Jumaat, 20 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


400 murid diancam bahaya

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 20 Sept. - Ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Indera Mahkota di sini, bimbang dengan keselamatan anak mereka berikutan banyak kenderaan menggunakan laluan di hadapan sekolah tersebut sejak kebelakangan ini.

Mereka mendakwa laluan itu bukan sahaja digunakan teksi dan lori, bahkan bas ekspres yang mahu menghantar penumpang ke Terminal Sentral Kuantan (TSK).

Penduduk, V. Chandran, 42, berkata, situasi itu menjadi lebih buruk ketika waktu mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah.

"Pernah terdapat dua buah bas ekspres rosak di tengah jalan ke sekolah ini semasa ibu bapa sibuk mahu menghantar anak-anak ke sekolah pada waktu pagi menyebabkan kesesakan teruk.

"Bas ekspres itu juga menggunakan laluan ini ketika ramai murid sekolah berada berdekatan jalan dan ini amat merisaukan kami kerana risiko berlaku kemalangan amat tinggi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Chandran, keadaan itu berpunca ekoran kebanyakan pengangkutan awam menjadikan laluan kecil tersebut sebagai jalan pintas dan mereka enggan menggunakan Persimpangan Bunga Cengkih yang terletak agak jauh ke TSK.

"Saya sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) 4 September lalu tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

"Oleh itu, saya amat berharap pihak berkaitan lebih prihatin dalam menyelesaikan masalah kami apatah lagi terdapat lebih 400 murid yang belajar di sekolah ini," katanya.

Sementara itu, M. Jegathesan berkata, dia mendapati pemandu yang menggunakan laluan di hadapan sekolah tersebut memandu dengan laju tanpa memikirkan keselamatan murid-murid.

"Saya berharap pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dapat menyediakan lebih banyak bonggol di sepanjang laluan ini sebagai salah satu usaha memperlahankan kenderaan yang lalu-lalang di hadapan sekolah dan saya berharap dibina segera sebelum kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Mohd. Yusni tetap tanding Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

KUANTAN 20 Sept. - Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Yusni Ngah tetap dengan pendirian bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian itu biarpun dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan UMNO Bahagian Pekan berkata, persaingan yang baik dalam suasana kekeluargaan adalah manifestasi kejayaan UMNO melahirkan pemimpin pelapis di peringkat bahagian.

"Perwakilan yang akan membuat penilaian sama ada seseorang itu layak atau sebaliknya untuk diangkat sebagai pemimpin.

"Ini merupakan salah satu transformasi politik yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli tanpa ada sekatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, proses peremajaan mesti berlangsung dalam suasana UMNO menuntut perubahan demi kelangsungan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang pasti lebih mencabar.

"Pengalaman saya sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan biro latihan adalah proses kaderisasi yang biasa dilalui dalam mana-mana organisasi.

"Saya ingin dan akan terus menyumbang bakti bagi memantapkan parti terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Pacu korporat orang Melayu

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

KUALA LIPIS 20 Sept. - Strategi menerusi Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan suntikan modal dan perangsang kelangsungan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang masih relevan untuk memacu sektor korporat orang Melayu mencapai Wawasan 2020.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pengusaha Melayu sewajarnya merebut peluang hasil keseriusan dan iltizam kerajaan memperhebat bidang perniagaan sekali gus mampu bersaing dengan kaum lain serta di peringkat global.

"Para belia dan siswazah menganggur juga perlu menghayati iktibar menerusi pelancaran strategi berkenaan untuk menceburi latihan dan kemahiran usahawan dalam memenuhi keperluan pengeluaran dan pasaran menerusi kedudukan ekonomi negara yang kukuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, usaha kerajaan itu untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha bumiputera khususnya di luar bandar termasuk Orang Asli berasaskan manipulasi sumber tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved