Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Guan Eng patut akui kesalahan

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEHARI sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah membuat gimik bagi meraih simpati pengundi apabila memaklumkan semua calon parti itu akan membawa dua surat watikah ke pusat penamaan calon.

Langkah itu adalah sebagai persediaan jika calon DAP tidak dibenarkan menggunakan simbol roket pada hari penamaan.

Mereka mempunyai alternatif untuk menggunakan lambang Pas di Semenanjung Malaysia manakala calonnya di Sabah dan Sarawak menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam sidang akhbar di Wisma DAP Pulau Pinang itu, Guan Eng memberitahu, tindakan itu dibuat kerana pihaknya tidak mempercayai jaminan mulut Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa parti itu boleh menggunakan simbolnya sendiri.

Pendaftar Pertubuhan, Datuk Abdul Rahman Othman, sebelum itu telah memaklumkan pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya walaupun ROS memutuskan untuk tidak memberi pengiktirafan kepada ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang dibentuk semasa pemilihan parti itu pada 15 Disember 2012.

Turut membuat jaminan sama adalah Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusoff yang menegaskan parti itu boleh menggunakan lambangnya pada PRU-13 kerana siasatan ROS berhubung keputusan pemilihan CEC parti itu masih berjalan.

Pemilihan CEC parti berkenaan menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan apabila berlaku kesilapan pengiraan undi dan DAP juga dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah dan layak mengundi pada hari tersebut.

Ekoran itu, ROS menjalankan siasatan berhubung kesilapan tersebut selepas menerima laporan daripada ahli-ahli DAP sendiri.

Bagaimanapun, siasatan ROS itu dijadikan isu dengan tujuan meraih simpati pengundi oleh pemimpin-pemimpin DAP termasuk Guan Eng kononnya ia sebagai cubaan menekan dan bertindak tidak adil terhadap parti tersebut dalam PRU-13.

Dalam sidang akhbar di Pulau Pinang itu, Guan Eng dengan nada sayu membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap ROS sambil mendakwa parti itu menjadi mangsa taktik keji pihak-pihak tertentu yang cuba untuk membunuh DAP kerana takut kalah dalam PRU-13.

"Kita dipaksa, kita dianiaya, kita dinafikan hak menggunakan roket. Ini menimbulkan kemarahan rakyat, kerana Barisan Nasional (BN) main tipu, busuk hati BN, jahat BN!" kata Guan Eng.

Pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap ROS itu sebenarnya bertujuan menutup kelemahannya sendiri sebagai Setiausaha Agung parti yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan pemilihan parti itu.

Guan Eng tidak sepatutnya menyalah ROS yang hanya bertindak mengikut prosedur berdasarkan Akta Pertubuhan 1966. Insiden sama sebelum ini telah dialami UMNO apabila kumpulan 11 orang ahli parti mengemukakan tindakan saman kerana terdapat beberapa orang perwakilan yang muflis dan perwakilan daripada 30 cawangan haram.

Jika UMNO hanya melibatkan 11 orang yang tidak berpuas hati, DAP pula melibatkan 753 orang yang kebanyakan perwakilan kaum India yang dinafikan hak untuk mengundi. Individu yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya adalah Setiausaha Agung parti itu.

Guan Eng bukan sahaja menimbulkan masalah kepada DAP malah turut mencetuskan pelbagai kontroversi semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang termasuk meluluskan pembinaan terowong dasar laut yang tidak mendapat restu rakyat dan membiarkan harga rumah di negeri itu naik tanpa kawalan sehingga menyusahkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Ekoran pelbagai kerenah itulah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah daripada DAP, M. Manoharan telah mendesak supaya Guan Eng berehat sementara daripada jawatan Setiausaha Agung sehingga masalah CEC parti itu yang tidak diiktiraf ROS diselesaikan.

Menurut Manoharan, perkara utama yang perlu dilakukan DAP sekarang adalah memenuhi syarat ditetapkan ROS iaitu membentuk CEC yang sah dalam tempoh sebulan.

Selain itu, tambah beliau, jawatankuasa pemilihan CEC tersebut juga perlu menghantar notis jemputan kepada semua wakil yang layak mengundi bagi menghadiri Kongres Kebangsaan Parti.

Mengulas isu sama, bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman menegaskan, Guan Eng merupakan individu yang patut dipersalahkan ekoran arahan ROS supaya parti itu mengadakan pemilihan semula ahli CEC.

"Beliau menafikan hak sebanyak 753 perwakilan dalam CEC lalu dan melengah-lengahkan kerjasama dengan ROS. Beliau sebenarnya yang perlu dipersalahkan dan bertanggungjawab dalam hal ini," katanya.

Menurut Mohamed Razali, Guan Eng seharusnya meletak jawatan ekoran kemelut itu sekiranya beliau merupakan pemimpin bermaruah.

"Integriti yang didakwa diperjuangkan Ketua Menteri Pulau Pinang turut tercalar ekoran tindakannya menyalahkan orang lain walaupun perkara itu dicetuskan beliau sendiri.

"Saya juga tidak menolak tindakan Guan Eng menuding jari kepada ROS itu dibuat bagi meraih simpati pengundi terutama dalam kalangan masyarakat Cina.

"Beliau akan mendakwa sebagai pemimpin yang baik, amanah tetapi ditindas ROS yang merupakan ejen UMNO dan BN," katanya.

Kepada Guan Eng, beliau sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana selaku Setiausaha Agung, beliau bertanggungjawab sepenuhnya berhubung isu penyelewengan dalam pemilihan tahun lalu sehingga ROS tidak mengiktiraf semua CEC parti itu.

Fakta ini jelas dan Guan Eng tidak boleh menyalahkan semua orang pada sepanjang masa. Mendakwa ROS cuba membunuh DAP adalah satu pembohongan.

Penyokong-penyokong tegar rosakkan parti

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh Fauziah Arof

BARANGKALI boleh dikatakan antara yang merosakkan nama dan imej mana-mana parti politik di negara ini adalah penyokong-penyokong tegarnya sendiri.

Bukan setakat salah laku segelintir pemimpin parti politik itu yang menjadi perosak dan pencemar parti, tetapi ia juga ditambah dengan gelagat penyokong-penyokong tegarnya.

Dan barangkali juga, jika parti politik itu tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, tidak mustahil juga penyokong-penyokong tegarnya turut menyumbang kepada sejumlah peratusan kekalahan berkenaan.

Saya katakan begitu kerana golongan ini selalunya yang melebih-lebih dalam segala perbuatan mereka yang menimbulkan rasa meluat dan kebencian rakyat.

Penyokong-penyokong tegar ini bukan saja boleh jadi tukang sibuk, tapi juga tukang pukul, tukang gaduh, tukang mencarut, tukang bakar, tukang koyak bendera parti lawan dan macam-macam lagi skil pertukangan yang tidak membabitkan sedikit pun unsur-unsur seni.

Sedangkan pada hakikatnya, tanyalah kebanyakan mereka ini tentang politik tanah air. Maka pasti keluarlah jawapan yang bukan-bukan. Sebab pengetahuan tentang politik itu kosong dan mereka ini sebenarnya juga bukan bersungguh-sungguhpun hendak memikirkan masa depan politik negara ini. Sekadar jadi pengacau.

Bagi mereka, dunia politik itu ialah - menyokong membuta-tuli mana-mana parti politik, sebabnya, ketaksuban terhadap pemimpin-pemimpin parti atau boleh tumpang seronok bila berdemo di tengah jalan dengan memakai baju yang sama warnanya. Bangga sangat. Masa itulah hendak tunjuk samseng, asalkan dapat menjerit-jerit, maki hamun kerajaan. Itulah dunia politik bagi mereka.

Budaya politik yang lebih bersifat taksub kepartian di negara ini, menyebabkan sekiranya parti politik yang disokong itu salah, ia tetap dipandang betul. Sudah tentu ada banyak perbezaan antara taksub kepartian dan menyokong kebenaran. Yang menghalang kepada melihat kebenaran inilah adalah ketaksuban. Kebenaran dan keadilan juga bukan hak mutlak sesebuah parti politik.

Dan orang seperti inilah sedikit sebanyak memberi gambaran yang salah pada dunia politik. Bila orang kata politik itu kotor, paling tidak penyumbang kepada kekotoran itu golongan inilah juga.

Sebab itu, timbul pula gelaran macai dan pencacai dalam parti-parti politik. Tapi selalunya, yang dipanggil pencacai itu adalah penyokong parti kerajaan. Yang sokong parti pembangkang pula, merasakan diri mereka terdiri dalam golongan yang cukup hebat dan cool, sebab seronok dapat maki hamun kerajaan.

Sedangkan gelagat macai dan pencacai yang bermaksud kuli ini boleh saja ada dalam semua parti politik. Terpulang macam mana anda meletakkan sumbangan untuk parti itu.

Menjadi penyokong kepada perjuangan parti, perlu tahu fakta bukan auta dan isu-isu semasa. Jika sekadar tukang bising, tukang gaduh, tukang meramaikan sesuatu majlis atau perhimpunan dan manifesto parti yang disokong pun tak tahu, gelaran macai itu mungkin kena untuk golongan seperti ini.

Sebab itu kematangan penyokong-penyokong dalam berpolitik amat membantu parti dalam melalui kempen mana-mana PRU. Bila tiada ilmu pengetahuan, tiada maklumat yang tepat, ditambah dengan emosi yang tidak terkawal maka jadilah kejadian-kejadian yang tidak diingini yang boleh menjejaskan keselamatan dan nyawa orang lain.

Maka timbul kes yang membabitkan membakar pusat operasi parti, membakar bendera parti politik dan menyerang orang yang memasang bendera parti. Itu belum masuk perang mulut penyokong-penyokong tegar di lokasi-lokasi kempen.

Amat pelik rakyat di negara ini, bila tiba Hari Raya mereka boleh berpeluk-pelukan dan bersalaman memohon kemaafan, lupa sekejap perbezaan ideologi politik kerana sesama Islam. Tetapi bila tiba pilihan raya, sesama Islam inilah juga yang bergaduh, memaki hamun dan sanggup mencederakan orang lain hanya pasal parti politik.

Apa jua tindakan penyokong-penyokong tegar ini akan menjadi cerminan kepada parti. Elok-elok rakyat mahu menyokong, tidak jadi sokong dan akhirnya undi diberi kepada parti lawan, atau batal niat mahu keluar mengundi!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved