Ahad, 28 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Cif Inspektor dipenjara 14 tahun lakukan seks luar tabie

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

KOTA BHARU 28 Julai - Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu melakukan seks luar tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menyuruh mangsa melakukan oral seks dan mencabul kehormatan mangsa di dalam kereta peronda polis, empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Ishak Mahmud, 49, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dengan itu, tertuduh didapati bersalah untuk kedua-dua pertuduhan," kata Azman.

Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa melakukan seks luar tabii dengan menyuruh remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu melakukan seks oral tanpa kerelaannya di dalam kereta peronda polis jenis Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh pada pukul 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Bapa empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa pada waktu dan tempat yang sama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua seksaan itu jika disabitkan.

Azman mengarahkan tertuduh dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama serta enam tahun penjara dan lima sebatan bagi pertuduhan kedua manakala hukuman pemenjaraan diarahkan berjalan serentak menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 14 tahun.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.

Sukri sebelum hukuman dijatuhkan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai anak antara umur lapan tahun hingga 23 tahun yang mana kesemuanya masih belajar manakala isterinya seorang suri rumah.

Akibat sabitan ini tertuduh akan kehilangan pekerjaan dan tentunya hukuman ini satu yang perit bagi tertuduh dan masa depan dia serta keluarga," katanya.

Intan Nor Hilwani meminta supaya hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana kedua-dua kesalahan itu adalah serius.

Tertuduh juga merupakan seorang polis yang mana sepatutnya menjadi pelindung masyarakat tapi dia sebaliknya dalam kes ini," katanya.

Azman bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman setelah pihak pembelaan memohon sedemikian untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Waran tangkap terhadap anak

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

KUALA TERENGGANU 28 Julai - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pengurus syarikat cari gali minyak kerana mengabaikan perintah menjelaskan tuntutan nafkah dan gagal membuat permohonan maaf terhadap bapanya.

Hakim Syarie, Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas usaha untuk menghubungi defendan, Nasrun Mustafa, 40, oleh bapanya, Mustafa Ismail, 67, menemui jalan buntu.

Bagaimanapun beliau berkata, waran tersebut mungkin akan terbatal secara automatik sekiranya Nasrun hadir ke mahkamah pada atau sebelum 2 September ini bagi membincangkan tuntutan yang dikemukakan plaintif.

Dua orang anak defendan di bawah jagaan ayah dan ibunya selepas berlaku perceraian dan defendan didakwa tidak pernah pulang menjenguk dan memberikan nafkah.

Berdasarkan keterangan pada 13 Julai 2010, plaintif telah mengemukakan tuntutan kepada Nasrun yang dikatakan berpendapatan tidak kurang daripada RM17,000 sebulan itu agar membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya itu yang tertunggak selama tujuh tahun iaitu sebanyak RM20,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Plaintif dari Kampung Beladau Kolam, Manir turut menuntut perintah agar Nasrun memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan dua cucunya, Nur Thahirah Nazihah, 16, dan Muhammad Amirul Nasrullah, 18.

Defendan mengabaikan perintah tersebut termasuk perintah supaya memohon maaf secara terbuka mengikut hukum syarak yang diarahkan mahkamah Ogos tahun lepas.

Plaintif turut memfailkan notis permohonan kepada mahkamah bagi pelaksanaan perintah nafkah pada 23 April yang lalu yang antara lain mahu defendan menunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dipenjarakan selepas gagal mematuhi perintah mahkamah bertarikh 28 Ogos 2012.

Dalam notis permohonan tersebut, defendan juga diperintahkan supaya membayar tunggakan nafkah kepada bapa serta ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, iaitu masing-masing sebanyak RM3,200 mulai bulan Ogos 2012 sehingga Mac 2013 serta-merta.

Dalam pada itu, peguam plaintif, Fazru Anuar Yusof ketika ditemui berkata, bapanya (plaintif) berjaya menjejaki defendan awal tahun ini namun difahamkan defendan telah pun meletak jawatan dan kini bekerja di sebuah syarikat baharu iaitu Hess Exploration and Production Malaysia B.V.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved