orang Kristian" (not an integral part of the faith and practice of Christianity.")

Berasaskan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa Menteri Dalam Negeri telah menjalankan tugasnya dan melaksanakan kuasa statutorinya di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 dengan betul, dan oleh itu tidak ada sebab yang munasabah bagi Mahkamah Tinggi menggugat atau campur tangan dengan keputusan Menteri itu ("Thus, there is no plausible reason for the High Court to interfere with the Minister's decision").

Hakim Mohamad Apandi seterusnya menyatakan "penjelasan dan alasan yang lebih terperinci" keputusan Mahkamah Rayuan ini boleh dibaca dalam penghakiman bertulis berasingan yang telah disediakan oleh ketiga-tiga ahli panel mahkamah, iaitu oleh Hakim Datuk Apandi sendiri, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim serta Hakim Mohd Zawai Salleh.

Penghakiman bertulis Hakim Mohamad Apandi adalah setebal 43 muka surat, manakala penghakiman bertulis Hakim Abdul Aziz adalah setebal 34 muka surat, dan penghakiman bertulis Hakim Mohd Zawawi adalah setebal 25 muka surat.

Untuk berlaku adil kepada tiga orang ahli panel Mahkamah Rayuan ini, siapa sahaja yang ingin membuat komen atau memberi pandangan mengenai keputusan mahkamah aras kedua di negara ini hendaklah terlebih dahulu membaca sepenuhnya dengan teliti, sambil berlapang lada dan dengan minda terbuka.

Pendek kata, bersedialah terlebih dahulu membaca dan menilai penghakiman bertulis setebal 100 muka surat semuanya sebelum cuba memberi sebarang komen anda.

Sahabat sering bertanya kepada saya kenapa saya berkeras sangat menentang kalimah "Allah" digunakan dalam Bible bahasa Melayu. Saya jawab bahawa bagi umat Islam, kita tak perlu pergi jauh; cukup dengan mengingatkan semula Surah al-Ikhlas, ayat pertama yang jelas mengingatkan kita bahawa "Allah itu satu".

Berbeza dengan penganut Agama Kristian - yang mempercayai ada Tuhan, ada anak, dan ada ruhul kuddus (Father, Son, Holy Ghost).

Saya berasa lega bahawa pendekatan yang sama diambil oleh Hakim Mohd Zawawi dalam penghakimannya.

Nampaknya ramai yang masih terus menerus mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan ini, termasuklah seorang bekas Menteri. Tak tahulah sama ada pengkritik dan pengulas ini telah pun membaca sepenuhnya teks penghakiman tiga orang Hakim ini ataupun sebaliknya.

Kali ini perubahan mesti berlaku

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh Azman Anuar

Hari ini, akan tercipta satu lagi sejarah di bahagian-bahagian UMNO. Sebab, hari ini pemilihan kepimpinan UMNO Bahagian dan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan ditentukan.

Semalam dan kelmarin barangkali ada cawangan mengadakan solat sunat Istikharah untuk mendapat petunjuk Allah SWT sebelum mereka memilih barisan kepimpinan Bahagian dan MT hari ini.

Mereka akan memilih saf kepimpinan untuk tempoh tiga tahun, tetapi lazimnya ia berlarutan hingga lima tahun.

Pemilihan UMNO 2013 bersejarah kerana sejak penubuhannya pada 1946, UMNO membuat satu perubahan paling 'bermakna', paling radikal dan paling besar sekali dalam sejarah perjuangan parti keramat ini.

UMNO perlu membuat pindaan perlembagaan ikut kesesuaian semasa. Selepas UMNO diharamkan pada 2 April 1988, diperketatkan proses pemilihan dalam parti itu. UMNO menetapkan sistem bonus, dan menentukan sistem kuota.

Perkara itu dibuat kerana UMNO tidak begitu yakin terhadap kestabilan dalam parti yang didaftar semula ketika itu. Tetapi pada kali ini UMNO ambil keputusan untuk menghapuskan terus sistem kuota bukan sahaja untuk jawatan ketua bahagian tetapi juga jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, dan ahli majlis tertinggi.

Pemilihan kali ini menyerahkan kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukan pilihan masing-masing.

UMNO dilihat serius untuk kembali kepada UMNO asal. UMNO kuat pada awal penubuhannya kerana ia menjadi parti gerakan massa. UMNO bukan parti elit, bukan milik mana-mana golongan bangsawan atau mana-mana kumpulan. UMNO menghimpunkan semua latar belakang golongan Melayu dan bumiputera.

Sejak 12 Oktober lalu dan hari ini, UMNO mahukan pembaharuan dalam memilih pemimpin. Tetapi janganlah pembaharuan itu hanya mengikut perlembagaan baharu sahaja. UMNO juga kena menukar sifat dari segi budaya dan sikap.

Banyak pemerhati politik dan ahli UMNO sendiri sedar, parti ini tidak prihatin pada generasi baru. Inilah yang menyebabkan golongan muda menjauhi parti itu.

Mereka jauh daripada UMNO bukan sebab tidak menyokong parti ini tapi UMNO sendiri tidak memberi tempat kepada mereka.

Antara perubahan perlembagaan UMNO pada 2009 dan baharu dilaksanakan sekarang cuba membina pemikiran baru dan membuka peluang kepada golongan muda.

Sistem pemilihan UMNO kini menjadi lebih demokratik. Ruang dan peluang diberikan kepada akar umbi untuk melahirkan barisan kepimpinan yang lebih mantap.

Pemimpin yang terpilih menerusi sistem baharu ini bukan sahaja dipilih secara demokratik malah pemimpinnya lebih berwibawa.

Oleh itu, jangan sekali-kali ahli UMNO cuba merosakkannya, mengeksploitasi sistem pemilihan baharu ini. UMNO tahu akan akibatnya.

Pilihlah pemimpin bahagian dan MT yang berketerampilan, punya imej bersih, berintegriti dan disenangi masyarakat.

Sudah lama kita mendengar kesediaan UMNO untuk berubah. Proses perubahan ini mesti dilakukan oleh para perwakilan di bahagian yang menjadi pemilih. Proses perubahan yang diharapkan ini mesti berlaku dalam pemilihan kali ini sebagai bekalan bagi menghadapi PRU-14.

Gunalah kuasa undi untuk membuat perubahan dalam barisan kepimpinan sekiranya ada pemimpin tidak lagi relevan untuk memimpin.

Sekiranya perwakilan mahukan perubahan dalam UMNO, pencenkan calon-calon yang korup, tidak amanah, tidak bermoral dan tidak berakhlak.

Bukan sahaja ahli UMNO, rakyat juga menunggu untuk melihat perubahan berlaku dalam kepimpinan UMNO. Sekiranya tidak ada perubahan, maka UMNO akan kehilangan sokongan rakyat dalam PRU-14 nanti.

Perkembangan itu sekali gus bermakna tidak ada lagi parti keramat yang sekian lama menunjangi politik negara ini. Kuasa berada dalam tangan 146,500 perwakilan hari ini dan merekalah yang akan menentukan nasib UMNO dalam PRU-14 nanti.

Orang Melayu/ bumiputera serta rakyat tidak akan jemu-jemu memerhati apa yang UMNO katakan dan lakukan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved