Ahad, 28 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Saingan sihat galeri seni

Posted: 28 Jul 2013 06:13 AM PDT

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

KEMUNCULAN pelbagai galeri lukisan kebelakangan ini merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan dari segi pembangunan bidang seni tempatan.

Percambahan galeri di seluruh negara ketika ini secara tidak langsung memeriahkan lagi bidang seni secara amnya dan lukisan khasnya.

RA Fine Art Gallery, Morne Art Gallery, Galeri Candan, Core Design Gallery dan pelbagai lagi galeri swasta muncul dan ini menyaksikan bidang lukisan tanah air berada pada tahap membanggakan.

Apa tidaknya, jika sebelum ini bidang tersebut hanya dianggap sebagai memenuhi minat si pengkaryanya sahaja namun kebelakangan ini bidang seni tampak telah diangkat setaraf dengan bidang-bidang hebat yang lain.

Sebelum ini, kebanyakan karya hebat yang dihasilkan hanya digantung dan disimpan di rumah sahaja kerana kekangan ruang pameran, kalau ada pun hanya di kaki lima Pasar Seni sahaja.

Nampaknya tugas yang dipikul oleh Balai Seni Visual Negara selama ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penggemar seni tempatan apabila mula membuka mata terhadap bidang ini.

Melalui percambahan galeri seni secara mendadak ini juga sekali gus menampakkan bidang seni tempatan mampu bersaing dengan bidang seni luar negara.

Karya-karya selama ini yang hanya dijadikan sebagai perhiasan semakin memenuhi ruang-ruang pameran di setiap galeri-galeri seni tempatan.

Bidang seni tampak secara dasarnya merupakan bidang yang cukup besar dan merupakan satu industri yang boleh menjana pendapatan yang lumayan.

Lihat sahaja pada harga lukisan sekarang, sukar untuk kita mencari lukisan pada harga dalam lingkungan ratusan ringgit. Kesemuanya dijual bermula pada harga seribu sehingga ratusan ribu ringgit.

Sebagai contoh karya karyawan Latiff Mohidin berjudul Mindscape telah dijual sehingga mencecah harga RM400,000 dalam satu majlis lelongan baru-baru ini.

Penglibatan golongan muda terutamanya dalam dunia lukisan semakin dirasai sejak kebelakangan ini menerusi penyertaan dalam pameran yang diadakan.

Kepercayaan yang diberikan oleh galeri-galeri seni bukan sahaja sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh tetapi juga satu penghormatan kepada bakat yang ada pada golongan tersebut.

Jika sebelum ini, cabang seni hanya tertumpu kepada bidang pop, filem serta sastera semata-mata kerana bidang ini dilihat mempunyai kelebihan berbanding seni lukis.

Tetapi hakikatnya lukisan merupakan satu karya yang mempunyai nilai yang cukup tinggi. Semakin lama lukisan itu semakin tinggi nilainya di pasaran.

Setiap hasil seni membawa pelbagai mesej dan identiti yang menjadi panduan mereka selama berkarya. Berbekalkan karya berwarna-warni yang dibentuk berdasarkan imaginasi masing-masing, semua artis berjaya menghasilkan karya terbaik untuk tatapan umum.

Pelukis muda tempatan ketika ini dilihat semakin kreatif dan mampu untuk bersaing dengan pelukis mapan tidak kira dari dalam atau luar negara.

Kebangkitan para pelukis muda tempatan telah menampakkan sinar harapan baru dalam dunia lukisan yang sebelum ini seolah-olah ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan bidang seni negara-negara jiran sebelum ini.

Kematangan dari segi penghasilan cukup membanggakan kita kerana setiap hasil karya mempunyai nilai yang tersendiri. Pertambahan galeri seni swasta berbanding galeri sedia ada menjadi antara faktor utama terhadap kebangkitan pelukis tempatan ketika ini.

Usaha yang dilakukan oleh kebanyakan galeri seni lukis tempatan bagi memperkenalkan hasil seni anak tempatan juga menampakkan hasil yang setimpal.

Di zaman serba moden ini juga, galeri lukisan tidak hanya tertumpu pada keadaan zahirnya sahaja. Penubuhan galeri-galeri lukisan secara dalam talian juga merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan. Dengan perkembangan ini juga, minat serta kemahuan pelukis-pelukis muda untuk menonjolkan diri mereka dalam bidang ini semakin menebal.

Perkembangan seperti ini sepatutnya diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bidang seni itu menjadi tarikan kepada anak muda pada masa akan datang.

Bidang seni bukan hanya khusus kepada yang berminat semata-mata malah bidang ini mampu menjanakan pendapatan yang cukup lumayan sekiranya dilakukan dengan pemikiran yang tajam serta bersungguh-sungguh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved