Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pertembungan Riyadh-Doha

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Azmi Hassan

Pemberontak- pemberontak Syria dikatakan mendapat bantuan dari Arab Saudi dan Qatar dalam usaha mereka menentang pentadbiran Presiden Bashar al Assad.

KEMELUT yang sedang melanda Mesir pada ketika ini adalah manifestasi kepada lanjutan kesan perluasan pengaruh yang sedang menular dalam kalangan negara Arab terutama sekali bagi negara yang mempunyai kemampuan dana kewangan tanpa batasan yang diperolehi daripada sumber minyak dan gas.

Memang benar Amerika Syarikat (AS) sedaya upaya cuba mengekalkan pengaruh yang masih dimiliki tetapi begitu jelas peranan Washington begitu terbatas. Sebab itu Presiden Barack Obama enggan melabelkan penyingkiran Presiden Mohammed Mursi sebagai rampasan kuasa oleh angkatan tentera Mesir kerana tindakan sedemikian akan mengekang bantuan kewangan tahunan yang disalurkan kepada Kaherah.

Selama satu tahun pemerintahan Mursi, Washington telah menyalurkan bantuan sebanyak AS$1.5 bilion yang sebahagian besarnya diperuntukkan kepada angkatan tentera. Bantuan sebegini sedikit sebanyak memberi hak untuk Washington mempengaruhi organisasi paling berkuasa di Mesir iaitu angkatan tentera. Sebab itu juga Obama mengambil keputusan yang agak janggal untuk meneruskan jadual penghantaran empat jet pejuang F16 kepada Mesir walaupun negara itu sedang bergolak.

Seperti mana Tunisia, Libya dan juga Syria yang telah menjadi mangsa perluasan pengaruh, Mesir juga tidak terkecuali menerima kesan fenomena ini. Keadaan yang semakin buruk di Syria dan penyingkiran Mursi tidak keterlaluan diandaikan kerana dorongan yang disabitkan oleh negara Arab lain.

Perebutan pengaruh dalam kalangan negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Kuwait, Qatar dan tidak ketinggalan juga Turki sebenarnya telah merosakkan kestabilan rantau Arab.

Ketika era pentadbiran Mursi, hanya Qatar dan Turki yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada Mesir kerana Arab Saudi, UAE, Jordan dan Kuwait mentafsirkan kebangkitan Ikhwanul Muslimin adalah ancaman kepada kerajaan mereka.

Bantuan Qatar dan Turki kepada Mesir yang menghampiri AS$10 bilion sebenarnya telah banyak membantu Mursi yang dapat bertahan selama satu tahun tanpa mendapat pertolongan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Walaupun Washington menyeru supaya Riyadh, Abu Dhabi dan Kuwait memberi bantuan kepada Mesir tetapi kedua-dua negara ini enggan walaupun mempunyai kemampuan. Tetapi anehnya sebaik sahaja Mursi disingkirkan, ketiga-tiga negara Arab ini telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak AS$12 bilion disalurkan dengan segera kepada Kaherah sebagai membantu kerajaan sementara Mesir.

Kemelut Mesir sebenarnya telah menggambarkan secara tersirat pertembungan proksi antara dua kuasa besar negara Arab iaitu Arab Saudi dan Qatar yang masing-masing cuba memperluaskan pengaruh di negara Arab yang bermasalah. Jika dibandingkan dengan jumlah bantuan kewangan yang disalurkan oleh negara Arab dengan bantuan Amerika hanya AS$1.5 bilion, begitu jelas Riyadh atau pun Doha mempunyai asas pengaruh yang lebih kukuh berbanding Washington.

Pertembungan di antara dua kuasa besar Arab ini tidak hanya berlaku di Mesir, tetapi juga turut melanda Syria. Walaupun Riyadh dan Doha mempunyai objektif yang serupa iaitu mahu melihat kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al Assad, tetapi bantuan yang dihulurkan kepada pemberontak adalah kumpulan yang berlainan ideologi.

Doha umpamanya banyak membantu kumpulan pemberontak Syria yang sehaluan dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin sementara Riyadh pula menghulurkan bantuan kepada kumpulan pemberontak yang lebih sekular. Pertembungan Riyadh dan Doha sedikit sebanyak adalah penyebab utama mengapa kumpulan pemberontak Syria berpecah belah dan begitu sukar untuk menewaskan tentera kerajaan Bashar.

Meruncing

Peletakan jawatan oleh Perdana Menteri kerajaan dalam buangan pemberontak Syria iaitu Ghassan Hitto beberapa hari lepas, menyerlahkan lagi pertembungan Riyadh dan Doha. Desas desus menyatakan Hitto yang ditakrifkan rapat dengan Doha telah dipaksa melepaskan jawatan kerana tekanan dari Riyadh.

Begitu juga dengan bantuan Doha kepada Parti Ennahda di Tunisia, kumpulan Abdul Hakim Belhadj di Libya dan Hamas di Semenanjung Gaza mengeruhkan lagi kestabilan dunia Arab kerana ia meruncingkan lagi kemarahan Arab Saudi. Seperti mana yang sedang melanda Mesir dan Syria yang begitu sukar mencari kedamaian, pertembungan Riyadh dan Doha telah menyukarkan lagi keadaan di Tunisia, Libya dan juga Palestin.

Percanggahan laporan media oleh dua agensi berita utama yang berpengkalan di rantau Arab iaitu Al Jazeera dan Al Arabiya, terutama sekali yang melibatkan berita mengenai Mesir adalah rentetan dari pertembungan Riyadh dan Doha. Seperti sedia maklum pemerintah Qatar menguasai Al Jazeera sementara Al Arabiya pula memihak kepada Arab Saudi.

Liputan berita dari Al Jazeera dikatakan lebih banyak memihak kepada Ikhwanul Muslimin yang selari dengan pendirian Doha. Sementara Al Arabiya pula lebih terdorong untuk menyokong penyingkiran Mursi yakni serupa dengan pegangan Riyadh. Pertembungan di antara kedua-dua agensi berita ini sampai kemuncaknya ketika rakyat Mesir memberontak terhadap pentadbiran Mursi apabila staf Al Jazeera rakyat Mesir, menuduh agensi tersebut melapor berita yang berat sebelah.

Pertembungan di antara Riyadh dan Doha bukan sahaja memburukkan lagi keadaan di Mesir dan Syria tetapi yang lebih penting adalah perubahan pengimbangan kuasa di rantau Arab akan berlaku dan jika tidak ditangani dengan betul akan membabitkan kestabilan rantau tersebut secara keseluruhan.

Qatar yang banyak membantu Hamas di Semenanjung Gaza adalah tidak selari dengan kehendak Arab Saudi dan juga AS. Pertembungan sebegini akan menyukarkan lagi penyelesaian konflik Palestin-Israel. Mesir yang dianggap sebagai pemain utama dalam konflik tersebut kerana faktor penguasaan Semenanjung Sinai, adalah begitu penting supaya pergolakan negara itu tidak berpanjangan.

Perubahan tampuk pemerintahan Qatar yang berlaku bulan lepas telah memberikan satu harapan baru supaya pertembungan Riyadh dan Doha tidak akan berlarutan. Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani disifatkan lebih pragmatik berbanding dengan Amir sebelum ini iaitu bapa beliau Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani.

Sokongan Doha kepada Ikhwanul Muslimin lebih berdasarkan kepada strategi yang pragmatik dan bukannya kerana pegangan ideologi. Pragmatik kerana Doha menilai Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan yang mampu mentadbir Mesir dengan baik tetapi besar kemungkinan penilaian pragmatik Doha boleh bertukar apabila Mursi disingkirkan.

Begitu juga dengan pengalaman Sheikh Tamim yang telah mengetuai jawatankuasa bersama Arab Saudi-Qatar sejak tahun 2009 dalam usaha untuk mengendurkan hubungan genting kedua-dua negara dapat membantu memulihkan hubungan diplomatik kuasa besar Arab ini.

Menjadi harapan bahawa kelebihan yang dimiliki oleh Arab Saudi dan Qatar digunakan secara bersama untuk kebaikan dan kestabilan rantau Arab. Mesir dan Syria yang sedang bergolak adalah manifestasi jelas bagaimana bahayanya jika pertembungan ini melarat ke negara lain. Begitu juga dengan krisis yang melanda kerajaan Tunisia dan Libya diburukkan lagi oleh kerana pertembungan dua kuasa besar ini.

Konflik Palestin-Israel tidak mungkin akan berjaya mencari penyelesaian jika Arab Saudi dan Qatar mempraktikkan strategi yang berlawanan di antara satu sama lain. Jika keadaan ini berlarutan, hanya satu pihak yang akan menerima manfaatnya, iaitu Israel.

Semoga ketidaktentuan yang melanda Mesir pada hari ini menjadi iktibar kepada negara Arab terutama sekali yang berkemampuan untuk mencari jalan tengah bagaimana kekayaan dan pengaruh yang dimiliki digunakan untuk kemakmuran dan bukannya kemusnahan rantau negara Arab.

Iktibar Mesir: Ramadan dan perpaduan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Dr. Mohd Roslan Mohd Nor

Umat Islam Mesir berbuka puasa dalam suasana tenang biar pun negara mereka berhadapan pergolakan politik akibat rampasan kuasa oleh pihak tentera.

RAMADAN pada tahun ini disambut dalam keadaan pergolakan yang berlaku di beberapa negara Islam, antaranya Syria dan Mesir. Bagi Mesir, kejatuhan Presiden Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu menjadikan negara tersebut terus bergolak dan mengalami zaman yang tidak menentu. Dalam sejarah negara tersebut, ini adalah satu sejarah baru apabila pihak tentera mengambil alih pemerintahan negara daripada seorang pemimpin yang baru dilantik setahun.

Rata-rata pemerhati melihat perubahan kepimpinan di Mesir melalui cara pengambilalihan kuasa oleh pihak tentera menyebabkan keadaan menjadi semakin tidak menentu. Walaupun ada janji untuk menggantung sementara perlembagaan negara dan mengadakan pilihan raya semula dalam waktu terdekat, masih terdapat mereka yang tidak berpuas hati terutama penyokong Mursi yang dilatari Ikhwanul Muslimin.

Kerajaan sementara yang dibentuk di bawah pimpinan Adli Mansour dilihat terpaksa menjalankan satu tugas yang mencabar. Beliau perlu meredakan kemarahan rakyat Mesir serta mengajak kumpulan-kumpulan yang memenangi pilihan raya pada tahun lalu untuk duduk berunding dan berbincang mengenai masa depan negara serta pembahagian kuasa.

Ikhwanul Muslimin tidak menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kerajaan sementara tersebut. Mereka terus mendesak supaya bekas Presiden Mesir dilantik semula sebagai presiden. Ketegangan di Mesir memuncak dengan kejadian pada 8 Julai lalu apabila pihak tentera membunuh 50 orang penyokong Mursi yang berhimpun di satu tempat di mana mereka percaya ia menjadi tempat tahanan bekas presiden itu.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin telah ditahan, termasuklah Mursyidul Am mereka iaitu Muhamad Badie. Beliau bersama sembilan yang lain dihadapkan ke mahkamah pada Rabu lepas di atas tuduhan menghasut rakyat untuk meneruskan protes terhadap kerajaan sementara yang dibentuk.

Ketika pihak tentera cuba melantik pemimpin-pemimpin yang boleh dipercayai menjalankan tugas meredakan rakyat Mesir, kemarahan nampaknya semakin memuncak. Tiada tanda-tanda bahawa Mesir akan aman daripada kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan. Medan Tahrir menjadi tumpuan berhimpun. Jumaat pertama di bulan Ramadan digunakan oleh para penyokong Mursi untuk melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut Mursi kembali sebagai presiden.

Negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) pada awalnya tidak menyatakan apa-apa pendirian jelas terhadap penahanan Mursi yang telah dijatuhkan. Namun begitu, setelah Jerman meminta supaya Mursi dibebaskan dari tahanan, barulah suara AS dapat didengar untuk turut meminta pembebasan Mursi daripada apa jua bentuk tahanan.

Pendirian negara-negara Islam dilihat tidak sekata di dalam hal ini. Negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan sokongan yang kuat terhadap kerajaan sementara di Mesir. Malah mereka turut beranj menyalurkan bantuan yang jumlahnya cukup besar, berbilion dollar. Tidaklah diketahui kenapakah sokongan kuat sebegitu rupa dinyatakan oleh negara-negara ini.

Sebaliknya bagi Turki dan Iran, mereka tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh pihak tentera terhadap kepimpinan Mursi. Mereka tidak menyokong tindakan tentera dalam hal ini atas alasan pelantikan dibuat berdasarkan amalan demokrasi. Ini bersandarkan fakta kemenangan Mursi dalam pilihan raya Presiden Mesir pada tahun lalu sebagai satu kemenangan yang sah dengan sokongan majoriti.

Bersatu

Melihat kepada pergolakan ini, ada dua perkara utama yang bermain dalam fikiran penulis: Apakah umat Islam tidak boleh bersatu? Dan apakah masa depan bagi umat Islam dalam konteks krisis global (Timur Tengah) yang berlaku?

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah" (Ali Imran: 103) dan firman-Nya: "dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datangnya keterangan-keterangan yang nyata (al-Quran dan Rasul-Nya)" (Ali Imran: 105)

Ada kemungkinan apa yang berlaku di Asia Barat, pergolakan yang tiada hentinya ini, mempunyai kaitan dengan agenda hegemoni Barat yang tidak senang dengan beberapa pendirian Islamis negara-negara terbabit.

Umpamanya pendirian Mesir di bawah kepimpinan Mursi untuk memberi sokongan terhadap Hamas, dilihat seakan-akan menempelak Israel dan menguji Amerika dan sekutunya yang menuduh Hamas sebagai pertubuhan militan yang tidak boleh dibantu.

Ini pasti meletakkan sekutu kuat AS di Asia Barat iaitu Israel dalam keadaan bahaya. Sudah tentulah pendirian seperti ini amat tidak disukai dan pihak Yahudi akan sentiasa mencari jalan menggugat keutuhan Mesir. Begitupun, ada juga yang melihat bahawa tindakan Mursi di peringkat dalaman dalam memperkenalkan polisi-polisi tertentu mendapat tentangan daripada masyarakat.

Keadaan ekonomi yang tidak baik juga telah memberikan kesan sehingga ada di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati. Gerakan penentangan ini pastinya daripada golongan sekular yang tidak senang dengan pendirian Islamis oleh Mursi. Melihat perkembangan semasa yang berlaku ini pastinya membuatkan ramai yang berfikir apakah masa depan rakyat Mesir dan masa depan umat Islam itu sendiri? Memanglah apa yang berlaku di Mesir itu sukar untuk diterima sama ada oleh negara umat Islam mahupun negara Barat kerana asas pembentukan pemerintahan negara tersebut pasca Mubarak adalah berasaskan pilihan raya dan demokrasi.

Adakah sistem demokrasi tidak sesuai di Mesir? Ini suatu perkara yang menarik untuk diperdebatkan oleh ahli-ahli sains politik. Islam memberikan panduan umum supaya umat ini tidak berpecah belah dan berselisih dalam hal-hal yang tidak perlu, apatah lagi hal-hal yang tidak memberi keuntungan kepada agama.

Dalam hal ini kita faham bahawa berbeza pandangan bukanlah sesuatu yang dilarang, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "perbezaan dalam kalangan umatku adalah rahmah." Di sana ada juga bentuk-bentuk perbezaan yang dibenarkan, tetapi asasnya ia bukan perkara yang akan membawa kepada perpecahan umat.

Dalam hal agama terutama yang berkait dengan akidah, sepatutnya khilaf tidak berlaku. Dalam soal furu' hukum hakam, khilaf boleh berlaku dalam pentafsiran nas mengikut pandangan-pandangan para ulama.

Jelasnya, apa yang berlaku di Mesir ini belum ada tanda-tanda ia akan reda dalam waktu yang singkat. Masih ada percaturan tertentu yang perlu dilakukan oleh kerajaan sementara terutama dalam meminta kumpulan Ikhwanul Muslimin bersetuju dengan pelan seterusnya. Ia bukan mudah kerana parti al-Hurriyyah wa al-Adalah yang mewakili Ikhwanul Muslimin memenangi secara majoriti pilihan raya sebelum ini. Secara logiknya, merekalah yang mempunyai kuasa untuk memerintah.

Penolakan kumpulan Ikhwanul Muslimin terhadap pelan peralihan baru dan tidak menerima jemputan berunding memang satu tamparan dalam konflik yang berlaku ini. Hizb al-Nur, parti kedua yang menguasai pilihan raya Mesir, juga mempunyai pendirian dan pandangan berbeza. Malah kumpulan Tamarod yang mendapat sokongan pihak tentera dalam mencetuskan penentangan sehingga Mursi dijatuhkan, turut tidak bersetuju dengan pelan yang dibuat.

Pada peringkat awal usaha menjatuhkan Mursi, ia kelihatan seperti mendapat sokongan Barat. Sebaliknya, Barat turut berada dalam dilema sama ada ingin menganggap apa yang berlaku di Mesir sebagai rampasan kuasa atau pengguguran pemimpin diktator.

Pendirian ini mempunyai kesan. Jika ia satu rampasan kuasa, maka negara barat pendokong demokrasi tidak akan memberikan kerjasama kerana rampasan kuasa itu dilakukan terhadap kerajaan yang melalui proses pemilihan yang sah. Justeru, beberapa perkembangan semasa seperti pendirian AS dan Jerman, menggambarkan bahawa konflik ini masih belum mendapat ketentuan akan berakhir dalam waktu terdekat ini.

Seorang penganalisis, Roger Hardy memberikan komentar dalam konteks ini bahawa Arab Spring menunjukkan betapa kuasa rakyat bukanlah segalanya yang boleh merubah sesuatu sekelip mata. Bagi beliau, ia bersifat lokal, tidak memberikan impak kepada rantau tersebut melainkan ia hanyalah peningkatan populariti yang diinginkan.

Bagi kita, kestabilan Mesir sangat penting kerana ia merupakan sebuah negara Islam yang besar pengaruhnya. Institusi mereka seperti Universiti Al-Azhar telah melahirkan ramai pemikir-pemikir Islam berwibawa.

Syeikh al-Azhar merupakan sosok yang sangat dihormati kerana tradisi Al-Azhar yang menjaga turath ilmu di dunia Islam. Oleh itu, apa pun percaturan politik yang sedang berlaku di sana, harapan kita agar ia boleh membawa kepada kestabilan, keharmonian dan kehidupan yang normal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved