Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Lelaki amuk beri amaran - Saksi

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

PUTRAJAYA 23 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, lelaki yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun lalu pernah memberi amaran kepada pihak polis supaya jangan mencampuri urusan kedatangannya ke kompleks berkenaan jika mereka mahu hidup.

Koperal Ismail Ahmad, 31, berkata, lelaki tersebut marah selepas dihalang dengan kenderaan polis daripada memasuki pintu masuk B1 yang merupakan laluan awam ke kompleks tersebut.

Saksi yang merupakan anggota Unit Task Force Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menyatakan perkara itu seperti yang terkandung dalam laporan polis yang dibuat berhubung kejadian tersebut.

Menurut Ismail, dia yang ketika itu melakukan tugas rondaan di Presint 3 bersama-sama dua lagi anggota polis kemudian bergegas ke JPM menaiki kenderaan polis sebaik sahaja mendapat maklumat.

Setibanya di situ, mereka melihat lelaki tersebut yang diiringi tertuduh, Muhdalena Ahmad, 28, menghala ke pintu masuk laluan awam sambil memegang parang panjang.

Ismail menyatakan, sebaik sahaja melihat kenderaan polis memasuki kawasan itu, lelaki berkenaan menghampiri mereka dan bertindak menghayun parang panjang ke bahagian cermin hadapan sebelah pemandu menyebabkannya retak dan pecah.

Ujar saksi, bagi mengalihkan perhatiannya daripada memasuki laluan awam, mereka memandunya ke kawasan pejalan kaki dan pada waktu yang sama pasukan Unit Kereta Peronda tiba.

Saksi itu memberitahu, kedua-duanya kemudian menghampiri kereta peronda dan mereka bertiga pun beredar dari situ untuk mencari tempat meletak kenderaan di Blok B yang jaraknya kira-kira satu kilometer.

''Ketika itu, saya mendengar tiga das tembakan dilepaskan menyebabkan kami bergegas ke tempat kejadian. Saya melihat lelaki berkenaan dan tertuduh sudah terkena tembakan,'' ujarnya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh pada pemeriksaan utama.

Dalam kejadian itu, lelaki yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi', Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian ari-ari kini dan tangan kiri.

Menjawab soalan peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena, Ismail berkata, sepanjang tugasnya selama 13 tahun di IPD, kejadian mengamuk bersenjatakan parang panjang merupakan yang pertama berlaku di kompleks JPM.

Saksi bersetuju bahawa perlakuan lelaki terbabit tidak normal dan kedatangannya ke kompleks berkenaan atas motif tertentu.

Anggota polis itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhdalena yang didakwa melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.

Muhdalena turut didakwa atas tuduhan tidak mematuhi perintah anggota polis yang sama agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Dia turut didakwa tidak mematuhi perintah Menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Kamil Nizam bersambung esok.

Cabul: Mahkamah kekalkan hukuman penjara 2 beradik

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

PUTRAJAYA 23 April - Dua beradik perempuan diperintah oleh Mahkamah Rayuan hari ini menjalani hukuman penjara lima tahun lapan bulan terhadap dua tuduhan mencederakan dan dua tuduhan mencabul kehormatan seorang pembantu rumah warganegara Indonesia, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian selepas menolak permohonan Wong Choy Ling, 42, dan adiknya, Wong Choy Kin, 40, bagi mendapat kebenaran merayu.

Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap kesalahan mencabul kehormatan dan lapan bulan terhadap kesalahan mencederakan mangsa.

Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan balas pendakwa raya dengan menambah hukuman daripada dua tahun kepada lima tahun bagi kesalahan mencabul.

Mahkamah mengekalkan hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan mencederakan mangsa. Hukuman diperintah berjalan berturut-turut.

Pada 13 Oktober dua tahun lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan mencederakan dan dua tahun bagi kesalahan mencabul. Hukuman diperintah berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dua beradik itu didakwa secara berasingan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun.

Kejadian berlaku di rumah No. 38, Jalan BS 5/17A, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada pukul 9 malam, masing-masing pada November 2003 dan September 2004.

Choy Ling dan Choy Kin juga menghadapi tuduhan bersama mencabul mangsa dengan memasukkan pisang dan hujung botol minuman 100 plus ke dalam kemaluannya di rumah yang sama pada waktu siang, sekitar Julai 2004.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved