Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Berdiri di puncak dunia

Posted: 03 Jul 2013 12:47 AM PDT

Siti hanisah (kanan) ditemani oleh sherpa, Jamling Bhote yang mengiringinya hingga ke puncak Everest.

MEREKA berdua antara tujuh pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest di ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut pada ekspedisi yang bermula 2 April dan berakhir 1 Jun lalu.

Lebih membanggakan kedua-duanya mencipta rekod tersendiri sebagai pendaki wanita termuda dalam sejarah penerokaan oleh pendaki-pendaki negara ke puncak yang juga dikenali sebagai bumbung dunia itu.

Awalnya sejarah dicipta oleh Myrza Fasha, yang tiba di puncak tepat pukul 10.30 pagi (waktu Nepal) 21 Mei sebelum rekodnya dipecah dua hari kemudian oleh Siti Hanisah yang tiba pada pukul 7.41 pagi (waktu Nepal) pada 23 Mei.

Myrza Fasha dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang, yang lebih mesra disapa Fasha merupakan graduan kejuruteraan elektronik dan elektrik dari Universiti Malaysia Pahang.

Dia mula berkecimpung dalam sukan lasak mendaki gunung ketika menjadi pelajar di universiti tersebut.

"Pada tahun lalu, saya menghadiri sesi pemilihan yang diadakan oleh KE7B di Shah Alam. Seramai 30 anak-anak Felda dari seluruh Malaysia menyertai pemilihan itu.

"Selepas terpilih, saya menjalani ujian stamina, merangkumi larian 2.4 kilometer, tekan tubi dan bangkit tubi. Kemudian saya melalui ujian pengucapan awam dan turut diuji kemahiran ikatan tali.

"Kebetulan saya memang ahli Pandu Puteri ketika di sekolah dan ilmu mengikat tali memang dalam ingatan saya," ujar Fasha mengimbas penglibatan awalnya sebelum terpilih menyertai Everest-Felda 2013.

Apabila terpilih, Fasha ditempatkan di hostel Majlis Sukan Nasional (MSN) selama tujuh bulan dan menjalani latihan setiap hari sebelum ujian pertama mendaki di Gunung Brinchang di Cameron Highlands.

"Selain persediaan stamina, saya juga tidak menghadapi masalah dalam pemakanan, tiada pantang larang dan tidak juga mengambil sebarang multivitamin," ujar Fasha yang telah menawan puncak Berembun Wrays, Trans Langat, Gunung Kinabalu, Gunung Nuang, Gunung Trusmadi dan Gunung Hantu.

Setelah berjaya dalam ujian sebenar mendaki gunung-gunung di Malaysia, Fasha diterbangkan ke Nepal untuk merasai sendiri perbezaan cuaca di Gunung Lobuche.

"Pertama kali saya tiba di Nepal, cuaca amat sejuk 14 darjah celsius. Bayangkan ketika itu saya perlu meredah ais ke paras lutut.

"Alhamdulillah, saya tidak demam, cuma mengalami sedikit Acute Mountain Sickness (AMS). Penawarnya adalah minum banyak air dan sup bawang putih. Kalau AMS semakin teruk, saya hanya perlu turun gunung untuk mendapat oksigen yang mencukupi," ujar Fasha yang bertubuh kecil molek.

Hampir sebulan berada di Nepal dan sebelum mendaki Gunung Everest, Fasha berehat di ibu kota Nepal, Kathmandu, sebelum ke Island Peak dan membuat persiapan untuk memulakan cabaran sebenar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved