Sabtu, 27 Julai 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Cabaran Tengku Mahaleel bermula

Posted: 27 Jul 2013 10:27 AM PDT

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my

Mohd. Nadzmi (dua dari kiri) bersalam dengan Tengku Mahaleel selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM di Petaling Jaya, semalam. Turut kelihatan Norza (kiri) dan Mohamed Al-Amin. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Tiada apa yang mengejutkan berlaku dalam mesyuarat pemilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam, apabila ahli majlis sebulat suara bersetuju memilih Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sebagai Presiden baharu bagi penggal 2013-2017.

Sementara Datuk Dr. Mohamed Al-Amin Abd Majid kekal sebagai Timbalan Presiden.

Ahli majlis BAM secara sebulat suara turut memilih Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Mohd. Norza Zakaria sebagai Timbalan Presiden bagi mengisi kekosongan Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah yang tidak mengekalkan jawatan.

Namun, yang menimbulkan sedikit persoalan adalah kewujudan jawatan Presiden Kehormat yang diberikan kepada bekas Presiden, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

Ini merupakan kali pertama jawatan tersebut diwujudkan, tetapi mengapa.

Ahli Majlis BAM tentu ada jawapannya.

Ini kerana, sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bermula, ada ahli majlis cenderung untuk mengetengahkan calon kegemaran mereka, Al-Amin sebagai pengganti Nadzmi, namun kerana mahu mengekalkan tradisi 'kemuafakatan' yang diamalkan badan badminton itu selama ini, maka mereka bersetuju tidak mengadakan pertandingan bagi menolak perpecahan.

Tengku Mahaleel, 66, ketika ditanya, apakah yang mendorong beliau untuk membuat pusingan 'U' dan bersetuju menjadi Presiden, sedangkan awalnya menolak pencalonan menegaskan, semuanya demi kepentingan badminton negara.

"Itu (buat pusingan U) tidak patut dipersoalkan. Apabila ada cabaran dan kita sendiri rasa kita boleh memenuhi cabaran itu dan ada orang yang minta saya melibatkan diri dalam BAM, maka saya terima. Sebelum ini saya di Kelantan sangat sibuk dengan urusan di sana (Presiden, Persatuan Badminton Kelantan) tetapi saya fikir balik, kepentingan negara lebih mustahak dari negeri, sebab itu saya setuju," kata Tengku Mahaleel.

Beliau bagaimanapun meminta tempoh sebulan kepada ahli majlis untuk melantik Setiausaha dan Bendahari kerana perlu memperhalusi situasi dalaman badan badminton kebangsaan itu, selain mendapatkan pandangan semua jawatan.

Tengku Mahaleel juga menegaskan, walaupun masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perancangan buat BAM, namun sudah tentu memburu pingat emas Sukan Olimpik pertama dan Piala Thomas menjadi sasaran utama yang hendak dipenuhi, selain mahu menjadikan badminton sebagai industri yang lebih besar di negara ini.

"Melahirkan juara Olimpik pertama bukan cabaran, tetapi sasaran saya, begitu juga memenangi Piala Thomas. Cabaran saya adalah bolehkah kita dengan kaedah-kaedah sekarang memenuhi objektif ini. Itulah yang akan saya bincangkan bersama ahli majlis, mencari jalan bagaimana kita dapat melakukannya.

"Kita tengok negara lain sudah mencapai tahap lebih tinggi, mereka menggunakan teknik berbeza, teknologi lebih bagus dan sains sukan, ini semua yang kita kena faham. Kita kena bergerak dengan pantas kalau hendak menyaingi mereka," ujar bekas Ketua Pegawai Operasi Proton Holdings itu lagi.

Sementara itu, Al-Amin tidak sedikit pun berasa terkilan kerana tidak diangkat sebagai Presiden baharu kerana pada beliau, siapa pun yang akan memegang jawatan tersebut mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan kecemerlangan badminton negara.

Format terbaik - FAM

Posted: 27 Jul 2013 10:27 AM PDT

HAMIDIN (kiri) menyerah mock-up akhbar rasmi kepada Eksekutif Kanan Pengurusan Jenama Utusan Melayu, Rahmah Sulaiman pada undian Piala Malaysia di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MOHD. AZIM ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah menyifatkan format saingan Piala Malaysia musim 2013 yang meletakkan empat pasukan teratas Liga Super sebagai pilihan dan diasingkan bagi undian peringkat kumpulan, sebagai yang terbaik selain menjadikannya lebih adil serta terbuka.

Katanya, undian Piala Malaysia musim ini turut menjanjikan saingan hebat dengan Kumpulan A menghimpunkan tiga pasukan berjiran Lembah Klang, tiga gergasi Pantai Timur menghuni Kumpulan B, empat kelab Liga Super berkongsi Kumpulan C dan juara Liga Super berjumpa juara Liga Perdana dalam Kumpulan D.

Selangor, Sime Darby dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menganggotai Kumpulan A sementara Kelantan, Pahang dan Terengganu dalam Kumpulan B, Johor Darul Takzim, PKNS, T-Team dan Felda United membentuk Kumpulan C manakala Lions XII dan Sarawak menjadi pilihan utama Kumpulan D.

Afandi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata: "Kali ini kami mengatur jadual terbaik yang mampu memberikan keselesaan dan tempoh sesuai bagi persediaan setiap pasukan dalam mengharungi kesemua perlawanan tanpa menekan mereka.

"Kami menghabiskan empat perlawanan terawal sebelum hanya merehatkannya buat Pestabola Merdeka (di Kuantan dari 4 hingga 15 September) dan menjelang persediaan skuad kebangsaan bagi Kelayakan Piala Asia (Oktober)."

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis undian di Pusat Konvensyen TM di sini, semalam.

Mengenai kewajaran undian yang terlebih dulu mengasingkan kesemua pasukan senegeri seperti Selangor dan PKNS, Johor Darul Takzim dan Johor serta Sime Darby dan Felda United mahupun Terengganu dan T-Team, kata Afandi: "Kami mahu mengelakkan kemungkinan pertembungan penggunaan gelanggang.

"Kami juga cuba melihat peningkatan daya saing setiap perlawanan peringkat awal biarpun kami sedar, mereka pasti tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mara ke peringkat kalah mati (sebagai dua pasukan teratas setiap kumpulan). Ketika itu saingannya juga mungkin sudah berbeza."

Beliau turut mengumumkan pemilihan Watsons sebagai penaja Piala Malaysia musim ini dengan jenama kedai serbaneka itu turut akan melancarkan edisi khas terhad kad keahlian yang menampilkan gambar aksi pemain setiap pasukan yang bertanding, tidak lama lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin turut mempertahankan format Piala Malaysia ini sebagai yang terbaik hasil kajian menyeluruh jawatankuasa itu sekali gus menolak kemungkinan trofi berkenaan bakal kembali disaingi hanya pasukan negeri tanpa melibatkan kelab lagi, musim akan datang seperti tradisinya sejak 1967.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved