Sabtu, 19 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Isyarat mahu perubahan dalam UMNO

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

Sebahagian barisan Puteri UMNO menunjukkan tanda sokongan kepada Calon Naib Presiden UMNO, Mukhriz Mahathir di Pemilihan UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, semalam.

KEHADIRAN Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir ternyata mengubah corak pengundian pemilihan UMNO kali ini apabila beliau memberi saingan yang cukup sengit bagi menduduki salah satu kerusi Naib Presiden.

Biar pun akhirnya tewas, namun beliau boleh dianggap mencapai kemenangan dari segi sokongan apabila beliau bukan sahaja berjaya mengubah kedudukan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dari tempat kedua sebelum ini kepada tempat ketiga tetapi juga undi popular beliau dikatakan turut meninggalkan Menteri Pertahanan itu.

Perolehan undi itu dianggap isyarat perwakilan bahawa mereka mahukan perubahan dan sekurang-kurangnya ia mahu dilihat pada kedudukan kerusi Naib Presiden. Bagaimanapun impian itu tidak tercapai kerana masih lagi ramai lagi perwakilan beranggapan Hishammuddin tidak harus dikorbankan hanya semata-mata kerana persepsi ketika beliau mengetuai Kementerian Dalam Negeri.

Hishammuddin seolah-olah sudah menyedari bahawa persepsi di kementerian itu akan mengugat kedudukan beliau apabila ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Sembrong, beliau menempelak pihak-pihak tertentu yang menganggap beliau lembik ketika mengetuai KDN.

Hishammuddin menyifatkan, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau itu jelas tidak berasas dan berkemungkinan mempunyai sebab tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil terhadap dirinya.

Jauh sekali saya lembik. Kalau lembik, negara sudah huru-hara. Kalau lembik, tidak mungkin saya bawa pindaan perlembagaan kepada parti.

Kalau lembik, tidak mungkin saya dapat bertahan selama lima tahun bersama KDN, melalui pilihan raya umum ke-13 lepas dalam keadaan aman dan selamat, dan tidak mungkin dapat melalui pemilihan parti pada hari ini, katanya.

Namun penjelasan Hishammuddin itu dianggap sudah terlewat apabila persepsi terhadap beliau banyak mengganggu perolehan undinya.

Selain itu, ramai pemerhati politik melihat sokongan dua sayap parti khususnya Pemuda UMNO turut sedikit sebanyak mengganggu kelancaran undi kepada Hishammuddin.

Ia memandangkan ramai perwakilan memahami sentimen politik yang berlaku antara Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Mukhriz. Oleh itu mereka melontarkan undi kepada Mukhriz sebagai isyarat kepada Ahli Parlimen Rembau tersebut. Malah bahagian Rembau yang Khairy menjadi Timbalan Ketua Bahagian turun melontarkan undi kepada Mukhriz.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin juga dipaksa berhadapan perubahan kecenderungan mengundi oleh perwakilan di sebahagian besar bahagian-bahagian. Biar pun sebelum ini, maklumat yang diterima banyak bahagian akan mengundi beliau tetapi mereka dikatakan mengubah pendirian di saat-saat akhir.

Apatah lagi, perwakilan dikatakan tidak berpuas hati apabila ada khabar angin yang menyatakan ada arahan supaya mereka mengekalkan ketiga-tiga naib presiden. Biar pun hakikatnya, langkah itu mungkin bertujuan untuk memburuk-burukkan ketiga-tiga penyandang tetapi Hishammuddin menerima tempias paling banyak.

Keadaan itu memungkinkan ketika dua lagi penyandang Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal terus selesa mengutip satu demi satu undi daripada 191 bahagian sehingga diisytihar menang lebih awal, Hishammuddin pula terpaksa bergilir-gilir dengan Mukhriz mengutip undi.

Hishammuddin mendapat kesemua 14 undi bahagian di Pahang dan 25 undi bahagian di Johor manakala Mukhriz pula mendapat kesemua 15 undi bahagian di Kedah manakala tiada satu bahagian pun di negeri itu memberi undi kepada Hishammuddin.

Gelombang

Biarpun gagal menempatkan diri dalam barisan Naib Presiden namun Mukhriz telah memberi isyarat yang jelas bahawa beliau mempunyai sokongan cukup kuat dalam UMNO cuma jumlahnya sahaja belum mampu menggerakkan beliau untuk menduduki tempat sebagai naib presiden. Tetapi satu fakta yang tidak boleh diketepikan, Mukhriz telah berjaya membawa satu gelombang perubahan dalam penentuan kepimpinan melalui slogan Berani Berubah.

Kenyataan beliau yang sebelum ini mahu perwakilan mengundi mengikut suara hati ternyata berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi yang merasakan pemilihan kali ini perlu memberi isyarat kepada rakyat bahawa UMNO dalam landasan untuk berubah.

Kejayaan Ahmad Zahid sememangnya sudah diduga berikutan populariti beliau yang melonjak selepas mengetuai Kementerian Dalam Negeri dan sebelum ini memainkan peranan besar ketika Ops Daulat di Lahad Datu.

Ahmad Zahid secara tidak rasmi dikatakan menguasai hampir keseluruhan undi bahagian dan memperolehi undi popular yang mencecah lebih 50,000 undi.

Manakala imej menteri kampung pula ternyata menyebelahi Shafie. Walaupun pada mulanya beliau dikatakan menghadapi laluan sukar untuk mendapat undi dari Sabah, namun Shafie berjaya melepasi rintangan itu, apabila setakat pukul 12 tengah malam tadi, beliau memperolehi 15 undi bahagian daripada 25 bahagian di Sabah.

Kemenangan itu membuktikan Shafie mempunyai kekuatan akar umbi yang luar biasa di seluruh negara dan ini bertepatan dengan keyakinan beliau sebelum ini bahawa sebarang taktik politik yang bertujuan menghalang perolehan undi beliau tidak akan berjaya kerana mempunyai sokongan di peringkat tersebut.

Bagi Pengerusi Felda Tan Sri Isa Sama dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Datuk Seri Ali Rustam, era mereka boleh dianggap berada di penghujung untuk menempatkan diri dalam barisan kepimpinan UMNO di peringkat pusat.

Perolehan sebanyak enam undi oleh Isa dan tujuh undi oleh Ali, jelas menunjukkan bahawa perwakilan mempunyai perhitungan tersendiri dalam menentukan barisan kepimpinan UMNO kali ini.

Sementara itu bagi kerusi Majlis Tertinggi, perwakilan ternyata mengamalkan pengundian secara berpakej bagi menteri dan timbalan menteri.

Malah dalam memilih pakej tersebut, faktor umur ternyata tidak menjadi perhitungan perwakilan sebaliknya mereka melihat keupayaan melaksanakan tugas.

Ini terbukti apabila mereka memastikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek,67, berada dalam senarai 25 ahli MT yang terpilih.

Turut mendapat tempat setakat pukul 1 pagi ini melalui keputusan tidak rasmi ialah calon paling muda iaitu Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut memenangi kerusi Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.

Kini pemilihan UMNO sudah berakhir, janganlah ada lagi spekulasi yang bukan-bukan terhadap keputusan yang dibuat oleh perwakilan. Belajarlah untuk menghormati keputusan mereka.

Tidak kira berapa pun jumlah undi yang mereka perolehi, sekarang bukan masa untuk yang menang mendabik dada dan yang kalah membawa diri. Sebaliknya, mereka perlu kembali merapatkan barisan untuk membuat persiapan turun ke medan perang iaitu pilihan raya yang akan didahului dengan pertempuran di Dewan Undangan Negeri Sungai Limau pada 4 November ini.

UMNO telah berjaya menempah sejarah melalui pengundi melalui sistem elektoral, oleh itu biarlah sejarah ini akan diiringi dengan sikap berlapang dada semua peringkat dalam parti itu menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan.

Ingatlah sejauh mana pun perancangan dan usaha manusia akhirnya Allah juga penentu segala-galanya. Sama ada menang atau kalah, tewas atau tersingkir, terpilih atau terhumban, ia pasti ada hikmahnya.

Mesej perwakilan

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

Bisik-Bisik Mingguan

BANYAK isyarat yang boleh ditafsir daripada keputusan pemilihan UMNO terutama bagi jawatan Naib Presiden, semalam.

Ketiga-tiga calon penyandang Naib Presiden iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Mohd. Shafie Apdal dan Hishammuddin Tun Hussein terus diberi mandat oleh para perwakilan.

Zahid mengekalkan reputasinya sebagai calon paling popular. Beliau memperoleh undi terbanyak dalam sistem pemilihan baharu yang menyaksikan 146, 500 perwakilan mengundi serentak di 191 bahagian di seluruh negara.

Kejayaan Zahid menepati ramalan banyak pihak yang mengiktiraf peranan beliau dalam memperjuangkan agenda Islam dan bumiputera selain sebagai Menteri Dalam Negeri yang tegas.

Turut menarik perhatian kemenangan Shafie yang mendapat undi kedua tertinggi selepas Zahid.

Kejayaan itu memberi mesej bahawa tokoh dari luar Semenanjung terus mendapat kepercayaan para perwakilan. Seorang lagi penyandang, Hishammuddin bagaimanapun berdepan dengan laluan mencabar sehingga tengah malam sebelum menang. Menang tetap menang tetapi popularitinya merosot. Beliau tentunya perlu mengadakan post mortem yang serius selepas ini.

Hishammuddin menghadapi saingan terdekat daripada calon muka baharu, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir. Dua calon lagi, Mohd. Ali Rustam dan Mohd. Isa Samad ketinggalan jauh di belakang.

Ternyata Mukhriz memberi impak besar biarpun tewas. Pencapaiannya semalam membuktikan beliau menjadi pemimpin muda paling popular dalam kalangan perwakilan semua peringkat pada pemilihan kali ini.

Biarpun Mukhriz pertama kali bertanding, tidak berkempen secara berpasukan, lewat isytihar bertanding dan tidak menerima sokongan terbuka daripada pimpinan sayap-sayap parti - perwakilan akar umbi menyokong beliau.

Ia adalah isyarat yang jelas bahawa perwakilan di peringkat ketua-ketua cawangan terutamanya, berani mengambil pendirian berbeza.

Inilah dinamika dalam sistem pemilihan kali ini yang lebih demokratik dan inklusif. Kepada Ali dan Isa, para perwakilan tidak melihat mereka sebagai calon kredibel apatah lagi dalam konteks peremajaan parti. Kedua-duanya pasti dapat pengajaran yang sangat berharga dalam politik.

Secara keseluruhan tiada kejutan kecuali beberapa tokoh tewas di bahagian. Ramai penyandang jawatan Ahli Majlis Tertinggi turut kekal.

Awang ucapkan tahniah kepada yang menang. Kepada yang tewas mereka juga pemenang selagi bersikap terbuka menerima keputusan.

Pemilihan sudah berlalu. Kini saatnya menjayakan perjuangan sebenar UMNO dengan bijaksana, yakin dan tanpa gentar - bukan lagi retorik.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved