Jumaat, 20 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


PPR Muhibbah terbiar kosong, usang

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Pemohon-PEMOHON yang masih belum mendapat rumah PPR walaupun selepas beberapa lama menghantar permohonan berkumpul di hadapan PPT Kampung Muhibbah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menyuarakan masalah mereka. - UTUSAN/ NURAIN AZEMI

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Lebih 400 unit rumah yang tidak berpenghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) PPR Kampung Muhibbah di Bukit Jalil didakwa berada dalam keadaan terbiar dan usang.

Penduduk berkata, terdapat lima buah blok di PPR itu tetapi ketika ini Blok F tiada langsung penghuni manakala Blok E, H, G dan J terdapat kira-kira 150 kekosongan.

Ketika tinjauan dibuat oleh Utusan Malaysia bersama beberapa penduduk, Blok F tidak boleh dimasuki kerana tangganya berpagar dan berkunci. Namun dari bawah boleh dilihat kaca tingkap dan pintunya telah rosak atau hilang.

Walaupun di luar kelihatan bersih dan terjaga, namun seperti kata orang 'jangan menilai buku daripada kulitnya' kerana di dalamnya juga didapati mengalami pelbagai kerosakan.

Difahamkan, unit-unit kosong tersebut tidak berpenghuni sejak tujuh tahun lalu hingga sekarang dan didakwa menjadi sarang penagih dadah dan lokasi pasangan remaja memadu asmara.

Tinjauan Utusan Malaysia di dalam unit-unit rumah kosong di blok-blok terbabit mendapati, tingkap, pintu, dan sink di unit-unit berkenaan telah dipecahkan manakala paip air dikatakan menjadi mangsa pencuri.

Didapati juga, kabel elektrik, telekomunikasi, dan sebagainya turut hilang manakala sesetengah unit yang kosong itu berbau busuk kerana dicemari sampah sarap.

Yang menjadi persoalan, mengapakah pihak bertanggungjawab membiarkan unit-unit terbabit terus tidak berpenghuni hingga sekarang?

Difahamkan, lebih 100 keluarga yang layak memohon unit-unit itu masih menunggu maklum balas terhadap permohonan mereka daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Seorang pemohon, Abdul Rashid Seruji, 51, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berkata, dia telah memohon untuk tinggal di PPR sejak 2008.

"Malangnya, pihak DBKL menyatakan kepada saya bahawa permohonan masih di proses. Sehingga kini saya menyewa di sebuah rumah di Rawang dengan bayaran RM500 sebulan," katanya.

Seorang lagi pemohon, Thong Kim Seong, 71, berharap supaya pihak DBKL mempercepatkan proses permohonan mereka kerana tawaran penempatan PPR telah dikeluarkan kepadanya sejak 2010.

"Saya sekarang tinggal di rumah panjang di Jinjang Utara bersama-sama ibu yang sedang sakit dan isteri serta empat orang anak.

"Rumah itu akan dirobohkan tidak lama lagi untuk sebuah projek pembangunan, jadi di mana kami akan tinggal selepas itu jika permohonan kami masih lagi tertangguh?," soalnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan & Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor apabila dihubungi berkata, pihaknya akan memberikan maklum balas mengenai isu itu dalam masa terdekat.

DBKL diminta kaji semula sistem merit

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta supaya mengkaji semula sistem merit yang melibatkan permohonan untuk menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota.

Difahamkan, lebih 40,000 permohonan daripada golongan miskin tegar dan rendah masih lagi tertangguh sehingga kini.

Selain itu juga, sejumlah 324 unit rumah PPR turut terbiar tanpa penghuni di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong dekat sini sejak tujuh tahun lalu hingga sekarang.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua, Mohd. Zairi Rasidi Abd. Hadi berkata, beliau mendapati sistem merit itu tidak relevan dan perlu dimansuhkan kerana menyukarkan proses permohonan, khususnya bagi golongan bumiputera yang layak.

"Ramai yang memohon unit rumah PPR daripada Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL tetapi alasan pihak terbabit mengatakan tiada kekosongan unit sedangkan masih ada banyak lagi kekosongan di sini.

"Golongan susah yang sepatutnya dapat unit PPR tetapi tidak dapat. Ini amat menghairankan kami. Sayang rumah-rumah ini dibiarkan kosong dan usang selain turut menjadi sarang penagihan dadah.

"Difahamkan, ramai yang memohon menduduki PPR di sini tetapi mereka sukar untuk mendapatkan unit terbabit," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak DBKL dapat membaiki unit-unit tersebut selain memohon menyegerakan pembinaan medan selera, gelanggang seni silat gayung, surau, dewan dan premis perniagaan di situ seperti mana yang dijanjikan untuk kemudahan penduduk.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencadangkan supaya DBKL menyediakan kuota bagi penempatan kepada petugas keselamatan seperti polis dan bomba di setiap PPR.

Katanya, ini kerana kehadiran anggota polis yang tinggal di PPR secara tidak langsung akan membuatkan faktor keselamatan menjadi lebih baik, termasuk daripada perbuatan vandalisme.

"Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak maut akibat tersepit di pintu lif. Selain itu, kejadian kecurian sering berlaku membabitkan kabel elektrik dan telekomunikasi telah rosak serta dicuri.

"Sehubungan itu, kami mencadangkan perkara tersebut diambil perhatian serius kerana jika ada pihak bomba, polis atau anggota keselamatan lain yang menetap di PPR, bantuan kecemasan akan tiba dengan cepat," ujarnya.

Beliau menambah, jika perkara tersebut menjadi kenyataan, ia akan menjadikan penduduk hidup dengan selesa, aman dan harmoni.

Pengusaha landskap curi air

Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Sebuah kawasan landskap dan nurseri di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini diserbu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) selepas disyaki mencuri bekalan air terawat sejak tahun lalu menerusi sambungan paip yang dilakukan secara haram.

Kegiatan itu disyaki telah mengakibatkan Syabas mengalami kerugian bernilai RM145,200.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Syabas bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kira-kira pukul 2.30 tengah hari ini.

Pengarah Eksekutif Syabas, Yusof Badawi berkata, siasatan mendapati premis berkenaan mendapat sumber bekalan air dari paip utama Syabas dengan membuat tiga sambungan haram.

"Melalui semakan data akaun pelanggan Syabas, premis ini mempunyai akaun yang sah dan aktif dan dipercayai digunakan untuk kegunaan harian seperti untuk kegunaan tandas.

"Sambungan bekalan air secara haram itu pula digunakan untuk menjalankan operasi harian landskap dan nurseri," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Cegah Curi Air di sini hari ini.

Menurutnya, pada serbuan yang dijalankan hari ini, pihaknya telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air kepada pihak yang didapati menggunakan bekalan air terawat secara tidak sah.

"Jika sabit kesalahan, pemilik premis tersebut boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh didenda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, dari 1 Januari hingga 10 September sebanyak 2,260 aduan berhubung kes curi air diterima oleh Syabas.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 315 kes telah diklasifikasikan sebagai kes sahih dan kerugian dianggarkan berjumlah RM3.6 juta.

"Jumlah kes yang diterima menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu 730 kes sahih," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved