Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Akibat terlalu dimanja

Posted: 03 Jul 2013 12:47 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

ALIF (bukan nama sebenar), 16, tidak pernah menyangka akan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral melibatkan najis dadah bersama rakan sekampung, sejak setahun yang lalu.

Selama ini, dia yang merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga tiga adik-beradik, dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Bergelar anak bongsu menyebabkan dirinya sentiasa menjadi perhatian dan sering dimanja oleh ibu dan dua orang kakaknya yang masing-masing sudah bekerja.

Gelaran sebagai anak bongsu sebenarnya adalah 'bonus' menyebabkan apa sahaja permintaannya akan cuba ditunaikan oleh keluarganya.

Namun, ujar Alif, walaupun mereka memanjakannya dalam segala aspek, ayahnya yang juga seorang ketua kampung, tetap menasihati supaya tidak terlalu leka dan belajar menjadi anak yang berguna.

Malangnya bagi Alif, nasihat tersebut seperti mencurah air di daun keladi kerana tidak memberi sebarang kesan kepada dirinya.

Bercerita lanjut tentang kisah hidupnya, Alif mengakui kegemarannya yang suka menghabiskan masa melepak dengan rakan-rakan sekampung, menyebabkan lama-lama kelamaan dia terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti mengambil najis dadah dan mencuri besi buruk.

"Kawan-kawan sekampung yang saya kenali semuanya tidak ada masa depan. Kebanyakan daripada mereka tidak bersekolah. Sebahagiannya pula gemar ponteng sekolah semata-mata untuk melepaskan gian ketagihan dadah.

"Walaupun pada mulanya saya hanya suka-suka untuk berkawan dan menghabiskan masa dengan mereka, akhirnya kerana desakan dan pujukan menyebabkan saya jadi lemah dan turut mengambil dadah jenis heroin," katanya.

Ujar Alif, kerana terlalu asyik dengan dunia ketagihan tersebut, dia telah mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya.

"Dalam tempoh tersebut, saya terpaksa berpura-pura pergi ke kelas setiap hari. Masa pulang dari sekolah juga saya tetapkan seperti biasa.

"Hakikatnya, masa tersebut bukanlah dihabiskan di sekolah sebaliknya melepak bersama-sama rakan sambil menikmati najis dadah," ujarnya.

Tambah Alif, bukan sahaja dia terlibat dengan najis dadah, malah jika terdesak mendapatkan wang untuk membeli dadah, dia akan melakukan kerja tambahan mencuri besi-besi buruk yang terbiar di rumah-rumah penduduk di sekitar kampungnya.

"Keadaan diri saya yang masih remaja dan hanya mengharapkan wang belanja yang diberikan ayah setiap hari, memang tidak cukup untuk membeli dadah.

"Selalu waktu pagi dan petang kami akan pusing keliling kampung menaiki motor untuk melihat rumah-rumah yang berpotensi bagi mendapatkan bekalan besi untuk dijual.

"Waktu sebegini memang sesuai kerana kebanyakan penghuni rumah keluar bekerja dan pasti tidak menyedari kehadiran kami.

"Selepas besi-besi buruk tersebut dicuri kami akan menjualnya di kedai besi yang terletak berdekatan dengan kampung. Hasil wang jualan akan diagihkan dan selalunya kami akan gunakan untuk membeli dadah," ujarnya.

Kata Alif lagi, tidak cukup dengan kegiatan mencuri besi buruk, beberapa kali juga dia pernah mencuri wang dari dompet dua orang kakaknya tanpa pengetahuan mereka.

"Perasaan bersalah memang ada, tetapi kerana ketagihan dadah membuatkan saya sanggup bertindak diluar kawalan.

"Bukan hanya mencuri wang, saya juga sanggup menipu emak dengan meminta wang yang banyak atas alasan untuk membeli barang keperluan sekolah," jelas Alif.

Katanya, walaupun dia cuba menyembunyikan kegiatan tidak bermoral tersebut daripada keluarganya, tembelang pecah juga apabila kakaknya telah menjumpai pek dadah dalam beg sekolah.

Penemuan tersebut dibawa ke pengetahuan ayah dan ibu menyebabkan mereka sangat terkejut dan marah.

"Mereka tidak menyangka pada usia sebegitu muda saya sudah terjebak dengan dadah.

"Berita saya ponteng sekolah juga sampai kepada pengetahuan ayah dan ibu selepas dimaklumkan oleh oleh guru sekolah.

"Ayahlah insan yang paling sedih dengan berita tersebut kerana saya menjadi anak harapannya selama ini. Perbuatan tersebut turut menyebabkan maruahnya sebagai ketua kampung turut tercemar," ujarnya.

Apa pun dia bersyukur kerana keluarga tidak terus membuangnya, malah Alif dihantar ke pusat pemulihan dadah kendalian sebuah organisasi bukan kerajaan.

Ketika ini Alif sedang berusaha keras untuk melupakan najis jahanam itu dan berubah menjadi insan yang lebih baik.

Baju Siti Zubaidah

Posted: 03 Jul 2013 12:47 AM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar HALIM KHALID

Memotong baju kurung Siti Zubaidah memerlukan pola.

MUNGKIN ramai yang tidak pernah mendengar mengenai baju kurung atau kebaya Siti Zubaidah. Hanya segelintir wanita sahaja yang mengetahui mengenai baju tradisional ini dan berbangga memakainya.

Baju kurung atau kebaya Siti Zubaidah mempunyai potongan yang berbeza dengan baju kurung Johor, baju kurung Pahang atau Riau.

Si pemakai baju kurung atau kebaya Siti Zubaidah nampak lebih berpinggang atau ramping dan kembang sedikit daripada pinggang ke bawah.

Sebenarnya baju kurung atau kebaya Siti Zubaidah merupakan baju tradisional yang telah lama dipakai oleh golongan wanita kerabat raja.

Ia diilhamkan oleh Tengku Ampuan Mariam, Puteri Sultan Ahmad Muazzam Shah, Sultan Pahang pertama yang memerintah dari tahun 1920 sehingga 1942.

Bertemu dengan tukang jahit baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah yang semakin popular ini, iaitu Mohamed Yusof Nordin di kedai miliknya, Yusnor Two 'O' Nine Collections di Medan Mara, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, beliau sendiri diperkenalkan kepada baju ini pada tahun 1997 oleh seorang kawannya.

''Ketika itu saya diberi kepercayaan oleh seorang kawan untuk menyiapkan pakaian bagi teater bertajuk Siti Zubaidah yang dipentaskan di Istana Budaya.

''Beliau tidak mempunyai cukup masa untuk menyiapkan pakaian pelakon-pelakon dan menyerahkan sebahagiannya kepada saya untuk disiapkan.

''Kawan saya itu menunjukkan contoh baju kurung Riau Pahang dan saya ubah suai dengan merujuk ke Muzium Negara,'' katanya yang juga merupakan Timbalan Biro Usahawan Persatuan Penyewa Medan Mara.

Menurutnya, bahagian depan baju dikecilkan supaya nampak bentuk pinggang. Baju ini tidak longgar dan menampakkan kelangsingan si pemakai.

Tambah Mohamed Yusof, walaupun asal baju ini adalah kebaya namun kini telah diperbaharui dengan menjadikannya baju kurung kerana bukan semua wanita yang selesa memakai kebaya. Itulah asalnya bagaimana baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah ini mendapat nama.

Beliau berkata, keistimewaan baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah ini ia sesuai dipakai oleh semua peringkat umur tidak kira tua muda dan kurus atau gempal. Wanita yang bertubuh gempal akan nampak lebih berpinggang dan menyembunyikan bahagian perut.

Jelas Mohamed Yusof lagi, baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah ini sesuai dipakai bersama kain selisih depan atau kain kipas di belakang. Kain susun tepi tidak sesuai kerana si pemakai akan nampak lebih berisi.

Jenis fabrik yang sesuai untuk dibuat baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah ini menurut Mohamed Yusof ialah jenis yang berat tetapi tidak keras seperti satin, esbiline, kapas sutera dan sutera yang tidak terlalu nipis. Ini kerana baju akan nampak jatuh dan cantik.

''Bagi nampak lebih cantik, jika baju polos, bahagian kain elok yang bercorak. Namun jika dibuat sepasang pun boleh. Sebaik-baiknya beli kain sebanyak 4.5 meter. Jangan beli yang bercorak berkaki, bersulam, berjalur atau melintang.

''Baju kurung ini dibuat dua jenis leher, iaitu bulat dan cekak musang. Jika cekak musang, butang akan siap dijahit. Bagaimanapun ada pelanggan yang mahu memakai kerongsang kecil.

''Agar baju nampak lebih cantik dan eksklusif, pelanggan boleh menempah untuk dijahit manik pada bahagian dada, bawah tangan dan bawah baju,'' ujar Mohamed Yusof yang memiliki sijil jahitan daripada Institut Kemahiran Mara (IKM), Jasin, Melaka.

Beliau yang menerima tempahan menjahit baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah sehingga sebanyak 400 helai untuk dipakai pada hari raya ini menjelaskan, baju ini sukar dipotong kerana hendak mendapatkan potongan dan harus menggunakan pola. Berbeza dengan baju lain, beliau boleh terus memotong tanpa pola.

Mengenakan upah sebanyak RM100 sepasang, beliau telah pun menutup tempahan sejak bulan April lalu bagi menyiapkan tempahan yang telah sedia ada.

Selain baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah, Mohamed Yusof yang membuka kedai jahit ini sejak tahun 1990 turut menerima tempahan menjahit baju kurung Johor, kurung Pahang, kurung Brunei dan sebagainya.

Kepada mereka yang ingin menempah baju kurung dan kebaya Siti Zubaidah selepas hari raya, boleh menghubungi Mohamed Yusof di 03-26912209.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved