Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Suspek kes bunuh di Singapura ditahan di Johor Bahru

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

SINGAPURA 13 Julai — Polis menahan seorang rakyat republik ini yang merupakan seorang pegawai polis yang ditempatkan di bahagian polis Bedok atas tuduhan membunuh.

Suspek berumur 34 tahun ditahan oleh sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi di Johor Baharu, Johor sebelum diekstradisi dan dibawa ke kompleks polis di sini hari ini.

Pesuruhjaya Polis, Ng Joo Hee berkata, suspek akan didakwa kerana membunuh secara kejam Tan Boon Sin dan anak lelakinya Tan Chee Heong tiga hari lalu di Hillside Drive.

"Kami kini telah menahan pegawai tersebut dan akan mendakwanya. Beliau merupakan suspek pembunuhan yang akhirnya akan menerima pembalasan di atas jenayah hina yang didakwa dilakukannya," katanya pada persidangan akhbar.

Ng berkata, hari ini merupakan hari yang malang bagi pihak polis kerana suspek yang mereka tahan turut merupakan seorang anggota polis.

"Pegawai tersebut juga membawa kehinaan kepada 10,000 pegawai polis lain yang setiap hari berdedikasi melindungi orang lain dan menggadai nyawa mereka sendiri untuk melindungi orang lain," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean berkata, suspek dalam kes ini merupakan seorang staf Sarjan yang ditahan hasil kerjasama erat antara Pasukan Polis Singapura dan PDRM.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas bantuan mereka dalam menahan suspek. Ini merupakan contoh cemerlang perkongsian yang erat dan bernilai yang wujud antara agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia dan Singapura sejak beberapa dekad lalu," katanya. - BERNAMA

Empat lelaki kempunan kereta bawa lembu curi terbabas

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Kereta suspek kes curi lembu yang ditinggalkan selepas terbabas di simpang Kampung Paya Gunung, Jerantut, Pahang, kelmarin. - MINGGUAN/ M. RIZAL NOR

JERANTUT 13 Julai - Hasrat empat lelaki untuk mencuri seekor lembu gagal selepas kereta dinaiki mereka membawa haiwan itu terbabas ketika dikejar pemiliknya di Kampung Pedah di sini semalam.

Kereta Proton Iswara Aeroback yang digunakan kumpulan itu telah diubah suai untuk mengisi lembu di ruang tempat duduk penumpang bahagian belakang.

Pemilik lembu berkenaan, Mohd. Hariri Muhammad, 47, memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi rakannya, Mohd. Lotfi Sidek, 47.

Menurutnya, ketika pulang dari Masjid Kampung Jerantut Feri, rakannya memaklumkan dia nampak seekor lembu terbaring di tepi jalan dan terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dipercayai milik pencuri itu.

"Saya kemudian bergegas ke tempat itu dan terserempak dengan kereta dinaiki kumpulan lelaki berkenaan berhampiran simpang Jalan Jerantut-Maran.

"Saya terus mengejar kereta itu dan sebaik menghampiri simpang ke Kampung Paya Gunung, saya nampak kereta pencuri itu terbabas dan mereka terus melarikan diri," katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Mohd. Hariri, dia yang keseorangan ketika itu tidak sempat mengejar lelaki terbabit dan segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Dia yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah sekolah menengah di sini berkata, sebanyak 28 ekor lembu miliknya hilang sebelum ini membabitkan kerugian kira-kira RM40,000.

"Saya percaya pencuri itu menyumpit ubat pelali untuk melemahkan lembu saya sebelum dilarikan namun gagal kerana ada orang kampung yang nampak," katanya yang memiliki 88 ekor lembu sejak bergiat aktif sebagai penternak pada 1988.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu dan gerakan memburu semua suspek giat dilakukan.

"Semua barang kes termasuk kereta dan alat yang digunakan untuk mencuri lembu telah dibawa ke balai bagi membantu siasatan.

Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana mengkhianati binatang dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved