Rabu, 17 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mudarat calon payung terjun

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh Azmi Hassan

Sesetengah kawasan pertandingan pilihan raya ditandingi oleh calon payung terjun yang banyak diketengahkan oleh pakatan pembangkang. - Gambar hiasan

MEMANG menarik jika dikupas komposisi bakal calon pilihan raya umum (PRU) Barisan Nasional (BN) kerana tidak pernah dalam sejarah politik Malaysia begitu ramai sekali calon yang dikemukakan adalah dalam kalangan mereka yang buat kali pertama bertanding atau lebih popular dikenali sebagai calon muka baharu.

Mungkin juga Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil isyarat bahawa terdapat lebih daripada 2.3 juta pengundi yang buat pertama kali akan mengundi dalam PRU pada 5 Mei akan datang.

Parti pembangkang juga ada mempersembahkan calon muka baharu tetapi tidak semenarik atau holistik seperti yang dipamerkan oleh BN. Tetapi satu perkara BN tidak mampu menandingi kriteria calon pembangkang adalah dari segi calon payung terjun.

Calon payung terjun ditakrifkan sebagai seseorang yang bertanding di kawasan sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi tidak menetap atau mempunyai pertalian di kawasan tersebut. Sebab itu menjadi satu kelaziman atau prasyarat calon sedemikian perlu mempunyai aura tersendiri kerana tidak mampu menarik pengundi jika hanya berlandaskan khidmat kepada pengundi kawasan tersebut.

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton adalah ahli politik yang lazim digunakan sebagai contoh calon payung terjun kerana bertanding kerusi Senator New York pada tahun 2000 sedangkan beliau tidak pernah menetap di bandar raya tersebut. Kemenangan beliau adalah disebabkan oleh aura sebagai bekas Wanita Pertama White House.

Parti pembangkang tidak pernah sunyi dengan sindrom calon payung terjun kerana seolah-olah itulah strategi dan modus operandi utama mereka dalam setiap PRU untuk memikat pengundi. Penasihat DAP Lim Kit Siang dikatakan ikon calon payung terjun kerana sering berpindah randah kawasan bertanding dan kali ini akan bertanding di Parlimen Gelang Patah pula.

Memang benar penasihat DAP itu dilahirkan di Batu Pahat, Johor tetapi tidak pernah wujud pertalian atau sinonim beliau dengan negeri Johor apatah lagi Gelang Patah. Kit Siang selama hayat beliau dalam dunia politik pernah menjadi ahli Parlimen atau DUN di Melaka, Pulau Pinang dan juga Perak.

Begitu juga dengan calon Pas, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub masing-masing yang akan bertanding di Parlimen Putrajaya dan Pulai adalah satu lagi contoh klasik calon payung terjun pembangkang. Karier politik Husam berkisar di Kelantan dan nama beliau begitu serasi dengan politik negeri Pantai Timur tersebut. Serupa dengan Kit Siang walaupun Salahuddin adalah anak jati Johor tetapi karier politik beliau sebenarnya bermula di Kelantan dan kali terakhir menjadi ahli Parlimen Kubang Kerian.

Calon payung terjun yang begitu sinonim dengan taktik meraih undi oleh parti pembangkang sebenarnya tidak menghormati naluri pengundi setempat kerana sistem pilihan raya Malaysia adalah berpaksikan kepada kawasan dan konsep ini menjadi pemangkin utama terutama sekali yang melibatkan kawasan DUN.

Sebab itu calon payung terjun sebagai prasyarat mesti mempunyai aura atau seseorang yang sudah dikenali kerana pengundi tidak mampu membuat keputusan hanya berdasarkan khidmat lampau calon tersebut di kawasan tersebut.

Sudah menjadi kebiasaan strategi kempen calon payung terjun menjerumus ke dalam isu yang begitu ekstrem kerana itu kaedah paling efektif menagih simpati pengundi. Sebab itu bila wujud calon payung terjun di kawasan tertentu maka akan berlaku perpecahan dalam kalangan pengundi kerana gaya kempen calon tersebut sememangnya adalah untuk memecah undi.

Kit Siang yang berpindah dari Ipoh Timur ke Gelang Patah begitu jelas telah mempraktikkan strategi kempen ekstrem untuk memecah belah pengundi Cina dengan kata dua tersirat sama ada memilih MCA atau DAP. Sebab itu dikatakan calon payung terjun tidak sesuai di Malaysia kerana ia mampu memudaratkan keharmonian kawasan yang terlibat.

Strategi kempen calon payung terjun hanya sesuai dilaksanakan dalam sistem pilihan raya yang tidak berlandaskan kawasan tertentu. Israel umpamanya mengamalkan sistem pilihan raya di mana 120 perwakilan Knesset dipilih tanpa memiliki kawasan tertentu. Sistem ini agak aneh kerana rakyat Israel tidak mempunyai perwakilan untuk kawasan mereka dan lazimnya pemilihan dilakukan hanya berdasarkan parti perwakilan.

Kempen pilihan raya Israel adalah begitu ekstrem kerana kesemua calon yang bertanding boleh ditakrifkan sebagai calon payung terjun kerana mereka tidak mempunyai kaitan dengan kawasan tertentu. Adalah perkara lazim parti politik Israel berpegang kepada fahaman ekstrem sama ada kanan atau kiri dan sukar untuk mencari parti yang berfahaman tengah. Kempen mereka juga bersifat memecah belah iaitu sama ada sekular lawan agama, kaya lawan miskin, Yahudi lawan Arab atau perdamaian lawan peperangan.

Gaya politik calon payung terjun ini adalah tidak sihat untuk negara seperti Malaysia kerana bertentangan dengan sistem pilihan raya yang berasaskan kawasan. Apabila pengundi membuat pilihan, mereka mahukan calon yang mampu memberi khidmat terbaik untuk penduduk dan kawasan tersebut.

Pengundi mempunyai kuasa untuk memberi isyarat bahawa mereka menolak calon payung terjun kerana fenomena sebegini telah berlarutan begitu lama lebih daripada lima dekad. Kemenangan kepada calon payung terjun tidak memberi manfaat kepada kawasan tersebut dan tidak mampu memenuhi agenda negara.

Sebaliknya, kemenangan kepada calon payung terjun hanya memberi manfaat kepada parti politik tersebut yang hanya mementingkan agenda politik mereka yang mungkin tidak selari dengan aspirasi rakyat dan negara.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Untung atau rugi tukar kerusi

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian daripada wakil calon termasuk daripada MCA melaungkan "1Malaysia" semasa Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Calon Barisan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam, kelmarin. - Gambar hiasan

SELEPAS senarai calon MCA diumumkan, ada ahli yang melompat kegembiraan apabila pemimpin kesukaan mereka dicalonkan. Tetapi pada masa yang sama, ada juga yang dukacita kerana calon yang dinamakan bukan pilihan mereka.

Tiga kerusi Parlimen yang menjadi tumpuan ialah Gelang Patah di Johor, Wangsa Maju di Kuala Lumpur dan Kuantan di Pahang. Ketiga-tiga kerusi Parlimen itu dipinjamkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, calon MCA, Datuk Fu Ah Kiow yang merupakan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ditewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh dengan majoriti 1,826 undi. Fuziah dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan pada PRU-13.

Pertarungan di Kuantan dijangka sengit di mana pakatan pembangkang akan terus menggunakan isu pembinaan Loji Nadir Bumi Lynas sebagai modal politik untuk meraih undi.

Di Pahang juga, MCA mengesahkan DUN Tanah Rata di Cameron Highlands telah ditukar dengan DUN Ketari, Bentong yang sebelum ini ditandingi Gerakan. Pertukaran dipersetujui selepas mengambil kira faktor calon boleh menang di kedua-dua kawasan tersebut.

Dalam pertarungan tiga penjuru pada Pilihan Raya 2008 lalu, Tanah Rata dimenangi oleh bekas ahli MCA, Datuk Ho Yip Kap yang bertanding atas tiket Bebas. Yip Kap tidak diterima semula ke dalam MCA dan akhirnya memilih untuk masuk Parti Gerakan.

Selain itu, Soi Lek turut mengumumkan bahawa MCA akan bertanding di DUN Sungkai, Tanjung Malim di Perak sebagai pertukaran dengan DUN Buntong, Ipoh Barat yang akan ditandingi oleh MIC. Pertukaran tersebut dipersetujui selepas mengambil kira peratus pengundi Cina dan India di kedua-dua kawasan.

Pada mulanya, MCA turut berniat meminjamkan Tronoh di Batu Gajah kepada MIC tetapi akhirnya memutuskan untuk korbankan kerusi Jelapang selepas ahli MCA di Tronoh tidak puas hati dengan pinjaman yang dicadangkan.

Di Melaka pula, MCA dengan sukarelanya menyerahkan kerusi DUN Kota Laksamana untuk ditandingi oleh Parti Progresif Penduduk (PPP). DUN Kota Laksamana yang disandang Betty Chew iaitu isteri kepada Lim Guan Eng merupakan antara kawasan hitam MCA yang dilihat sukar dirampas daripada DAP.

Keadaan paling getir bagaimanapun berlaku di Gelang Patah, Johor apabila ratusan ahli MCA berkumpul dan melahirkan kekecewaan terhadap keputusan pinjaman kerusi Parlimen tumpuan itu kepada UMNO.

Tidak dinafikan bahawa pinjaman dan pertukaran kerusi telah menimbulkan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi seperti yang dikesan di Tronoh, Wangsa Maju, Gelang Patah dan Tanah Rata di mana penyokong tegar MCA mengugut tidak akan turun berkempen sekiranya calon bukan MCA dipilih mewakili BN. Masalah ini perlu ditangani dan diselesaikan oleh BN dengan segera.

Keadaan tersebut tidak terhad kepada MCA semata-mata. Di DUN Jalong, Perak umpamanya, Ahli Gerakan mengeluarkan ugutan serupa sebaik-baik sahaja mendengar khabar angin bahawa MIC berniat untuk bertanding di situ. Jalong merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Sungai Siput. Kerusi itu akhirnya ditanding semula oleh calon Gerakan.

Soi Lek sendiri sedar tentang implikasi buruk yang bakal menimpa partinya sekiranya ahli MCA yang tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi melakukan sabotaj atau enggan turun berkempen.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan DAP yang cuba mengeksploitasi sentimen perkauman dengan mendakwa Soi Lek gagal mempertahankan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada calon keturunan Cina.

Beberapa pemimpin DAP kelihatan mempropaganda isu tersebut dengan menggambarkan MCA sebagai hamba kepada UMNO. Mereka mendakwa MCA gagal menolak sebarang permintaan atau desakan UMNO. Sekiranya propaganda ini tidak ditangkis, MCA akan menjadi mangsa kepada politik perkauman parti lawan.

Untuk menenangkan ahli MCA, Soi Lek terpaksa menggunakan Twitter untuk meyakinkan ahli MCA untuk menerima segala percaturan yang dibuat berdasarkan semangat permuafakatan bagi memenangkan BN.

''DAP hanya akan menyerang kita apabila kita lakukan apa yang benar. Mari kita bersatu, berpadu dan berdiri teguh.

''Pengundi keturunan India bertambah mendadak di Perak. Di bawah semangat BN, kita memberikan (kerusi) kepada MIC kerana MIC hanya memiliki dua DUN di Perak. Kita menghargai sokongan kaum India," kata Soi Lek dalam laman Twitter.

Beliau juga menjelaskan bahawa MCA bukan 'pemberi' semata-mata kerana parti tersebut bakal menerima kerusi baru di Sabah, iaitu DUN Luyang di Kota Kinabalu. DUN Luyang 'dikosongkan' oleh Parti Maju Sabah (SAPP) yang telah keluar BN.

Bagi Datuk Ho Yip Kap pula, beliau yakin akan dapat kerjasama ahli MCA untuk berkempen sekiranya dinamakan sebagai calon Gerakan untuk mempertahankan DUN Tanah Rata.

''Walaupun Tanah Rata secara tradisinya merupakan kerusi MCA, tetapi saya yakin ahli MCA akan memberi sokongan kepada BN walaupun calon yang diletakkan ialah wakil Gerakan.

''Yang penting, calon itu mesti memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang parti. Ia merupakan kaedah terbaik untuk meyakinkan semua ahli parti komponen,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Walaupun soal pengagihan kerusi sedikit sebanyak akan mempengaruhi persiapan MCA di peringkat setempat. Keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kesepakatan BN secara keseluruhannya.

Kesediaan MCA untuk meminjamkan kerusinya kepada parti seperjuangan merupakan isyarat penting bahawa parti kedua terbesar BN itu sedia berkorban untuk memenangkan BN pada PRU-13, pilihan raya yang dikenali sebagai ibu kepada segala pilihan raya.

Unsur sabotaj tidak dapat dielakkan 100 peratus terutamanya apabila ia melibatkan berjuta-juta ahli parti komponen BN. Namun sekurang-kurangnya hanya satu calon akan diletakkan untuk setiap kawasan DUN atau Parlimen.

Keadaan itu merupakan kelebihan BN berbanding pakatan pembangkang yang akan bertanding menggunakan logo-logo parti yang berbeza, malahan bertembung antara satu sama lain di kawasan yang sama.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved