Jumaat, 20 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


12 dasar majukan Melaka

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

IDRIS Haron (kanan) menunjukkan buku Pencapaian 100 Hari Pentadbiran kerajaan negeri Melaka pada majlis sempena 100 Hari Pentadbiran kerajaan negeri Penggal Ke-13 di Dewan Seri Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.

MELAKA 19 Sept. - Ketua Menteri, Datuk Idris Haron meletakkan sebanyak 12 dasar baharu yang akan menjadi tumpuan utama memajukan negeri Melaka.

Menurutnya, sebanyak 12 dasar tersebut akan menjadi panduan kepada kakitangan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawab dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Beliau berkata, tiga perkara utama yang akan diberi tumpuan iaitu kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi dan penyampaian perkhidmatan berintergriti.

"Sepanjang tempoh 100 hari saya menjadi Ketua Menteri saya lebih menumpukan kepada usaha mencari jalan menyelesaikan masalah-masalah pokok.

"Saya laluinya dengan cemerlang atas sokongan dan dokongan seluruh kakitangan awam, ahli Exco kerajaan, rakyat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau berucap sempena 100 Hari Pentadbiran kerajaan negeri Penggal Ke-13 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Idris turut melancarkan buku Pencapaian 100 Hari Pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar, ahli Exco kerajaan negeri dan kakitangan kerajaan negeri.

Antara 12 dasar baharu dalam perancangan ialah mewujudkan kawasan ECO Industrial Park di Krubong, membina Smart City di Durian Tunggal, Melaka Showcase Pertanian, pembangunan Padi Beras Wangi (MRQ-74), Majlis Tindakan Perumahan Negeri dan sistem penarafan bintang (SSR).

Beberapa dasar lain termasuk menyediakan stesen bercaj kenderaan elektrik, pelaburan Guardian Industries dari Amerika Syarikat (AS), kemasukan Honda Auto Parts (M) Sdn. Bhd., mewujudkan Mini Galeri Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menaik taraf jalan menghubungkan asahan hingga Jementah.

Mengulas beberapa dasar itu, Idris berkata, penubuhan Majlis Perundingan Perumahan negeri bertujuan memastikan rakyat dapat memiliki rumah mampu milik yang memenuhi keperluan semua kaum di negeri ini.

Dalam pembangunan ekonomi pula, katanya, tumpuan diberi kepada melestarikan industri pelancongan dalam usaha menarik 14 juta pelancongan tahun ini dan 20 juta pelancong menjelang tahun 2020.

"Saya sedang melihat bagaimana produk-produk pelancongan di daerah dan kampung mempunyai kekuatan dan keunikan untuk diketengahkan," katanya.

Selain itu, katanya, kemasukan Honda Autoparts (M) Sdn. Bhd. dan Honda Assembly Sdn. Bhd., dijangka meningkatkan lagi pelaburan dalam sektor pembuatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Kutip sisa: SWM laksana kaedah 2 + 1

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

SEREMBAN 19 Sept. - SWM Environment Sdn. Bhd. telah memulakan pelaksanaan sistem kutipan baharu sisa pepejal menerusi kaedah 2 + 1 secara berperingkat-peringkat di Johor, Melaka dan negeri ini sejak 1 September lalu.

Pengurus Besar Kumpulannya, Adnan Ibrahim memberitahu, sistem yang diperkenalkan itu bertujuan bagi memudahkan pengguna mencari dan memperolehi maklumat mengenai kawasan perumahan malah laluan (jalan) yang terlibat dengan proses kutipan sampah.

''Kita telah membina laman www.swm-environment.com/microsite bagi membolehkan orang ramai untuk mendapatkan jadual perkhidmatan dan maklumat terperinci bagi sistem baharu kutipan sisa pepejal ini.

''Perkhidmatan ini juga akan dikemaskini sekiranya ada perubahan dalam jadual kutipan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat jelas mengenai perkhidmatan kutipan 2 + 1 dengan melayari laman web tersebut.

Jelasnya, kaedah 2 + 1 bermaksud kutipan sisa isi rumah atau organik akan dilakukan mengikut kekerapan dua kali seminggu manakala bahan kitar semula, sampah pukal dan sisa kebun pula akan dikutip sebanyak sekali seminggu.

''Pelaksanaan sistem 2 + 1 ini akan mengubah landskap kutipan sisa pepejal di negara kita selaras dengan usaha kami untuk mewujudkan sistem penyampaian berkesan bagi perkhidmatan pungutan sampah, kini telah wujud elemen baru yang penting untuk menguruskan bahan buangan yang boleh di kitar semula," tambahnya.

Sistem itu katanya, adalah sebagai kaedah bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang sistematik, efisien dan seragam.

Malah ujar beliau, sistem tersebut juga dirangka untuk meningkatkan kadar kitar semula, mengurangkan tekanan di tapak pelupusan sampah dan mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan rakyat.

''Saya berharap orang ramai akan memberikan kerjasama dengan mempraktikkan amalan pengasingan sisa dari sumber dan mengamalkan budaya kitar semula bagi tujuan mengurangkan janaan sampah dan secara tidak secara langsung ia akan dapat mengurangkan sisa pepejal yang dibuang ke tapak pelupusan sampah.

''Dijangkakan jumlah sampah yang dibuang ke tapak pelupusan akan dapat dikurangkan sehingga 40 peratus melalui sistem baharu kaedah 2 + 1 ini. Oleh itu, kesedaran sivik orang ramai amat diperlukan untuk kejayaan usaha ini" katanya.

Bagi sebarang aduan atau pertanyaan, sila hubungi talian hotline 1-800-88-7472 atau layari www.swmenvironment.com/microsite untuk maklumat lanjut.

Tiada calon cabar Ali Rustam jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

Mohd. Ali Rustam

MELAKA 19 Sept. - Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dijangka tidak dicabar bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil sejak 2003 menjelang pemilihan bahagian itu bulan depan.

Setiausaha UMNO Bahagian, Datuk Md. Sirat Abu berkata, setakat ini tidak ada calon dalam kalangan ahli bahagian itu yang menawarkan diri mencabar kedudukan Mohd. Ali selaku Ketua UMNO bahagian itu.

Walau bagaimanapun, katanya, bagi jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua menyaksikan pertandingan dua serta tiga penjuru.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Md. Yunus Husin yang juga ahli Exco kerajaan negeri yang mempertahan jawatan Timbalan akan dicabar Naib Ketuanya, Datuk Asari Ibrahim.

"Bagi jawatan Naib Ketua yang dikosongkan Asari pula menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan AJK bahagian, Prof. Datuk Dr. Mohd. Rudin Abdul Ghani; Naib Ketua Cawangan Pendamar, Datuk Hasnoor Sidang Husin dan Ketua Cawangan Taman Bukit Katil, Abu Bakar Sahbudin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Md. Sirat berkata, bagi jawatan Ketua Wanita yang kosong selepas penyandangnya Datuk Azizah Sultan tidak mempertahankan jawatan menyaksikan persaingan dua penjuru.

Beliau berkata, dua calon yang menawarkan diri ialah Ketua Wanita Cawangan Peringgit, Kalsom Nordin dan Ketua Wanita Cawangan Bachang Darat, Noridah Mat Isa.

Ujarnya, bagi jawatan Ketua Pemuda pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas penyandangnya Karim Yaacob tidak mempertahan jawatan tersebut.

Mereka yang menawarkan diri, katanya, terdiri daripada Pengerusi Majlis Gerakan Belia (MGBM) Bukit Katil, Razak Abu Hasan; Exco Pemuda bahagian, Rohazam Bakar dan Ketua Pemuda Cawangan Pengkalan Batu, Effendy Dahalan.

"Jawatan Ketua Puteri juga ditandingi selepas penyandangnya, Azlinda Zubir tidak mempertahankan jawatan kerana melebihi had umur," katanya.

Katanya, jawatan itu akan ditandingi dua calon iaitu Ketua Puteri Cawangan Bukit Piatu, Zalina Ismail dan Ketua Puteri Cawangan Baroh Bachang, Aisyah Mahmood.

Md. Sirat berkata, setakat ini lebih 200 borang pendaftaran peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri diambil calon-calon yang ingin bertanding.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved