Sabtu, 13 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pas, DAP parti pelampau - MB

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

ABDUL Ghani Othman (tiga dari kiri) melihat geran tanah yang diterima oleh penduduk dalam majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat Kampung Hang Tuah, Melepang dan Termil serta Penyampaian Hak Milik Geran Tanah Kurnia Jaya Mukim Gersik di Balai Raya Kampung Melepang, di Ledang, Johor semalam.

LEDANG 12 April - Pas dan DAP adalah dua parti pelampau yang harus ditolak kerana perjuangan mereka boleh membawa kehancuran kepada rakyat Johor jika dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelak.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Pas sebagai pelampau Islam dan DAP pelampau Cina ketika ini saling ingin menguasai antara satu sama lain bagi mengukuhkan pendirian dan perjuangan melampau masing-masing.

"Antara perbuatan melampau Pas ialah mengkafirkan dan kata solat orang UMNO (tidak sah) juga jika sokong Barisan Nasional (BN) tidak dapat pahala. Apa yang dia cakap bukan sahaja melampau, tetapi keterlaluan. Ini kita tidak boleh terima sama ada Pas atau DAP.

"Soal pahala, syurga, neraka, Islam atau tidak Islam bukan kita tentukan, hanya Tuhan yang tahu. Pas tuduh kita (tetapi) bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan DAP? Orang Cina juga kena faham, DAP pun melampau tetapi dalam hal lain," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat Kampung Hang Tuah, Melepang dan Termil serta Penyampaian Hak Milik Geran Tanah Kurnia Jaya Mukim Gersik di Balai Raya Kampung Melepang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Ir. Hamim Samuri dan Setiausaha Badan Perhubungan MIC Johor, M. Asojan.

Abdul Ghani berkata, rakyat Johor terutamanya Melayu adalah orang yang sederhana dan sama sekali tidak dapat menerima perjuangan melampau dan radikal seperti itu yang bertentangan dengan norma-norma hidup mereka.

"DAP katanya lebih menguasai Pas dan parti itu pula berkata mereka lebih mengusai DAP. Inilah yang mereka nak ubah, kerajaan yang nak diwujudkan antara (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang, Datuk Nik Aziz (Nik Mat), Mohamad Sabu, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng," katanya.

Beliau berkata, perubahan yang dilaung-laungkan oleh Pas sebenarnya sudah berlaku iaitu parti itu sendiri mengetepikan perjuangan menubuhkan negara Islam kepada negara berkebajikan demi kepentingan politiknya.

Jelas Abdul Ghani, adalah sesuatu yang dangkal apabila Pas menggunakan alasan bahawa penubuhan negara Islam tidak ada dalam al-Quran semata-mata mahu mengeliru dan memujuk penyokong mereka menerima negara kebajikan.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) katanya, kini sudah tidak relevan lagi dengan arus perkembangan politik negara.

Allianz anjur kempen pemanduan selamat

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

JENS Reisch (empat dari kiri) bersama para pegawai Allianz Malaysia Berhad dan model kereta lumba F1 Petronas dalam Kempen Formula One bertemakan Pemanduan Selamat di kompleks beli-belah City Square dan Danga City Mall, Johor Bahru, Johor semalam.

JOHOR BAHRU 12 April - Syarikat Insurans, Allianz Malaysia Berhad (Allianz) menganjurkan Kempen Formula One bertemakan Pemanduan Selamat bermula hari ini hingga Ahad di kompleks beli-belah City Square dan Danga City Mall di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jens Reisch berkata, kempen bertemakan pemanduan selamat itu bertujuan mendekati orang ramai bagi menyampaikan mesej keselamatan dalam pemanduan Formula One, selain pengurusan risiko serta keselamatan pemandu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong secara aktif segala program kesedaran keselamatan jalan raya menerusi kempen advokasi keselamatan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Program yang diadakan ini merupakan sebahagian daripada usaha Allianz untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi mengamalkan gaya pemanduan selamat," katanya semasa merasmikan program itu di kompleks beli-belah City Square hari ini.

Reisch berkata, kempen selama tiga hari itu menyediakan pelbagai acara menarik kepada para pengunjung termasuk simulasi pemanduan Formula One bagi membolehkan mereka merasai sendiri bagaimana menjadi salah seorang pemandu sukan permotoran itu.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengambil gambar bersama piala di atas podium serta replika kereta Formula One yang disediakan.

"Kami turut menyediakan zon kanak-kanak khusus untuk mereka mempelajari tentang keselamatan jalan raya secara interaktif, selain berpeluang menaiki kereta bersaiz mini dan memandu di kawasan khas yang mempunyai tanda-tanda jalan berbeza.

"Kanak-kanak ini akan dibimbing oleh kakitangan kami dan selesai memandu, mereka akan diberikan lesen memandu khas dan dikenali sebagai duta keselamatan jalan raya," katanya.

Pihaknya bersama JKJR akan mengadakan kempen advokasi keselamatan Ahad ini di kompleks beli-belah Danga City Mall bermula 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pada kempen itu, orang ramai boleh menukar topi keledar lama mereka dengan yang baharu bagi menjamin keselamatan ketika menunggang motosikal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved