Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kekalutan hala tuju cetus krisis Mesir

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

Rusuhan di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir yang menghimpunkan lebih setengah juta orang dan mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak, lima orang terkorban serta lebih sepuluh orang tercedera beberapa hari lalu adalah satu petunjuk bahawa bukanlah mudah untuk memelihara kestabilan dan keamanan.

Pada 2011, rusuhan yang berlaku mendesak pengunduran Hosni Mubarak yang memerintah lebih tiga dekad menjadi petunjuk keresahan rakyat, tetapi rusuhan kali ini membawa refleksi bahawa Mesir sebenarnya tidak mudah menerima kepimpinan politik Islam.

Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.

Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.

Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.

Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.

Morsi juga terpaksa mengetepikan diri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.

Morsi pernah membuat permohonn bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.

Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.

Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.

Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar. Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.

Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.

Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.

Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.

Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan kelemahan itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan revolusi kebangkitan rakyat kedua.

Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah kuasa yang diwujudkan. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.

Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Iktibar penting daripada peristiwa terkini dalam percaturan politik di Mesir bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian dan perdamaian nasional merupakan sesuatu yang sangat mahal harganya. Di negara kita, elemen-elemen inilah yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini yang tidak akan digadaikan semata-mata menuruti kehendak sesetengah pihak yang mahukan perubahan landskap politik negara.

Perubahan yang tidak disertai dengan kesedaran dan kesepakatan secara menyeluruh oleh semua komponen masyarakat akan hanya dapat menghasilkan suasana huru-hara dan kekalutan politik. Hakikatnya apa yang lebih utama adalah merangka dan menyusun agenda perpaduan dan kesatuan semua elemen masyarakat bagi mewujudkan pemerintahan yang mantap dan stabil.

Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Memperkasa jati diri belia Melayu

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh Ku Amirul Faiz Ku Seman

APABILA Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu menandakan satu harapan besar diletakkan di bahu beliau. Sesuai dengan perwatakan rakan kepada orang muda, diharapkan aspirasi orang muda dapat disampaikan ke pucuk kepimpinan tertinggi negara.

Memperkasakan dan memapankan belia menjadi satu tugas penting untuk mencipta Malaysia yang lebih ke hadapan. Dalam pada masa yang sama, satu usaha bersepadu perlu dirangka dengan lebih baik untuk memperkasakan belia Melayu kerana mereka merupakan kelompok populasi terbesar dalam negara.

Dimulakan dengan pendidikan, yang semestinya menjadi salah satu ejen untuk mengubah masyarakat. Penulis pernah mendengar pembentangan Khairy dalam satu simposium yang diadakan di PWTC mengenai pendidikan vokasional.

Pendidikan vokasional atau kemahiran diperbaharui dengan kemudahan dan silibus yang sesuai dengan perkembangan semasa sains dan teknologi. Justeru pengenalan pendidikan vokasional di peringkat menengah dan diteruskan dengan pendidikan kemahiran sijil dan diploma mampu menjadi salah satu medan belia Melayu untuk meneroka bidang teknikal yang diminati oleh mereka.

Namun, stigma negatif terhadap mereka yang berpendidikan kemahiran seperti di Kolej Komuniti lain-lain institusi yang menawarkan pendidikan kemahiran harus dibuang daripada pemikiran masyarakat. Lepasan institusi inilah yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara. Sebaliknya masyarakat perlu membuka minda dengan lebih luas untuk menggalakkan penyertaan belia dalam kursus kemahiran kerana ini mampu menawarkan peluang pekerjaan yang baik kepada mereka.

Malah terdapat banyak syarikat baik dalam mahupun luar negara yang tertarik dengan kemahiran pelajar berlatar belakang teknikal serta kemahiran. Mungkin ini yang dikesan dan diteliti oleh Khairy yang konsisten memperjuangkan pendidikan kemahiran ini kerana menyedari peluang oleh belia Melayu khususnya dan belia Malaysia umumnya.

Selain itu, satu kajian yang holistik perlu dibuat ke arah pembinaan jati diri yang mapan terhadap belia . Pembinaan jati diri ini bukan sahaja meliputi aspek patriotisme tetapi soal integriti. Cabaran membina masyarakat yang berintegriti bermula daripada kumpulan masyarakat yang lebih muda.

Oleh itu pembinaan belia yang berjati diri bukan sahaja untuk keperluan pada masa kini tetapi untuk masa hadapan. Isu jati diri ini dicabar dengan penglibatan belia Melayu terutamanya dalam aktiviti sosial yang kian parah.

Berpeleseran serta terlibat dalam lumba haram mengisyaratkan kepada dunia belia Melayu sebenarnya masih belum punyai semangat untuk mengubah hala tuju mereka. Pengubahan hala tuju, semangat membangunkan negara merupakan sesuatu yang sangat penting dalam keadaan realistik hanya tinggal tujuh tahun lagi sebelum menjengah tahun 2020. Mahu atau tidak, belia Melayu harus berpartisipasi dalam pembangunan serta transformasi negara bersama dengan belia-belia lain.

Penulis memetik harapan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengesyorkan belia supaya menyumbang tenaga untuk memperkasakan negeri Kedah.

Ia satu petanda yang jelas kerajaan memerlukan transformasi diri belia untuk mempunyai semangat berkhidmat demi memastikan kelangsungan survival kedaulatan negara.

Dalam isu jati diri belia Melayu, penulis tertarik dengan komentar bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Noor Azam yang mengulas keadaan belia tahun 1970-an yang penulis kira masih lagi relevan untuk dijadikan rujukan. Dengan lebih spesifik boleh merujuk kepada rencana yang bertajuk Keliaran dan Kejahatan yang Kian Menular yang diterbitkan pada April 1975, jelas menyampaikan kebimbangan yang berlaku akibat perkembangan budaya hedonisme dalam kalangan belia pada masa itu.

Antara lain didorong oleh penayangan filem-filem luar yang lari daripada budaya Malaysia. Noor Azam dalam tulisannya pada masa itu memetik keta-kata Tun Abdul Razak ketika merasmikan Masjid Kampung Baru yang disiarkan dalam Utusan Melayu 23 Mac 1975, seandainya gejala-gejala yang merosakkan masyarakat tidak dijaga, muda-mudi akan menjadi masyarakat yang tidak berguna. Seandainya mereka rosak, masa hadapan negara juga akan terancam.

Justeru, isu ini terus relevan dan perlu diatasi sehingga hari ini.

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan mempunyai cabaran yang lebih berat dalam memastikan belia Melayu tidak ketinggalan dalam arus perdana untuk menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa. Agihan kek ekonomi yang adil bukan sahaja mempercepatkan negara mencapai status negara berpendidikan tinggi tetapi penting untuk memastikan tiada yang ketinggalan dalam merasai kemakmuran negara.

PENULIS ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia merangkap Setiausaha Agung jemaah YDP Kebangsaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved