Rabu, 10 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


PSMZA bertapak kukuh di persada ilmu

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

Sebahagian daripada graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin kali ke-10
di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.

DUNGUN 9 April - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini, meraikan 1,565 graduannya dalam istiadat konvokesyen kali ke-10 baru-baru ini, dalam suasana institusi itu semakin menapak kukuh di persada akademik negara.

Mereka merupakan kalangan 13,580 graduan yang dilahirkan dalam tempoh sedekad dan dilatih serta dibimbing menjadi tenaga kerja separa profesional berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat.

Kewujudan institusi di tapak seluas 100 hektar itu ternyata bukan sahaja mengubah landskap kawasan pinggiran pusat bandar daerah ini dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat tetapi turut memesatkan penjanaan modal insan bagi keperluan negeri dan negara.

Pengarahnya, Mejar (K) Md. Noor Baharom ketika berucap dalam majlis tersebut memberitahu, PSMZA yang dahulunya dikenali dengan nama Politeknik Dungun merintis sejarah awalnya dengan mengeluarkan kumpulan graduan pertama sebanyak 211 orang pada 2004.

Beliau yang menyingkap rentetan sejarah perkembangan PMSZA memberitahu, institusi itu bermula dengan penawaran tiga program peringkat sijil iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal.

"Ini disusuli dengan program Diploma Kejuruteraan Mekatronik pada Disember 2001 dan kini PSMZA menawarkan sembilan program pengajian peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat.

"PSMZA juga menawarkan empat program pengajian peringkat diploma yang dilaksanakan hujung minggu dikenali sebagai kursus secara sambilan (KSS)," katanya.

Istiadat penyampaian diploma itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian pengajian Tinggi, Datuk Mohlis Jaafar.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik PSMZA, Hassan Ismail; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Abu Bakar Zakaria; Pensyarah Utama Che Ku Amran Che Ku Ali dan bekas Pengarah PSMZA, Mejar (K) Zolkarnain Jobshi.

Penyampaian diploma bagi sesi hari kedua pula disempurnakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Menurut Md. Noor, dalam usia lebih 10 tahun, PSMZA berjaya melebarkan sayap di persada akademik dengan baik dan tahun ini fokus utama adalah ke arah menambah baik dan mengukuhkan kedudukan PSMZA di persada akademik sebagaimana yang digariskan dalam transformasi politeknik.

"Ini bagi mencapai sasaran 85 peratus graduan berkerja dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian pada tahun 2015 manakala 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak, memilih politeknik sebagai pilihan pertama dan mengarusperdanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET)," katanya.

Katanya, bagi meningkatkan keupayaan menguasai pasaran kerja, PSMZA telah melaksanakan beberapa strategi termasuk mempergiatkan jaringan kerjasama bersama industri di dalam dan luar negara.

"PSMZA juga telah menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) di peringkat tempatan iaitu bersama Universiti Malaysia Pahang, Syarikat Local Engineering Sdn. Bhd. dan Syarikat YTL Power Services Sdn. Bhd.," katanya.

Melalui langkah itu, katanya, pelbagai aktiviti berbentuk akademik dapat dijalankan bersama industri melibatkan sangkutan industri pensyarah, latihan industri, kerjaya pelajar, proses P&P dan banyak lagi.

"PSMZA turut mengadakan hubungan baik dengan Universiti Karimun, Indonesia sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini, dalam bidang keusahawanan dan kebudayaan serta memperkasakan perkongsian idea berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran," ujarnya.

Menurut beliau, penambahbaikan berterusan akan dilakukan bagi pemantapan proses pengajaran dan pembelajaran, pembangunan sahsiah, memperkembangkan kurikulum dan penyediaan prasarana dalam usaha memastikan produk PSMZA terus relevan dan layak diperakukan dalam arus perdana sektor industri.

Cacat bukan halangan cipta kejayaan

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Ahmad Fajrul Adha Mohd. Kamil bersama skrol Anugerah Pelajar Cemerlang yang diterimanya baru-baru ini.

KOTA BHARU 9 April - Biarpun dilahirkan kurang sempurna seperti rakan-rakan yang lain, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Ahmad Fajrul Adha Mohd. Kamil, 19, untuk menerima anugerah pelajar cemerlang Kolej Tekonologi Darulnaim (KTD).

Ahmad Fajrul dari Pasir Mas, yang cacat kedua-dua kakinya memberitahu, dia tidak pernah menyangka usahanya bagi mengejar cita-cita menjadi seorang Jurutera Komputer selama ini membolehkan dia menerima anugerah pelajar cemerlang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar KTD di sini, baru-baru ini.

"Kejayaan ini banyak didorong oleh rakan-rakan yang banyak membantu saya ketika mengulangkaji pelajaran di samping saya sentiasa memberi tumpuan semasa proses pembelajaran dalam bilik kuliah.

"Walaupun keadaan saya tidak sempurna tetapi saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya yang tidak pernah jemu membantu serta memberikan sokongan padu," katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik.

Ahmad Fajrul Adha merupakan pelajar semester kedua bagi jurusan Diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat) iaitu program kerjasama KTD dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dihantar oleh bapanya ke kolej pada setiap hari.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Tazzkiyatun Safiyyah Sumarli, 20, berkata, kejayaannya adalah hasil pengorbanan ibu bapa serta usaha pensyarah yang bertungkus lumus dalam menyampaikan ilmu.

Pelajar Diploma Multimedia itu mengakui pemilihan institusi pengajian turut mempengaruhi kejayaannya apabila memperoleh gred purata terkumpul (CGPA) 4.0 setiap semester.

"Saya akan berkongsi segala ilmu dengan rakan-rakan apabila melibatkan pelajaran selain memberi tumpuan sepenuhnya ketika kuliah. Ternyata kaedah itu amat berkesan kerana saya dapat memahami dengan mendalam mata pelajaran yang diambil.

"Kejayaan ini melonjakkan lagi semangat saya untuk meneruskan cita-cita membuat syarikat perfileman sendiri suatu hari nanti," katanya yang menerima tiga anugerah iaitu Anugerah Nilam, Anugerah Gemilang dan Anugerah Bistari pada majlis itu.

Turut menerima Anugerah Kecemerlangan ialah Nabila Laeli Abdillah, 19, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan; Fatin Nur Fauzana Mohd. Fuad, 21, pelajar jurusan Diploma Komunikasi dan Siti Atiqah Ismail, 21, pelajar jurusan Diploma Al-Quran dan Sunah.

Sementara itu, Ketua Eksekutif KTD, Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman berkata, sebanyak enam kursus pengajian baharu ditawarkan pada tahun ini iaitu empat program peringkat ijazah dan dua peringkat diploma.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved