Ahad, 28 Julai 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Muip agih bantuan RM1.7 juta

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

Wan Abdul Wahid Wan Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kepada ahli Pertis di Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 28 Julai - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta untuk diagihkan kepada 11,000 penerima yang layak sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, peruntukan itu meliputi penduduk miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, pelajar, saudara baharu dan sebagainya.

Menurut beliau, melalui bantuan itu diharap dapat meringankan beban dan menggembirakan golongan terbabit terutama membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

''Muip berharap lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil menyalurkan zakat supaya dapat menambah nilai sumbangan serta membantu golongan yang memerlukan bantuan.

"Dengan adanya lebih banyak dana hasil sumbangan zakat, bukan sahaja dapat membantu golongan terbabit tetapi juga boleh dijadikan sebagai modal peniagaan kecil-kecilan untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan untuk 160 ahli Pertubuhan Orang Buta Islam Pahang (Pertis) di sini semalam.

Beliau turut meminta syarikat korporat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dapat membantu Pertis memiliki bangunan sendiri yang lebih baik bagi kemudahan mereka menjalani latihan kemahiran.

Katanya, buat masa ini, ahli Pertis menumpang di sebuah rumah lama Jabatan Kerja Raya dan keadaan rumah itu didapati tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti persatuan.

''MUIP sebelum ini menyalurkan pelbagai bantuan kepada Pertis termasuk membaiki infrastruktur asas seperti bumbung dan sebagainya. Bagaimanapun banyak lagi perlu dibuat supaya mereka selesa menjalankan aktiviti," katanya.

120 anak yatim terima sumbangan Aidilfitri

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim di UiTM cawangan Pahang, Maran, baru-baru ini.

MARAN 28 Julai - Sebanyak 120 anak yatim di negeri ini menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, mereka yang mewakili setiap daerah di negeri ini merupakan tetamu khas dalam Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Wanita peringkat negeri yang diadakan Jumaat lalu.

Menurutnya, program yang dianjurkan kerajaan negeri dan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri dengan kerjasama UiTM cawangan Pahang serta Felda itu dirasmikan oleh Tunku Azizah.

"Selesai bertadarus dan khatam al-Quran, Tunku Azizah begitu ceria melayani kerenah anak yatim yang kehilangan orang tersayang dan memerlukan perhatian masyarakat," katanya di sini.

Yang turut berangkat, Tengku Puan Muda Pahang, Julita Aishah Abdul Latif dan dihadiri Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Kuala Sentul menyeru masyarakat terutama syarikat korporat supaya aktif menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan bagi meringankan beban mereka.

Katanya, memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi, sumbangan tersebut dapat menceriakan golongan berkenaan untuk meraikan perayaan itu dalam suasana gembira dan ceria.

Jadikan Karnival Jualan Murah Bera acara tahunan - Ismail Sabri

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Ismail Sabri Yaakob (kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada Ketua UMNO Cawangan Guai, Mohd. Faizal Mohd. Mokhtar yang mewakili penduduk Kampung Guai dalam majlis penyerahan zakat kepada warga Bera di Kampung Charuk Puting, Guai, kelmarin.

BERA 28 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri diminta menjadikan Karnival Jualan Murah di daerah ini sebagai acara tahunan terutama setiap kali musim perayaan.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri kerana sekali lagi menganjurkan karnival berkenaan.

"Pada Karnival Jualan Murah ini, barang yang dijual adalah terus daripada kilang dan harganya pasti lebih murah iaitu 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada barang-barang yang dijual di kedai," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian zakat untuk golongan yang memerlukan di daerah Bera dan pelancaran Karnival Jualan Murah di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman.

Ismail Sabri berkata, pelbagai kaedah digunakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan pengguna tidak dibebankan terutama pada musim perayaan.

"Ini kerana peniaga biasanya akan mengambil kesempatan menaikkan harga pada musim perayaan untuk mencari keuntungan dan oleh sebab itu kita buat program seperti Karnival Jualan Murah ini.

"Begitu juga apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan buat Skim Kawalan Harga Perayaan, sebelum ada skim ini harga ayam mahal sehingga mencecah RM9 sekilogram tetapi apabila skim ini diperkenalkan harga dikawal kepada hanya RM7.70 sekilogram," katanya.

Beliau berkata, rakyat di negara ini bertuah kerana pihak kerajaan sentiasa bekerjasama dengan peniaga dan prihatin memperkenalkan peraturan supaya pengguna dapat dilindungi daripada semasa ke semasa.

Menurutnya, tidak seperti di negara lain yang memberikan 100 peratus kepada peniaga untuk membuat keputusan.

"Cuma saya ingin nasihatkan kepada orang ramai supaya apabila ada jualan murah sebegini, belilah barangan yang diperlukan sahaja, perlu berjimat dalam berbelanja terutama pada musim perayaan ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved