Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Dadah, rokok seludup dimusnahkan

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Kakitangan Maritim Malaysia memasukkan karton rokok haram dalam mesin pelupusan pada satu majlis di Batu Pahat, kelmarin.

JOHOR BAHRU 2 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah Batu Pahat melupuskan kira-kira 220,000 batang rokok seludup dan dadah jenis ketamin serta syabu bernilai kira-kira RM875,000 semalam.

Ketua Penguat Kuasanya, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua rokok dan dadah tersebut adalah hasil rampasan dan kejayaan pasukan berkenaan sejak awal tahun lalu sehingga Mac tahun ini.

"Kebanyakan kes berkaitan rokok dan dadah yang tidak sah berjaya diselesaikan pihak kami dan hasil rampasan dilucutkan hak serta dimansuhkan dengan mencarik lalu membakarnya supaya tidak timbul sebarang keraguan.

"Proses pelupusan tersebut dibuat dengan kerjasama Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM) yang menyediakan mesin pelupusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, permintaan terhadap rokok putih dan keretek tidak sah dalam pasaran tempatan menyumbang kepada peningkatan penyeludupan rokok seumpama itu di negara ini.

Bagaimanapun, pihaknya mempunyai perancangan tersendiri bagi membendung kes penyeludupan rokok dan dadah yang menjadikan perairan Batu Pahat sebagai pintu masuk dari negara jiran bagi kegiatan haram tersebut.

"Maritim Batu Pahat akan meningkatkan kawalan keselamatan termasuk rondaan dan operasi khas bagi menangani segala bentuk aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim," katanya.

KPMNJ sasar 10 peratus KDNK menjelang 2020

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

JOHOR BAHRU 2 Julai - Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Bhd. (KPMNJ), akan memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan berimpak tinggi sebagai usaha mencapai sasaran 10 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Pengerusinya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, antara bidang yang akan diberikan penekanan termasuk perladangan, kewangan Islam, peruncitan serta pemborongan, perkhidmatan pengangkutan awam dan perhotelan.

Beliau memberitahu, KPMNJ juga sedang mencari peluang untuk melibatkan diri dalam bidang hartanah yang dilihat akan memberikan pulangan tinggi selain memberi manfaat kepada masyarakat.

"Hingga kini, sumbangan koperasi di Malaysia kepada KDNK hanya 0.8 peratus dan kita akan melaksanakan pelbagai usaha bagi menjayakan hasrat menyumbang sebanyak 10 peratus pada 2020.

"Sebagai permulaan, kita menetapkan sasaran tiga peratus sumbangan bagi tahun ini dan kita akan terus meneroka bidang-bidang perniagaan yang mampu memberikan impak besar," katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-18 KPMNJ di Pasir Gudang, dekat sini semalam.

KPMNJ merupakan antara koperasi yang aktif dan berdaya saing di negeri ini dengan ahlinya kini mencecah 9,000 orang dan sebanyak 14 syarikat menjadi ahli koperasi.

Pada majlis berkenaan, KPMNJ turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM7,474 kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia selain turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak ahli koperasi yang cemerlang dalam pelajaran.

Sementara itu, Mohamad Ali merayu kerajaan negeri menimbang semula permohonan KPMNJ bagi mendapatkan tanah yang dijanjikan, selain tanah-tanah terbiar untuk dibangunkan secara sendiri atau bersama pihak berkepentingan.

Selain itu, beliau turut memohon kerajaan negeri memberi pihaknya ruang termasuk ekuiti dalam segala kegiatan pembangunan ekonomi di kawasan-kawasan seperti Iskandar Malaysia dan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang.

"Kita tidak mahu ketinggalan dalam limpahan pembangunan yang sedang rancak berlaku, sebaliknya mahu terlibat secara langsung dalam memajukan negeri ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved