Selasa, 9 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor sasar 4.9 juta pelancong

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 8 Julai - Inisiatif kerajaan menambah kekerapan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai dijangka mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong dari 3.9 juta orang pada tahun lalu kepada 4.9 juta menjelang 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, penyelarasan semula sistem penerbangan itu dimulakan dengan menambah penerbangan ulang-alik ke Indonesia bagi menggamit lebih ramai pelancong.

Menurutnya, selain pintu masuk udara, kerajaan juga akan melakukan penyelarasan atau penambahbaikan di pintu masuk darat dan laut yang menghubung Singapura dan Indonesia supaya Johor kekal sebagai lokasi kunjungan wajib bagi pelancong asing.

"Selain menarik perhatian pelancong dari Singapura dan Indonesia, kerajaan juga sedang merangka beberapa pelan strategik dengan negara lain seperti Korea, Hong Kong, China, Thailand serta negara-negara Asia Barat untuk mengadakan penerbangan tempahan khas pada musim percutian.

"Dengan memberi penekanan pertama iaitu menyelaras sistem penerbangan tersebut, kerajaan berharap Johor yang semakin dikenali mampu menarik pelancong lebih ramai terutamanya dari Asia Barat," katanya selepas merasmikan MATTA Fair di Batu Pahat Mall, di sini semalam.

Beliau berkata, sistem kemasukan pelancong membabitkan bas persiaran di Tambak Johor dan Linkedua yang kini memakan masa untuk masuk ke negeri akan dikemas kini semula.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan mempromosikan konsep taman tema seperti Legoland, Pearl Harbour, Hello Kitty dan Angry Bird yang akan dibina tidak lama lagi bagi menjadikan negeri ini semakin diingati oleh pelancong.

"Selain menarik pelancong asing, kita juga tidak melupakan pelancong tempatan sebagai usaha menggalakkan aktiviti pelancongan dalam negara, sekali gus membantu perkembangan sektor ekonomi tempatan," katanya.

JAIJ sentiasa pantau kegiatan ajaran sesat

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Abdul Mutalib Abdul Rahim menyampaikan Anugerah Guru Agama Cemerlang Tahun 2013 kepada Zaiton Khalid pada Majlis Sambutan Hari Guru Agama Daerah Segamat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di daerah itu kelmarin.

SEGAMAT 8 Julai - Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sentiasa memantau dan mengumpul maklumat terperinci tentang kumpulan yang disyaki bergerak secara senyap dan rahsia untuk mengembangkan ajaran mereka di sekitar negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalib Abdul Rahim berkata, pemantauan dilakukan secara berterusan terhadap kumpulan tersebut dan bekas ahli beberapa kumpulan yang telah diharamkan seperti Al-Arqam supaya tidak cuba menghidupkan kembali ajaran berkenaan.

"Memang tidak dinafikan masih terdapat usaha beberapa kumpulan yang sudah dikenal pasti untuk menyebarkan ajaran sesat di negeri ini secara senyap. Namun, identiti dan bilangan mereka tidak dapat didedahkan atas sebab tertentu ketika ini.

"Pemantauan terhadap kegiatan ahli kumpulan tersebut dilakukan secara berterusan termasuk memastikan tidak disebarkan kepada orang ramai sebelum sebarang tindakan dapat diambil oleh pihak berkuasa," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Agama Daerah Segamat, di sini semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kumpulan yang cuba menyebarkan ajaran meragukan.

Dalam pada itu, Abdul Mutalib menggesa semua guru agama di negeri ini mempertingkatkan kemahiran serta kualiti diri bagi memastikan mereka mampu menggalas tanggungjawab serta memainkan peranan sebagai insan pendidik bagi memastikan tugas guru agama setanding dengan profesion lain.

Hampir 400 guru agama di daerah Segamat hadir pada majlis tersebut yang turut menobatkan Zaiton Khalid, Guru Besar Sekolah Agama Jementah sebagai Guru Agama Cemerlang 2013.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Agama Segamat, Zamri Mo'men berkata, agenda penting seorang guru adalah melahirkan seberapa ramai insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani serta sentiasa menilai sejauh mana sasaran yang ditetapkan telah dicapai.

"Guru yang cemerlang harus selalu berusaha untuk memajukan diri dan pada masa yang sama turut mampu melahirkan pelajar yang cemerlang serta masyarakat berdaya saing.

"Guru tidak harus membataskan peranan mereka di sekolah sahaja tetapi kepada seluruh kelompok masyarakat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved