Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Masih ramai abai kebersihan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh Mohamed Saari
utusanjohor@utusan.com.my

Penduduk membersihkan kawasan yang dipercayai menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dalam Program Gotong-Royong Perdana Banteras Denggi di Kampung Paya Merah, Labis, baru-baru ini.

LABIS 12 Julai - Walaupun menyedari aspek kebersihan amat penting untuk kesihatan diri dan masyarakat, masih ramai yang kurang memberi penekanan terhadapnya.

Malah, tindakan membuang sampah-sarap merata-rata, membawa masalah lebih besar termasuk penularan pelbagai penyakit terutamanya demam denggi apabila tempat pembuangan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Lebih malang, sekiranya tidak dikawal, demam denggi boleh membawa maut.

Justeru, Penolong Pegawai Pentadbir Tanah dan Daerah Kecil Labis, Ezahar Abu Sairi menyeru semua pihak tidak membuang sampah sembarangan yang boleh mengakibatkan sistem perparitan tersumbat sehingga menimbulkan masalah kesihatan penduduk.

"Setiap individu di negara ini dianggarkan menyumbang kira-kira dua kilogram sampah setiap hari. Antara masalah kesihatan yang serius berpunca daripada sikap kita menangani kebersihan persekitaran adalah demam denggi yang berpunca daripada pembiakan nyamuk aedes.

"Tanggungjawab membanteras denggi terletak di bahu semua pihak termasuk masyarakat tanpa mengira usia dan kaum asalkan mempunyai kesedaran terhadap bahaya denggi," katanya semasa merasmikan Gotong-Royong Perdana Banteras Denggi di Kampung Paya Merah, di sini baru-baru ini.

Pada program tersebut, kira-kira 300 penduduk bersama kakitangan agensi terlibat seperti Jabatan Kesihatan Segamat, Majlis Daerah Labis, pasukan bomba dan penyelamat dan SWM Environment Sdn. Bhd., bergotong-royong membersihkan kawasan yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar kampung tersebut.

Ezahar turut mengesa pihak sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta membantu memberi pendidikan serta memupuk kesedaran tentang peranan yang boleh dimainkan dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih dan sihat.

"Kita sering terlupa bahawa kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai dan sering diabaikan serta beranggapan bukan tanggungjawab kita sebaliknya diserahkan kepada pihak tertentu sehinggalah musibah menimpa," katanya.

Suri rumah terharu terima sumbangan warga sekolah

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Norhisham Abd. Karim (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Sakinah Harun Khan (kanan) dalam Program Semurni Kasih Ramadan di Surau Kampung Seluyut, Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 12 Julai - Suri rumah, Norazah Aziz, 34, di Kampung Felda Pasak di sini, tidak dapat menahan linangan air mata selepas penderitaan anak ketiganya yang menghidap ketumbuhan di perut mendapat perhatian masyarakat setempat.

Dua tahun lalu, anaknya, Norhisham Abd. Karim, 7, menjalani pembedahan ekoran penyakit ketumbuhan di kepala yang memberi kesan sehingga dia hilang penglihatan.

Penderitaan Norhisham tidak berakhir setakat itu kerana penyakitnya beralih ke bahagian perut.

Norazah yang juga ibu kepada tujuh orang anak memberitahu, ketumbuhan dalam perut Norhisham semakin besar dan doktor memaklumkan dia perlu dibedah pada 18 Julai ini.

"Setakat ini doktor tidak memaklumkan kosnya. Saya juga tidak tahu bagaimana untuk membayar kos pembedahan itu nanti.

"Tambahan pula, suami saya tidak sihat dan mempunyai sakit kencing manis. Gaji yang diperoleh hasil kerja kampung pula kira-kira RM300 sebulan," katanya ketika ditemui dalam Program Semurni Kasih Ramadan anjuran Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Muzaffar Syah dengan kerjasama Kelab Sokongan Ibu dan Bapa sekolah tersebut baru-baru ini.

Norazah merupakan salah seorang daripada 43 penduduk kurang berkemampuan yang menerima sumbangan beras dan barangan keperluan harian dalam majlis di Surau Kampung Seluyut di sini, yang turut dihadiri ketua kampung tersebut, Abd. Razak Ibrahim.

Meskipun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarganya.

Menurut Norazah, selain masalah kesihatan dan kekangan kewangan, Norhisham tidak dapat bersekolah meskipun dia begitu teruja dan bersemangat memasuki alam persekolahan.

"Norhisham sering memberitahu saya mahu ke sekolah, namun kami tidak mampu. Melihat keadaannya juga membuatkan saya berasa pilu dan sedih kerana dia perlu menjalani rawatan susulan di hospital sebanyak tiga kali sebulan.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Muzaffar Syah, Sakinah Harun Khan berkata, pihaknya akan cuba membawa masalah Norhisham kepada Jabatan Pelajaran supaya kanak-kanak tersebut dapat bersekolah.

"Dia budak cerdik, walaupun matanya tidak boleh melihat tetapi dia petah bercakap dan pendengarannya tajam. Rugi jika dia tidak bersekolah, tambahan pula Norhisham mempunyai semangat tinggi untuk ke sekolah. Kita akan ajukan perkara ini kepada jabatan dan cuba membantu sedaya upaya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved