Sabtu, 19 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Terus berkhidmat walaupun kalah

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

BERA 19 Okt. - Setiap ahli UMNO yang menawarkan diri untuk bertanding apa juga jawatan adalah mereka yang benar-benar mahu berkhidmat demi kepentingan parti.

Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan itu, sama ada kalah atau menang mereka tetap bekerja keras dan komited dengan setiap perkhidmatan yang disumbangkan kepada parti.

"Kalah atau menang dalam pemilihan adalah lumrah pertandingan. Kalau menang merupakan platform terbaik untuk lebih cemerlang.

"Jika kalah sekalipun, kita masih boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada UMNO tanpa menunjukkan protes dengan tidak menyokong segala aktiviti dan program parti," katanya ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2013 di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Terdahulu, sebanyak 395 daripada 408 perwakilan menghadiri persidangan tersebut bagi menentukan barisan baharu Jawatankuasa UMNO Bahagian Bera untuk penggal 2013-2016.

Ismail Sabri dicabar bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Azizan Che Omar bagi jawatan Ketua Bahagian manakala jawatan Timbalan Ketua bahagian menyaksikan penyandangnya, Mohd. Fadil Osman dicabar Ketua Penerangan Pemuda Bahagian, Mohd. Jidi Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, beliau berharap sebaik sahaja pemilihan selesai, semua ahli UMNO bersatu dan berganding bahu menguatkan parti bagi mengharungi cabaran terbesar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya harap lepas keputusan itu siapa sahaja yang menang atau kalah tidak menjadi soal, apa yang penting ialah kita mesti bekerja keras untuk menghadapi musuh (pembangkang) pada PRU-14.

"Kita perlu tentang musuh di luar sana dan bukannya sesama kita. Pemilihan telah berakhir dan kini masanya untuk memperkukuhkan parti," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved