Sabtu, 19 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Guna tulisan jawi pada papan tanda

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 18 Okt. - Kerajaan negeri menggalakkan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan tulisan jawi pada papan tanda dan nama bangunan sebagai usaha memelihara tulisan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Penerangan negeri, Md. Jais Sarday berkata, selain memperkasakan tulisan Jawi, kerajaan turut komited dalam mengutamakan bahasa kebangsaan selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan.

Menurutnya, dalam usaha mengawal ejaan dan pengunaan ayat dalam bahasa Melayu yang betul, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bekerjasama dengan menerbitkan buku berkaitan paparan pengiklanan dan papan peragaan sebagai rujukan.

"Buku berjudul Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan Raya yang diterbitkan pada 1996 dan 2007 merupakan rujukan terbaik bagi semua pihak dalam mengawal ejaan dan ayat.

"Selain itu, kerajaan negeri turut komited untuk memartabatkan tulisan jawi di kawasan awam seperti perumahan, papan tanda jalan dan sebagainya," katanya selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sulaiman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin.

Md. Jais memberitahu, usaha mengutamakan bahasa kebangsaan dapat memperkasa, memantap dan merealisasikan jati diri bangsa yang berdaulat, selain menyatupadukan rakyat tanpa mengira agama, keturunan atau ideologi politik.

Beliau berkata, setelah 56 tahun negara merdeka, usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dan tulisan jawi masih belum boleh dibanggakan serta jauh daripada sasarannya.

"Oleh itu, Bulan Bahasa Kebangsaan telah diangkat oleh kerajaan sebagai satu acara tahunan untuk memberikan kesedaran tentang pentingnya menggunakan bahasa kebangsaan berbanding bahasa lain untuk ekonomi, pendidikan, industri dan sebagainya.

"Bulan Bahasa Kebangsaan ini juga merupakan manifestasi daripada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta disambut setiap tahun bermula bulan hingga Disember.

"Selain itu, bermula tahun ini, DBP dengan kerjasama semua agensi kerajaan akan melakukan tindakan proaktif untuk memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi Program Audit Bahasa Melayu," katanya.

Ahli PBTM disaran melabur dalam Sara 1Malaysia

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

SHAMSUDIN Rais (dua dari kanan) menerima sumbangan dari RHB Bank untuk PBTM Cawangan Muar yang disampaikan oleh Amir Abdul Aziz pada Majlis Korban, Tahlil dan Doa Selamat di Pejabat PBTM Muar, Johor, semalam.

MUAR 18 Okt. - Seramai 4,064 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar disaran menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) serta Program Azam Niaga dan Azam Khidmat bagi menambah baik kehidupan mereka.

Ketuanya, Shamsudin Rais berkata, skim tersebut membolehkan mereka mengukuhkan kewangan menerusi pelaburan yang dilakukan manakala Program Azam Niaga pula membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Bagi Sara 1Malaysia, ahli PBTM yang pendapatannya di bawah RM3,000 sebulan boleh membuat pelaburan RM5,000 bagi tempoh lima tahun dengan membayar RM84 sebulan. Apabila cukup tempoh itu, mereka akan memperoleh RM13,000 tidak termasuk dividen.

"Setakat ini seramai 100 ahli PBTM Muar sudah menyertai Sara 1Malaysia dan bagi menggalakkan lebih ramai menyertainya usaha memberi penerangan mengenainya akan dipergiat," katanya ketika ditemui pada majlis Korban, Tahlil dan Doa Selamat di Pejabat PBTM Muar di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Pengurus RHB Bank Wilayah Selatan, Amir Abdul Aziz menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada PBTM Cawangan Muar yang diwakili Shamsudin bagi membolehkan mereka menjalankan aktivitinya.

Shamsudin berkata, masih ramai ahli PBTM di sini yang tidak mahu merebut peluang berkenaan dan diharap mereka menyertainya kerana memberi keuntungan untuk jangka masa panjang.

Bagi Program Azam Niaga dan Azam Khidmat yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya, program itu merupakan satu peluang ekonomi untuk mereka meningkatkan pendapatan.

Beliau berkata, permohonan menyertai program tersebut adalah untuk mereka yang telah berniaga seperti nasi lemak, sate, jahitan, burger, air tebu, refleksologi, jagung manis, air batu campur, mesin rumput, otak-otak dan cendol.

Setakat ini, kira-kira 30 ahli sudah menyertai program berkenaan dan bagi sesiapa yang berminat untuk turut serta termasuk melabur dalam Sara 1Malaysia, diminta mengambil borang permohonan di Pejabat PBTM Cawangan Muar.

Dalam majlis tersebut, sebanyak empat ekor lembu sumbangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; RHB Islamic Bank dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dikorbankan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved