Jumaat, 20 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memilih tiga calon terbaik

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Sudah sah kini perebutan kerusi Naib Presiden UMNO bakal menyaksikan pertarungan enam calon yang dianggap peluang terbaik untuk ahli-ahli UMNO memilih yang terbaik dalam kalangan baik-baik.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir merupakan pemimpin terbaharu yang menempatkan diri beliau bersama-sama dua lagi pencabar iaitu bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd.Isa Abdul Samad.

Ketiga-tiga mereka akan cuba menembusi kubu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal yang sudah mengesahkan akan mempertahankan kerusi Naib Presiden yang mereka sandang sejak Mac 2009.

Kehadiran Mukhriz dalam gelanggang persaingan tersebut menarik perhatian ramai kerana beliau merupakan calon termuda (49 tahun) dan baharu sahaja mencatat kejayaan cemerlang apabila memastikan Kedah kembali ke dalam genggaman Barisan Nasional (BN).

Sementara nama bapanya Tun Dr. Mahathir Mohamad terus dilihat berpengaruh dan kekal sebagai pemimpin yang disanjungi di negara ini.

Bagi penulis, keputusan Mukhriz sebenarnya bukanlah satu kejutan kerana sejak awal lagi sudah ada ura-ura bahawa beliau akan bertanding jawatan tersebut.

Tambahan pula, menurut satu sumber yang rapat dengan pemimpin itu, dari semasa ke semasa Mukhriz dikatakan dikunjungi oleh pelbagai pihak dalam UMNO yang mahu beliau bertanding.

''Bagaimanapun Mukhriz tidak mahu terburu-buru sebab itulah beliau menunggu hingga kelmarin (Khamis) untuk membuat keputusan.

''Mukhriz mahu menyahut seruan untuk meremajakan UMNO dan seterusnya memperkasakan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Sama ada beliau layak atau tidak, Mukhriz serahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian,'' kata sumber berkenaan kepada penulis.

Mukhriz akan turut bertarung dengan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri iaitu Hishammudin yang dua tahun lebih tua daripada beliau. Hishammuddin yang berusia 51 tahun memasuki gelanggang untuk mempertahankan kedudukan dengan pelbagai persepsi ahli-ahli UMNO terhadap beliau.

Namun Hishammuddin tidak menghiraukan itu semua kerana beliau percaya kepada kebijaksanaan ahli-ahli UMNO untuk membuat keputusan.

Zahid yang berusia 60 tahun pula dilihat menteri paling popular berikutan ketegasan beliau mengendalikan Kementerian Dalam Negeri.

Walaupun bukanlah populariti yang dicari tetapi Zahid dilihat memenuhi harapan ramai orang sama ada di peringkat kementerian mahupun parti, manakala Shafie yang akan menyambut hari jadi ke-56 sehari selepas pengundian dijalankan pada 19 Oktober ini dilihat cemerlang dalam membangunkan masyarakat luar bandar.

Sudah pastilah kalau beliau kekal sebagai Naib Presiden, ia akan dianggap hadiah hari jadi paling bermakna bagi menteri yang berasal dari Sabah itu.

Kesemua mereka akan berhadapan pula dengan Mohd. Ali dan Isa - dua pemimpin yang dilihat disukai di peringkat akar umbi. Kedua-dua berusia 64 tahun dan pernah menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden.

Mohd. Ali yang dianggap pemimpin mudah mesra, tewas dalam pilihan raya umum lalu dan kini dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) manakala Isa pula yang menang kerusi Parlimen Jempol menewaskan penyanyi Aishah kini Pengerusi Felda.

Sememangnya dari segi latar belakang politik dan pengalaman, kesemua calon mempunyai kehebatan masing-masing. Malah latar belakang usia juga akan memberikan ruang kepada ahli-ahli UMNO untuk memilih siapa yang terbaik di antara mereka untuk menduduki kerusi Naib Presiden.

Dalam soal ini, adalah penting ahli-ahli UMNO membuat keputusan yang benar-benar bijak dan bukan bersandarkan kepada persepsi, tohmahan apatah lagi fitnah terhadap calon.

Biar pun sekarang sudah ada andaian bahawa ada penyandang yang akan tewas berikutan kehadiran Mukhriz, namun ahli-ahli UMNO tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kepada andaian.

Sebaliknya, mereka perlu melihat secara teliti rekod prestasi setiap calon dan apakah tiga Naib Presiden yang bakal mereka pilih nanti benar-benar mampu menggalas tanggungjawab besar bagi meraih sokongan lebih besar orang Melayu dan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Hal ini memandangkan pemilihan kali ini bukanlah demi menyelamatkan survival politik sesiapa tetapi bagi memilih barisan pejuang untuk terus menegakkan panji-panji perjuangan UMNO demi bangsa, agama dan negara.

Oleh itu seramai hampir 150,000 ahli UMNO yang diberi amanah mengundi tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan apa-apa sentimen, sebaliknya berasaskan kepada kemampuan seseorang calon itu dan sejauh manakah keputusan yang mereka buat boleh diterima oleh rakyat.

Tiada gunanya jika ahli UMNO hanya berseronok dan bergembira sendirian berikutan calon-calon yang mereka pilih menang sedangkan keputusan mereka dicemuh oleh rakyat dan seterusnya UMNO ditolak dalam pilihan raya.

Sebab itulah pelbagai faktor perlu diambil kira dan penilaian teliti perlu dibuat supaya ahli UMNO tidak tersilap langkah dalam membuat penentuan. Kedudukan kerusi Naib Presiden bukan sebarangan jawatan, ia bayangan kepada pemimpin pelapis UMNO pusat.

Sebab itulah setiap calon harus dikaji berdasarkan kepada kekuatan dan kelemahannya serta paling penting jangan sampai apabila calon itu dipilih, keputusan itu mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Berdasarkan hakikat itu juga kempen yang dijalankan oleh ejen-ejen calon mestilah berhemah. Janganlah cuba menjatuhkan apatah lagi memperlekehkan sesama sendiri kerana ini pertandingan dalam keluarga bagi mencari pemimpin yang terbaik.

Perbuatan memperlekehkan sesama calon biar pun secara tersurat mahupun tersirat hanya akan merugikan parti kerana kesemua calon yang bertanding itu boleh dianggap aset kepada parti berdasarkan pada latar belakang perjuangan mereka dalam UMNO.

Oleh itu adalah sesuatu yang tidak bijak apabila perebutan untuk meraih sokongan dalam pemilihan dijadikan gelanggang untuk menjatuhkan satu sama lain.

Pemilihan kali ini biarlah dijalankan secara bersih tanpa sebarang unsur-unsur negatif termasuklah politik wang kerana ia akan merosakkan imej UMNO.

Cukup-cukuplah maruah UMNO diperlekehkan dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini, biarlah kali ini ahli UMNO membuktikan bahawa mereka juga ada maruah dan mahu mempertahankan maruah parti.

Berkempenlah dalam semangat kekeluargaan dengan memilih yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik dan berusahalah supaya jangan dicipta musuh yang tiada, jangan takut kepada bayang-bayang.

Perbezaan antara Sinar Harian dengan The Star

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

ARTIKEL ini dipetik daripada blog TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN - Zamkata.blogspot.com

SAYA ucapkan syabas kepada akhbar Sinar Harian yang merasa bertanggungjawab untuk membersihkan nama Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh, Selangor daripada cemuhan terhadapnya sebagai rasis hanya berasaskan kepada penyebaran gambar palsu mengatakan anak-anak bukan Melayu diberi makan di tandas sekolah itu pada bulan puasa lepas, sebaliknya yang sebenar adalah di bilik persalinan.

Sekali pun penjelasan telah diberikan berkali-kali, tetapi kita dapat melihat bagaimana sebuah akhbar Inggeris telah cuba menghidupkan terus isu ini untuk mengapi-apikan perasaan kebencian orang India terhadap orang Melayu.

Yang terakhir dengan menyiarkan berita dakwaan bapa yang disyaki terlibat menyebarkan fitnah itu mengapi-apikan pula dengan cerita ramai murid India telah dipindahkan dari sekolah itu, walhal sebenarnya daripada 27 orang, hanya seorang sahaja yang berpindah. The Star menyiarkan berita ini seolah-olah benar belaka.

Hari ini akhbar Sinar Harian menyiarkan wawancara wartawan-wartawannya dengan Guru Besar sekolah itu Muhamad Nasir Mohd. Nor untuk memberikan penjelasan yang sebenarnya.

Hal ini menunjukkan pengendali Sinar Harian dapat merasakan bahaya api sekam yang telah dibakar oleh media yang tidak bertanggungjawab dalam soal ini.

Kementerian Dalam Negeri tidak seharusnya membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja tetapi siasatan mengenainya mestilah didedahkan dan tindakan keras mesti diambil kepada mereka yang mengiklankan hasutan perkauman.

Walaupun akhbar-akhbar Tamil atau Cina juga memainkan perkara ini, tetapi kesannya tidak sama dengan akhbar yang dibaca oleh semua kaum.

Di bawah ini adalah pandangan Zamkata dan juga penjelasan guru besar sekolah berkenaan:

Tidak dapat dinafikan The Star merupakan sebuah akhbar yang terbaik dalam memenuhi kualiti kewartawanan; terkini dengan berita, ekoran berita yang pantas, rencana yang menarik, bermutu dan sebagainya yang menggambarkan wartawan-wartawannya senantiasa aktif, cekap dan berinisiatif.

Dalam pada itu The Star juga akhbar yang paling bijak dan halus dalam memainkan isu-isu sentimen Cina. Ini dapat dilihat dalam isu untuk membawa pulang abu ketua pengganas Komunis, Chin Peng yang sesiapa pun dapat menciumi kecenderungannya atau biasnya.

Isu SK Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor sudah berbulan dihidupkan dalam nada perkauman dengan berselindung di sebalik human right.

Isu ini berpunca dengan memberikan gambaran sekolah itu meletakan tempat makan murid bukan Islam di kawasan tandas pada bulan puasa seolah-olah untuk melindungi murid Islam daripada dilihat murid bukan Islam sedang makan. Ia memberikan gambaran sekolah itu memperkecilkan bukan Islam.

Bagaimanapun, siasatan dan penjelasan telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah berkenaan bahawa hal itu telah lama berlaku kerana ketidakcukupan ruang. Sebenarnya, bukannya bilik tandas tetapi bilik persalinan digunakan untuk sementara.

Berita ini disiarkan tanpa penjelasan pihak sekolah terlebih dahulu yang sewajarnya dilakukan dalam berita-berita yang bersifat sensitif.

Apakah tujuannya? Ini semestinya didorongkan oleh orang-orang yang bersifat perkauman India di dalam The Star.

Peluang terbuka lagi bagi akhbar ini untuk mengapi-apikan isu berkenaan apabila seorang India yang ditahan dalam siasatan kerana membuat fitnah mendakwa murid-murid bukan Melayu dicemuh oleh guru-guru sekolah sehingga memaksa beberapa murid India berpindah, tetapi sebenarnya hanya seorang murid India sahaja yang pindah.

Tidakkah orang yang berusaha untuk menjadikan isu ini sebagai isu perkauman yang panas merupakan anasir subversif, anti sosial dan anti nasional?

Fahamkah The Star bagaimana perasaan guru-guru Melayu yang telah beberapa tahun mengajar murid-murid India di sekolah itu dengan penuh dedikasi dan jujur?

Tidak cukup setakat itu sahaja, The Star menimbulkan pula soal murid-murid di bawah umur 18 tahun tidak berhak untuk disiasat oleh polis tanpa ditemani oleh ibu bapa mereka bila polis menjalankan siasatan di sekolah itu.

Siapakah yang berada di belakang The Star untuk terus mendesak (pursue) isu ini dari berbagai-bagai sudut?

Peguam, polis, orang awam dan lain-lain telah dicari untuk laporan susulan bagi menghidupkan terus isu ini dan tentunya ada pemula (instigator) dari luar memberikan tunjuk ajar kepada pemberita, pengarang berita atau ketua pemberita yang senantiasa bersemangat untuk menghidupkan isu-isu demi kepentingan politik mereka.

Sesiapa pun yang mengikuti berita ini dari awal hingga sekarang akan sedar bahawa puncanya adalah prejudis perkauman yang boleh menimbulkan prasangka, prejudis dan kebencian kepada sekolah Melayu (Sekolah Kebangsaan) dan kepada orang Melayu. Berita seumpama ini sama sekali tidak menyumbang kepada usaha untuk menghidupkan perasaan keharmonian antara kaum terutama di peringkat murid-murid sekolah.

Apakah Ketua Pengarang akhbar The Star tidak dapat mencium kecenderungan pengarang beritanya, ketua pemberita atau penghasut-penghasut dalam The Star untuk pursue isu ini di atas landasan yang bahaya?

Bila ditunjukkan permainan perkauman The Star, maka orang akan bertanya bagaimana dengan Utusan Malaysia?

Jawapannya cukup mudah. Apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia tidak pernah terkeluar daripada tanggungjawabnya untuk mempertahankan ciri-ciri Perlembagaan Malaysia. Tetapi Utusan tidak pandai 'pepat di luar rencong di dalam'. Utusan hanya pakai satu muka tetapi The Star bermuka-muka.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail telah menjelaskan tujuan Akta Hasutan dipinda selepas 13 Mei 1969 (Lihat bukunya The Reluctant Politician) adalah untuk melindungi MCA dan MIC yang terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial daripada menjadi mangsa serangan parti pembangkang tetapi MCA telah membiarkan duri dalam dagingnya sehingga menghakiskan pengaruhnya.

Ingatlah! The Star telah tercatat memperjuangkan untuk dikembalikan sekolah Inggeris. Dalam kata-kata lain sebagai jalan penyelesaian memuaskan hati semua kaum iaitu dengan mengikuti langkah Singapura: Singaporean Singapore - Malaysian Malaysia.

Jangan lupa di sebalik cemuhan terhadap aliran Melayu, ribuan anak-anak daripada asas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang menguasai universiti-universiti, menjadi orang profesional, doktor, jurutera termasuk mereka yang diambil bekerja sebagai doktor di Singapura dan di lain-lain negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved