Selasa, 9 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kita kena ubah mentaliti

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Mengubah mentaliti pemaju perumahan dan bank, antara teguran menarik Ahli Parlimen Kuala Selangor, DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM, ketika diminta menyentuh dan mengulas lanjut ucapannya di Parlimen minggu lalu, mengenai isu perumahan yang dihadapi pekerja profesional atau pekerja berijazah.

Kritikan ini dilihat konstruktif oleh banyak pekerja muda terutama di sektor swasta yang berdepan dengan kemelut sukar memiliki rumah sasaran (kos sederhana rendah) walaupun sudah 10 tahun bekerja.

Selain isu monopoli pemain sektor hartanah yang menjadikan rumah kos sederhana rendah yang berharga sekitar RM200,000 ini sebagai sasaran pelaburan, amalan 10 peratus bayaran muka yang berjumlah RM20,000 serta dua kali bayaran guaman untuk perjanjian dengan pemaju dan bank, yang berjumlah sekitar RM15,000 turut menjadikan pekerja muda tidak kompetitif untuk membeli rumah.

Penulis ZAINAL RASHID AHMAD mewawancara Datuk Irmohizam untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.

SOALAN: Apa sebenarnya yang mendorong Datuk membangkitkan isu masalah pekerja muda untuk memiliki rumah?

IRMOHIZAM: RUMAH bukan isu baru, ini ratapan anak muda yang bekerja terutama di bandar sejak sekian lama. Isu ini menjadi bebanan dalam kalangan pekerja berijazah terutama yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

Pertama, saya nak jelaskan dulu isu persekitaran industri hartanah terutama di sekitar Kuala Lumpur. Hari ini rumah kos sederhana rendah yang berharga sekitar RM180,000 ke RM300,000 dimanipulasi oleh pelabur hartanah.

Tiadanya had gaji menyebabkan golongan berada menyasarkan rumah kos ini untuk tujuan pelaburan. Bayangkan, dengan pendapatan bersih antara RM20,000 hingga RM25,000, mereka boleh membuat antara tingga empat pinjaman bank untuk memiliki rumah kos sederhana ini.

Dengan bayaran ansuran bulan antara RM750 ke RM1,300, bagi pemain hartanah ini pelaburan strategi, sebab rumah ini kemudiannya disewa pada harga RM1,200 hingga RM2,000 sebulan. Anda boleh semak harga sewa ini di kawasan Bandar Tun Razak, Pandan, Selayang dan Gombak.

Di Bandar Sri Permaisuri yang pesat dengan perumahan sejak 10 tahun lalu, apartment yang berharga RM100,000 ketika dijual pada 2006, kini sudah berharga RM280,000. Dalam tempoh 7 tahun, harga rumah meningkat 180 peratus.

Maknanya dengan bayaran sekitar RM500 ke RM600 sebulan, pemiliknya boleh menyewakan rumah ini pada harga RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Setelah ditolak bayaran ansuran bank, anda fikir berapa banyak margin untung sewa yang diperolehi pelabur ini. Apalagi kalau sudah menjadi trend untuk memiliki 3 atau 4 buah rumah bagi tujuan ini.

Datuk nampaknya ada perangkaan?

Saya memiliki kumpulan survey sendiri, yang membantu saya di lapangan untuk mendapatkan maklumat first hand. Bukan cakap dengar, sebab isu ini hendak dibawa ke Parlimen. Jadi walaupun ada kritikan kononnya kerajaan sudah melupuskan bayaran 10 peratus sejak dua tahun lalu, di sini suka saya ingatkan bahawa itu hanya untuk rumah yang dibangunkan kerajaan. Untuk pemaju swasta, mereka masih mengamalkan budaya lama. Siapa banyak duit, dia mendapat keutamaan.

Saya fikir, usaha membela golongan pekerja muda tak sepatutnya menjadi beban kerajaan. Asal ada masalah maka ditudingkan pada kerajaan. Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang disasarkan kepada pekerja profesional muda tak mungkin cukup untuk menampung permintaan. Kira-kira 90 peratus industri perumahan, dilaksanakan pemaju swasta.

Justeru, sekiranya isu bayaran muka tidak dipedulikan oleh pemaju dan bank, sampai bila pun masalah perumahan dalam kalangan pekerja muda tak akan selesai.

Datuk ada memaklumkan mengenai kajian kalkulasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rujukan bagi mendokong hujah mengenai perkara ini?

Ya ada sila rujuk lampiran.

Apa yang Datuk harapkan setelah membangkitkan isu ini?

Perubahan saya harap persekitaran industri berubah. Kita tidak menyelar pemain hartanah mereka boleh terus melabur, tetapi bukan di sektor kos sederhana. Ini kerana ada yang menuntut haknya, maka kalau kita biar, hak pekerja muda akan dirampas oleh pemain hartanah. Masuklah melabur di padang pelaburan yang sesuai, seeloknya di sektor hartanah melebihi RM500,000.

Kita kena ubah mentaliti dan disiplin untuk menjadi kaya. Hari ini rakyat dan orang muda tidak lagi melihat kemajuan negara dengan angka-angka di bursa saham atau Keluaran Negara Kasar. Kenapa? Kerana mereka lebih melihat pada realiti. Apa ertinya kalau semua syarikat besar mengumumkan keuntungan berbilion, atau angka bursa melepas indeks 2,000 mata sekalipun, sedangkan dalam kehidupan anak muda, nak beli rumah pun susah.

Sata tidak menyalahkan kerajaan. Transformasi ekonomi mesti turut disertai dan dijuarai sektor swasta. Kerajaan sentiasa memastikan persekitaran ekonomi kita stabil dan sihat, maka sektor swasta menikmati keuntungan. Cuma kena ada sikap dan mentaliti untuk menyumbang kembali kepada rakyat sebagai tanda turut serta membantu kerajaan mengekalkan suasana yang stabil dan produktif ini.

Kali pertama muncul sudah dibidas banyak pihak, sudah dapat Khidmat Pesanan Ringkas yang menyelar cadangan Datuk, kononnya tidak munasabah.

Itu perkara biasa, saya rasa Ahli Parlimen yang sudah empat atau lima penggal berada di Parlimen, juga dikritik. Cuma yang penting, saya bangkitkan realiti isu. Barangkali sebab saya muda, dan saya dekat dengan anak muda, maka saya bawa isu-isu yang menjadi masalah kepada generasi saya untuk didengarkan.

Saya nak sentuh sikit, ramai anak muda turun di jalanan bukan kerana mereka menyokong pembangkang. Mereka turut kerana secara psikologi mereka marah akibat beban sosio ekonomi yang mereka tanggung. Pembangkang pula menangguk di air keruh, dengan meletakkan isu-isu ini kononnya sebagai keutamaan dalam protes.

Jadi saya fikir, sudah sampai masanya, kita melihat realiti sebenar. Pada saya realitinya jelas; kerajaan berusaha sungguh-sungguh melalui pelan transformasinya, tetapi dalam isu perumahan, kita tidak nampak pemain industri terutama pemaju dan bank, bersikap positif untuk membantu. Kita kena usahakan perubahan, maka untuk itu, kita kena suarakan kegusaran ini sebagai realiti semasa.

Jangan tersalah tafsir, kononnya isu protes adalah isu ideologi. Bukan semua soal ideologi, kebanyakan berkait dengan soal persekitaran anak muda yang terbeban dengan isu kehidupan hari ke hari. Saya jelaskan, apabila jadi macam ini, jangan lemparkan semua untuk diatasi kerajaan. Macam saya kata, isu rumah ini 90 peratus pemaju adalah sektor swasta. PR1MA tak dapat menyediakan keperluan rumah yang kritikal sekarang, tetapi dengan sokongan perubahan oleh pemaju dan bank, maka isu ini akan ada jalan keluar.

Minggu pertama di Parlimen, apa perasaan Datuk?

Saya melihat berada di Parlimen sebagai peluang terbaik untuk membawa realiti isu-isu rakyat terutama generasi muda. Saya dan pasukan survey di lapangan akan terus berusaha untuk mendekati isu dan masalah pengundi di Kuala Selangor khasnya, dan masalah generasi muda nasional juga.

Macam saya kata tadi, suarakan realiti dan minta kerjasama semua pihak untuk berganding bahu. Kita kena ubah mentaliti, asal ada saja masalah, maka kita tuding pada kerajaan untuk selesaikan. Sedangkan sektor lain macam lepas tangan. Kita hendak, dalam apa juga persekitaran masalah, semua pemain dalam industri turut mengambil sikap prihatin untuk membantu. Bukan lagi beranggapan; isu rakyat adalah isu kerajaan.

Pengalaman di Mesir berguna untuk dipelajari

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

DARI JENDELA TOK KI

REVOLUSI di Mesir dengan kebangkitan di Dataran Tahrir dan merupakan salah satu legenda Arab Spring menarik perhatian beberapa tokoh politik di Malaysia untuk berkuasa. Proses demokrasi yang berjalan dianggap palsu dan penuh dengan penipuan.

Antara tokoh ini sangat rapat hubungannya dengan Turki. Apabila demonstrasi jalanan berlaku di Turki, tidak pula tokoh ini mengecam cara kerajaan Turki mengendalikan demonstran hingga ramai yang cedera.

Muhammad Morsi menang dengan proses demokrasi. Penentang jalanan dikatakan tidak menghormati proses demokrasi. Apa bezanya dengan Malaysia, ada pihak yang menang tetapi tidak diiktiraf dan usahakan menumbangkan kerajaan secara demonstrasi jalanan.

Proses demokrasi telah menentukan menang-kalah pihak yang bertanding. Tapi yang kalah mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya menipu. Asas tuduhan terhadap penipuan tidak dikemukakan secara sah. Blackout 505 menjadi rangsangan demonstrasi jalanan pimpinan tokoh ini.

Mujur di Malaysia polis dan tentera mengambil langkah sabar dan bijaksana. Provokasi demonstrasi jalanan tidak didekati oleh polis dan tentera secara kasar. Manakala demonstrasi penangkapan Morsi didepani oleh pihak tentera dan menyebabkan ramai yang terbunuh.

Bayangkan kalau pihak keselamatan Malaysia bersikap gopoh dan tidak bijaksana, apa yang berlaku di Turki dan Mesir boleh berlaku di Malaysia. Sayangnya tokoh-tokoh yang mengangkat sumpah di Malaysia sebagai wakil rakyat dan sebahagian pendukung yang berbaring di pintu masuk Parlimen menyatakan bantahan, terlihat semacam suatu episod yang penuh kelakar antara prinsip dan juga realiti.

Secara prinsip anak muda yang berbaring diajar bahawa angkat sumpah di Parlimen tidak sah kerana pilihan raya yang berlangsung dituduh sebagai tipu. Malangnya tokoh-tokoh yang mengatakan pilihan raya tidak sah tanpa rasa bersalah terhadap pengikutnya mengangkat sumpah.

Niat kumpulan ini ingin mengambil semangat Dataran Tahrir dan Arab Spring. Sayangnya semangat Dataran Tahrir dan Arab Spring memakan diri Morsi. Dan ada kemungkinan penyokong Morsi akan bangkit semula untuk mengembalikan Morsi di Dataran Tahrir dan di tempat-tempat lain di Mesir. Kalau ini terjadi sehingga bila ia akan selesai. Mesir sebenarnya dalam krisis besar. Mesir dalam rusuhan dan keadaan tidak stabil.

Kalau ini terjadi di Malaysia, negara akan menjadi huru-hara lebih-lebih lagi Malaysia masyarakatnya majmuk. Isu perkauman mudah bangkit. Keadaan negara akan menjadi lebih buruk lagi.

Seperti yang terjadi di Mesir, kita tidak mahu ia berlaku di Malaysia. Rekod pembangunan yang meraikan semua kaum menyebabkan Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang stabil. Umumnya gambaran perpaduan dalam kalangan masyarakat dari sudut interaksi sosial, suasana perniagaan adalah baik.

Bila ada pihak ingin menjadi juara kepada sesuatu kaum menyebabkan kocakan terjadi. Memang ada suara-suara ekstrem tetapi ia masih dalam pembendungan orang yang waras akal fikirnya. Membangkitkan konflik perkauman mungkin mudah tetapi membendung perasaan ini tidak mudah. Warga Malaysia harus insaf bahawa harga perpaduan adalah terlalu mahal untuk dimiliki dan dipertahankan.

Sebagai sebuah masyarakat majmuk menjadi amanah untuk dijaga perpaduan ini dan jangan terjebak dengan permainan tokoh politik yang berkepentingan untuk merosakkan suasana ini.

Kalau ada pun tokoh ini ingin menjadi Perdana Menteri -- Lain kalilah. Pilihan Raya Umum Ke-14 masih ada. Kalau Pas merasakan DAP masih relevan dengan cita-cita Negara Islamnya tunggulah lima tahun lagi. Kalau DAP ingin meluaskan lagi dominasinya ke Sabah dan Sarawak tunggulah bila sampai masanya.

Demokrasi di Malaysia harus dihormati. Bila MCA dan Gerakan tidak lagi disokong oleh masyarakat Cina, MCA mengambil sikap tidak menyertai kerajaan. Bila Pas dan PKR mendapat banyak kerusi atas bantuan DAP juga ia harus dilihat sebagai suatu percaturan kerusi. Dukungan timbal balik Pas-DAP-PKR tidak membayangkan fahaman dan ideologi perjuangan yang sama untuk dijadikan dasar negara apalagi berdepan dengan musuh bersama BN-UMNO dan lain-lain.

Ternyata secara demokratik, UMNO memenangi banyak kerusi di samping dukungan Sabah dan Sarawak. Kalaulah takdirnya dalam tempoh lima tahun ini Pas ingin bekerjasama dengan UMNO atas kepentingan umat Melayu, kedudukan politik akan lebih stabil dan kuat.

Kalau tidak, apa maksud politik untuk Pas bersama dengan DAP secara jangka panjang. UMNO dengan iklim politik yang ada akan menang lagi menjelang PRU-14.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved