Jumaat, 20 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Bekas polis, Pekida himpun bantah bawa abu mayat Chin Peng

Posted: 20 Sep 2013 02:41 AM PDT

PASIR MAS 20 Sept. - Kira-kira 150 anggota Persatuan Bekas Polis Cawangan Pasir Mas dan Pertubuhan Ekonomi, Kebajikan, Ilmu, Dana dan Aman (Pekida) berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi mengadakan bantahan menghalang mayat atau abu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa pulang ke negara ini.

Mereka turut membawa beberapa sepanduk dan membakar beberapa gambar Chin Peng sebagai menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kekejaman yang pernah dilakukan bekas setiausaha agung PKM itu ketika zaman darurat di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Pekida Kelantan, Nik Lah Nik Soh berkata, persatuan itu menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak membenarkan mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang untuk disemadikan di negara ini.

"Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang cuba membawa pulang abu mayat Chin Peng," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Pasir Mas hari ini.

Ketua Persatuan Bekas Polis cawangan Pasir Mas, Kamarulzaman Abdul Majid berkata, kerajaan wajar mengkaji semula penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan, bagi mengekang pelbagai anasir yang cuba merosakkan negara dari dalam.

"Jika lihat di negara-negara yang mengaplikasi ISA dalam undang-undang mereka, banyak anggota politik mahupun gengster tidak berani bersuara dan melakukan pelbagai hasutan.

"Kami harap kerajaan dapat mengkaji balik penggunaan ISA dan menghukum pembelot-pembelot negara supaya ia menjadi iktibar buat generasi akan datang," katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan ada desakan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan abu atau mayat Chin Peng dibawa ke tanah air.

Chin Peng meninggal dunia di Bangkok, Thailand Isnin lalu.

Banyak lagi pihak termasuk bekas anggota keselamatan negara membantah usaha membawa masuk mayat atau abu bekas ketua komunis itu. - BERNAMA

10,027 kes kesalahan pengangkutan awam sejak 2011

Posted: 20 Sep 2013 02:28 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan 10,027 kes melibatkan pelbagai kesalahan dalam pengangkutan awam sejak Januari 2011 hingga Ogos 2013.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kesalahan itu dikenal pasti melalui pemeriksaan ke atas 311,169 kenderaan perdagangan, kenderaan pengangkutan awam dan pelancongan dalam tempoh yang sama.

Kesalahan itu antaranya melibatkan kegiatan kereta sapu, teksi yang tidak menggunakan meter, bas sekolah tidak berlesen serta lori lebih muatan, katanya.

"Tindakan perundangan telah diambil ke atas pengendali dan pemandu pengangkutan awam itu," katanya ketika berucap merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi SPAD siri 1/2013 di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja di Kem Genting Klang di sini hari ini.

Beliau juga berkata, SPAD menjalankan 4,536 operasi khas sejak Januari tahun ini hingga sekarang yang turut melibatkan agensi penguatkuasaan yang lain, seperti Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen bagi mengesan kesalahan pengangkutan awam. - BERNAMA

Empangan di Sg Kelantan dibina atasi kekurangan air KADA

Posted: 20 Sep 2013 02:21 AM PDT

KOTA BHARU 20 Sept. - Sebuah empangan rendah akan dibina di Sungai Kelantan di Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas bagi meningkatkan paras air sungai tersebut untuk dipam ke kawasan tanaman padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, paras air sungai tersebut sering rendah berikutan aktiviti mengorek pasir yang diluluskan kerajaan negeri Kelantan menyebabkan lebih 18,000 hektar kawasan tanaman padi di Bachok, Kota Baharu dan Pasir Puteh terjejas akibat kekurangan bekalan air.

"Empangan yang melibatkan kos pembinaan kira-kira RM39 juta itu akan mula dibina bulan depan dan dijangka disiapkan dalam tempoh 18 bulan. Empangan ini mempunyai pintu yang akan dibuka bagi mengalirkan air pada musim tengkujuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan di sini, hari ini. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved