Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Paka semakin pesat membangun

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA
utusanterengganu@utusan.com.my

Pasar Besar Paka, Dungun yang dibangunkan bagi kemudahan penduduk setempat.

DUNGUN 22 April - Paka, sebuah kawasan yang asalnya menempatkan sebuah pekan kecil dengan pohon kelapa dan belukar menghiasi sekitar, mula beransur-ansur berubah wajah dengan tempias daripada limpahan perkembangan industri minyak dan gas.

Kawasan tersebut sedang berkembang sebagai sebuah bandar perindustrian yang dapat menampung keperluan penduduk menerusi peningkatan peluang pekerjaan sekali gus menjana ekonomi masyarakat setempat yang memanfaatkan peluang tersedia.

Penduduknya yang telah mencecah kira-kira 150,000 orang dan umumnya mereka sentiasa mahu meningkatkan taraf kehidupan masing-masing menerusi pelbagai punca rezeki.

Pada tahun 1999 sehingga 2004 ketika Pas menerajui pemerintahan negeri ini, perancangan untuk Paka terbantut, namun usaha itu kembali digerakkan setelah Barisan Nasional (BN) diberi kepercayaan semula oleh rakyat.

Kini Paka merupakan salah sebuah kawasan yang paling pesat berkembang di negeri ini dan penduduk setempat terus digerak agar tidak lagi sekadar menjadi pemerhati kepada ledakan industri. Ini termasuklah melalui proses pembangunan pendidikan dan latihan.

Penduduk Paka telah melalui proses transformasi pembangunan dengan ramai antara mereka telah menjadi usahawan seperti kontraktor selain turut berperanan sebagai warga kerja industri.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka boleh dikatakan terbahagi kepada tiga zon.

Zon pertama melibatkan bandar sehingga ke Kampung Sura Hujung, zon kedua, bermula dari Kampung Durian Mentangau sehingga ke Santong dan zon ketiga membabitkan gugusan Felda.

Pembangunan benar-benar kelihatan rancak bermula 2005 sehingga 2012 apabila kerajaan menyalurkan peruntukan kira-kira RM120 juta bagi membangunkan kawasan berkenaan.

Ini termasuklah pembinaan Pasar Besar Paka yang menelan belanja sejumlah RM5 juta, jambatan (RM94 juta), empat buah masjid (RM18 juta), membina longkang (RM17 juta), membina benteng pemecah ombak (RM2.4 juta) dan sebagainya.

Pemilihan Datuk Matulidi Jusoh sebagai calon BN bagi kerusi DUN Paka menggantikan Mohd. Ariffin Abdullah memberi nafas baharu yang meyakinkan bagi membawa perubahan lebih besar.

Matulidi yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Dungun, memperlihatkan komitmen sebagai seorang wakil rakyat dan 'mendasari' kehidupan masyarakat pastinya akan lebih memberi tumpuan bagi pembelaan nasib penduduk setempat.

"Ini suatu tugas yang harus dipikul sebaik mungkin dan banyak yang boleh terus dilakukan di sini.

"Pada masa yang sama, saya sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Pembangunan DUN, sudah mengenali begitu dekat permasalahan dan keperluan setempat," ujar bekas pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah itu.

Seorang penduduk, Mahusin Taib, 55, dari Taman Indah Permai amat teruja dengan pembangunan yang begitu pesat di kawasan DUN Paka.

"Pada sekitar tahun 1999 sehingga 2004, pembangunan di Paka amat lesu kerana iklim politik yang dimainkan oleh Pas meskipun mereka memerintah Terengganu agak keterlaluan sehingga tergamak menghalau kanak-kanak serta menutup kelas-kelas tadika.

"Tetapi sejak BN mengambil alih memerintah negeri ini, maka banyaklah pembangunan infrastruktur yang dirancang serta dibina termasuk mengindahkan pusat perniagaan di bandar baru Paka.

"Oleh itu, rakyat harus bersyukur dengan pembangunan yang ada dan saya menyeru kepada penduduk di sini supaya memilih calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini," katanya.

Wahid Kasim, 59, dari Tebing Tembah pula memberitahu, semasa pemerintahan Pas, dia tidak melihat sebarang perubahan berlaku di kampungnya atau kawasan sekitar.

"Sekarang saya berpuas hati kerana banyak pembangunan dibuat di Kampung Tebing Tembah antaranya, sekolah menengah dan rendah.

"Oleh itu, tiada sebab rakyat perlu memilih calon pembangkang untuk menjadi wakil rakyat kawasan Paka kerana pemerintahan BN terbukti amat baik," katanya.

Ali Mohamad, 60, yang tinggal di Kampung Telaga Mas menyifatkan corak pemerintahan BN amat konsisten dan banyak perubahan dilakukan sehingga Paka suatu ketika dahulu hanya sebuah pekan kecil, tetapi kini bertukar menjadi bandar yang pesat.

"DUN Paka juga boleh juga dikatakan sebagai kawasan pendidikan kerana terletaknya Universiti Teknologi Mara Terengganu, Sekolah Menengah Teknik Dungun serta Politeknik Sultan Mizan Dungun.

"Saya amat bangga dengan pembangunan yang berada di kawasan DUN Paka dan saya amat berharap agar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan memihak kepada BN," katanya.

ATM perketat kawalan di sempadan

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 22 April - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di sempadan Kelantan dan Thailand sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zaki Hamzah berkata, langkah tersebut bagi memastikan kawasan sempadan berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, rakyat di negeri Kelantan tidak perlu risau kerana kawalan sempadan oleh anggota di bawah naungan 8 Briged sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Anggota tentera yang bertugas di bawah Ops. Merpati dan Ops. Wawasan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

"Selain itu, kerjasama tentera antara dengan agensi penguatkuasaan yang lain sentiasa erat bagi memastikan kawalan sempadan sentiasa ketat dan bebas daripada sebarang anasir jahat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat anggotanya mengikut tempoh perkhidmatan dari Prebet kepada Lans Koperal dan Lans Koperal kepada Koperal di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 150 anggota di bawah naungan 8 Briged menikmati kenaikan pangkat tersebut sebagaimana yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Mohd. Zaki mengucapkan tahniah kepada anggota yang telah menikmati kenaikan pangkat mengikut tempoh masa perkhidmatan.

Menurutnya, pelaksanaan program tersebut adalah sebahagian daripada bukti keprihatinan pihak kerajaan kepada anggota tentera yang telah berkhidmat mempertahankan tanah air.

"Saya yakin dan percaya ia pasti menyuntik semangat anggota untuk terus memberikan khidmat terbaik menjaga negara," ujarnya.

Penduduk rayu baiki segera jambatan runtuh

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

BEBERAPA penduduk masih menggunakan jambatan konkrit yang runtuh di Tali Air Gayong di Kampung Jambu, Pengkalan Chepa untuk menjalankan kerja harian, semalam.

KOTA BHARU 22 April - Hampir 4,000 penduduk di Kampung Jambu, Pengkalan Chepa di sini merayu agar jambatan konkrit di Tali air Gayong yang runtuh buat kali kedua sejak bulan lalu dibaiki segera.

Jambatan tersebut merupakan laluan utama serta jalan alternatif untuk penduduk tempatan ke Pengkalan Chepa. Ia telah digunakan sejak 20 tahun lalu dan jika dibiarkan boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada mereka.

Seorang penduduk, Mek Ku Sharifah Ismail, 52, berkata jambatan ini selalu digunakan oleh penduduk setempat untuk pergi bekerja serta menghantar anak-anak ke sekolah berhampiran.

"Masalah ini menyebabkan penduduk di sini mengalami kesukaran untuk ke pusat bandar kerana perlu melalui jambatan tersebut sekiranya ingin mengambil pengangkutan awam seperti bas atau teksi ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan penduduk perlu menggunakan jalan lain yang lebih jauh.

Seorang lagi penduduk, Sri Banun Hussin, 55, berkata, ini merupakan kali kedua jambatan tersebut runtuh dan sehingga kini belum dibaiki oleh pihak berkenaan.

"Keadaan ini akan terus berlaku sekiranya pemerintahan tidak ditukar kerana kita harus memilih pemimpin tempatan yang lebih dekat dengan kita dan sentiasa pantau serta menjenguk keadaan rakyat di kawasannya," katanya.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Wan Razman Wan Razak berkata, beliau akan berusaha untuk membantu penduduk dengan mengutarakan masalah berkenaan kepada pihak bertanggungjawab.

Menurut Wan Razman, sekiranya jambatan ini tidak dibaiki dengan segera, ia boleh mengundang kesesakan kepada laluan lain terutama pada waktu kemuncak memandangkan jalan di kawasan ini sempit.

"Mengikut perancangan, peruntukkan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM500,000 akan digunakan untuk membina dan menggantikan jambatan konkrit yang lebih kukuh serta dapat bertahan untuk jangka masa yang panjang.

"Dengan pembinaan jambatan baru yang lebih selesa akan dapat membantu memudahkan penduduk di kawasan ini sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved