Rabu, 10 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


15 warga Filipina, polis dihadap ke Mahkamah Tinggi esok

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 April - Lima belas warga Filipina dan seorang koperal polis yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau, Jumaat ini.

Lapan daripada mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Selain itu tujuh lagi tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.

Seorang anggota polis warga tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.

Kesemua mereka sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Pada prosiding Jumaat ini, pengakuan tertuduh akan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, P. Ravinthran.

Pada 21 Mac lalu, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung, dan Lating Tiong tidak diwakili peguam hingga Hakim Ravinthran memutuskan supaya pengakuan mereka tidak direkodkan demi memberi keadilan kepada tertuduh.

Selain itu, pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh termasuk Koperal Hassan Ali Basri yang didakwa awal April, akan dibacakan semula kerana kes mereka baru sahaja dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.

Kesemua tertuduh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 yang tidak membenarkan mereka diikat jamin - BERNAMA

Nizar dakwa tidak tahu Sultan Johor murka

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 April - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mendakwa beliau tidak tahu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka berhubung kenyataannya dalam media sosial Twitter berkenaan pembidaan nombor pendaftaran plat WWW 1.

Mohammad Nizar, 56, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau juga tidak pernah membuat permohonan maaf kepada Sultan Johor tetapi bersedia berbuat demikian sekiranya mendapat perkenan baginda.

Beliau selaku saksi plaintif pertama bagaimanapun menyatakan ada membuat kenyataan memohon maaf kepada sesiapa yang terguris hati dengan kenyataan Twitter yang dikeluarkannya itu.

Mohammad Nizar berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes saman fitnah RM50 juta terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung isu nombor pendaftaran nombor plat WWW 1 milik Sultan Johor yang dibida pada harga RM520,000.

Dalam saman yang difailkan pada 10 Julai tahun lalu, Mohammad Nizar menyatakan, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Mei tahun yang sama berhubung bidaan nombor plat itu.

Utusan Melayu pada 31 Mei 2012, dakwanya, menerbitkan satu artikel berunsur fitnah di muka surat 11, akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Lapan laporan polis dibuat bantah kenyataan biadab terhadap Sultan Johor - Pasukan khas siasat kenyataan Nizar'.

Bagi plaintif, pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau seorang penderhaka kepada sultan amnya dan Sultan Johor khususnya, selain ahli politik yang anti-sultan dan cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.

Dalam sesi pemeriksaan balas itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Utusan Melayu turut menyoal saksi berhubung titah Sultan Ibrahim sewaktu merasmikan pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-12 di Nusajaya, Johor pada 14 Jun tahun lalu.

Dalam titah berkenaan, Sultan Ibrahim yang hanya merujuk kepada 'pemimpin politik' antara lain menyatakan:

''Saya harap dia sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat. Jika dia hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor, bukan kepada saya seorang sahaja. Pepatah Melayu sering mengingatkan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'.''

Dengan memetik titah baginda seperti yang terkandung dalam hansard DUN itu, peguam tersebut bertanyakan sama ada 'pemimpin politik' yang dimaksudkan itu merujuk kepada beliau (Mohammad Nizar).

''Tidak setuju,'' jawab Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Perak.

FIROZ HUSSEIN: Kalau tidak setuju, siapa yang dirujuk?

MOHAMMAD NIZAR: Tidak tahu sebab nama saya tidak dirujuk di sini.

FIROZ HUSSEIN: Saya cadangkan bahawa Sultan merujuk kepada Datuk Seri?

MOHAMMAD NIZAR: Kemungkinan.

Apabila diasak dengan cadangan peguam bahawa saksi itu tahu Sultan Johor murka terhadapnya melalui titah baginda itu yang disiarkan di semua media massa di negara ini termasuk YouTube, Mohammad Nizar berkata: ''Ya, kemungkinan.''

Dalam keterangannya, saksi tersebut turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa beliau telah menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada Sultan Johor kerana menyedari kenyataan Twitter tersebut adalah salah dan tidak wajar.

Beliau juga menafikan sekeras- kerasnya bahawa kenyataan Twitter yang dikeluarkannya tidak menghormati kedaulatan Sultan Johor sebagai seorang Sultan.

Menjawab soalan lain, Mohammad Nizar berkata beliau tidak setuju dengan cadangan Firoz Hussein bahawa kenyataan Twitter tersebut boleh difahami sebagai terdapat pembaziran wang rakyat sebanyak RM520,000 untuk pembidaan tersebut.

Plaintif juga tidak bersetuju bahawa beliau telah mempertikaikan bidaan nombor perdaftaran plat WWW1 oleh Sultan Johor.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub bersambung esok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved