Sabtu, 13 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Lebuh raya tanpa tol KB-Kuala Krai

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

AWANG Adek Hussin (tengah) menyampaikan bantuan kepada tabung PIBG SK Telaga Ara di Bachok, Kelantan semalam.

BACHOK 12 April - Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang bakal dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan dikenakan sebarang tol.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pembinaan lebuh raya itu kelak akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat tanpa perlu meminta sumbangan daripada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu yang tidak dikenakan tol membuktikan BN memenuhi janji kepada rakyat.

"Ini adalah tanggungjawab sosial Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan dalam usaha membangunkan taraf perhubungan yang lebih efektif dan selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, di sini hari ini.

Awang Adek mengulas tanda tanya pelbagai pihak sama ada lebuh raya berkenaan akan dikenakan tol sebagaimana dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Pembinaan lebuh raya berkenaan adalah antara tujuh projek dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat Kelantan dan turut disenaraikan dalam manifesto tambahan atau aku janji BN Kelantan yang dilancarkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan pimpinan Pas juga bercadang membina lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu sepanjang 73 kilometer yang upacara pecah tanahnya disempurnakan pada 28 Mei tahun lalu oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerajaan Pas Kelantan turut melancarkan kutipan derma bagi menampung kos pembinaan lebuh raya itu yang dianggarkan berjumlah RM1.9 bilion.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, pembinaan lebuh raya itu kelak akan memendekkan jarak perjalanan antara Kota Bharu-Kuala Krai selain mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu juga akan menjadi faktor daya penarik pelabur asing ke negeri ini bagi menjana ekonomi dan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam pelbagai sektor.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, aku janji atau manifesto tambahan BN Kelantan memberi perhatian kepada isu-isu tempatan terutama pembelaan terhadap rakyat yang gagal disempurnakan Pas.

"Pembelaan yang bakal dilaksanakan BN Kelantan kelak akan membabitkan pembelaan menyeluruh, telus, adil dan saksama tanpa mengamalkan diskriminasi kepada rakyat dalam mengagihkan setiap bantuan dan pelaksanaan pembangunan," katanya.

Sultan Kelantan hadiri majlis graduasi SMSTMFP

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

SULTAN Muhammad V bersalaman dengan sebahagian pelajar dalam majlis perasmian Dewan Sultan Muhammad V dan Majlis Graduasi Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di Kota Bharu, Kelantan kelmarin.

KOTA BHARU 12 April - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V merasmikan Dewan Sultan Muhammad V dan Majlis Graduasi 2013 Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) di sekolah itu di sini semalam.

Baginda menyempurnakan gimik perasmian dewan baharu sekolah itu yang siap tahun lalu dan boleh memuatkan sehingga 1,000 orang serta turut dilengkapi dengan kemudahan pementasan dan sistem siar raya terbaik.

Sementara itu, seramai 172 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, termasuk 33 pelajar yang mendapat gred A dalam semua subjek diambil telah menerima sijil graduasi masing-masing pada majlis itu.

Pengetua SMSTMFP, Shafie Awang memberitahu, sekolah itu masih lagi mengekalkan pencapaian yang baik dalam peperiksaan SPM sebagaimana sebelumnya dengan gred purata sekolah (GPS) 1.89 dicapai tahun lalu manakala bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula mereka menduduki tempat pertama di peringkat negeri dengan 112 daripada 148 calon mendapat semua A.

Dalam ucapannya beliau berkata, selain cemerlang dalam peperiksaan awam, pelajar sekolah itu turut mencatat kejayaan membanggakan dalam aktiviti ko-kurikulum bukan sahaja dalam negeri malah di peringkat antarabangsa.

Malah katanya, sekolah itu adalah salah sebuah daripada 10 buah sekolah seluruh negara yang kini dalam proses penilaian untuk tempoh tiga tahun bagi mendapat pengiktirafan International Baccalaureate (IB), iaitu suatu pengiktirafan bagi sekolah bertaraf dunia.

"Antara anugerah yang pernah dimenangi adalah johan pada Fully Residential School International Symposium serta memenangi beberapa kategori termasuk pengucapan awam sempena Hari Kebudayaan Perancis Peringkat Borneo.

"Atlet sekolah juga cemerlang apabila terpilih mewakili Kelantan dalam sukan ragbi, tenis, ping pong, skuasy dan memanah tahun ini, selain 10 pelajar bakal menyertai pertandingan Kangaroo Mathematics Competition Malaysia dan pertandingan Malaysia ASEAN School Math Olympiads (MASMO)," katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim dan Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Muhammad.

Pada majlis itu juga, Sultan Muhammad V turut mengurniakan Anugerah Jasamu Dikenang 2013 kepada bekas penolong kanan sekolah, Zanuddin Jaafar serta Anugerah Panitia Cemerlang SPM 2012 dan Anugerah Panitia Cemerlang PMR 2012 kepada barisan guru yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Sementara itu, salah seorang pelajar sekolah yang ditemui, Mohamad Farid Abdul Manaf, 17, gembira kerana sekolah itu kini mempunyai sebuah lagi dewan selain Dewan Mahadzir Hashim bagi menampung keperluan lebih 780 pelajar di situ.

Katanya, kemudahan dewan yang lebih canggih dan luas dapat melancarkan perjalanan pelbagai aktiviti dan program terutama semasa perhimpunan sekolah dan majlis besar.

Pemandu kereta sewa Perlis minta bantuan Perdana Menteri

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Rosman Ishak (tiga dari kiri) bersama beberapa rakannya menunjukkan sijil pengendali baharu dikeluarkan oleh SPAD yang disifatkan sebagai membebankan pemandu kereta sewa Perlis di Kangar, semalam.

KANGAR 12 April - Persatuan Pemandu Kereta Sewa di Stesen Teksi Kayangan Budiman, Jalan Bukit Lagi di sini, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti semula arahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai Lesen Pengendali.

Pengerusinya, Rosman Ishak berkata, arahan itu diterima pihaknya hanya secara panggilan telefon daripada SPAD tiga hari lalu.

"Kita bingung kerana perlu segera mematuhi arahan ini tetapi SPAD sebelum ini tidak pernah langsung berbincang soal lesen baharu yang diwajibkan ke atas semua pemandu kereta sewa," katanya dalam sidang akhbar di stesen teksi berkenaan, di sini hari ini.

Rosman berkata, masalah sama juga dihadapi kira-kira 500 lagi pemandu kereta sewa di seluruh negeri ini yang terpaksa membayar lesen tambahan itu bernilai RM30.

Katanya, hampir kesemua pemandu kereta sewa tidak bersetuju dengan arahan terbaharu itu kerana seolah-olah dipaksa mematuhinya.

Apatah lagi, katanya, setakat ini, pemandu kereta sewa mempunyai tiga lesen iaitu Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan yang perlu dibayar sebanyak RM30, Lesen Memandu Kenderaan Awam (PSV) RM50, dan Kad Pemandu berharga RM15.

Tambahnya, arahan terbaharu itu menunjukkan seolah-olah SPAD tidak mengiktiraf ketiga-tiga lesen sedia ada.

"Kami juga kesal kerana dengan lesen terbaharu ini mengenakan syarat tambahan supaya tidak menurunkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, arahan itu sekali gus menyekat pemandu kereta sewa daripada menghantar penumpang ke lapangan terbang seperti sebelum ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved