Rabu, 17 April 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


LKIM perkenal tiga agenda perkasa sektor perikanan

Posted: 17 Apr 2013 03:02 AM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

KOTA BHARU 17 April - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memperkenalkan tiga agenda utama untuk memperkasakan sektor perikanan negara.

Pelaksanaan agenda itu penting untuk memberi galakan kepada mereka yang berada dalam industri perikanan mengembangkan lagi kegiatan mereka, seterusnya menjadikan sektor tersebut lebih berdaya maju pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, agenda pertama ialah, LKIM mahu meningkatkan pengeluaran ikan negara kerana keperluan rakyat semakin hari semakin bertambah.

"Kita perlu tambah bekalan ikan dalam negara kerana jika ikan tidak ditambah, harga akan naik kerana permintaan pasaran yang semakin meningkat.

"Selain itu, produktiviti kolam dan hasil daripada penternak juga perlu ditambah, daripada situ bekalan ikan akan meningkat. Kadar sara diri di negara kita mencapai 103 peratus dan ini bermakna pengeluaran ikan negara mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Input Perikanan di bawah program Touch Point Jabatan Perikanan negeri di sini hari ini.

Menurut Ahamad Sabki, kadar sara diri ikan yang mencukupi telah membolehkan negara mengeksport ikan ke luar negara iaitu Eropah dan Amerika Syarikat yang merupakan rakan dagangan utama. - UTUSAN ONLINE

19,575 kes bankrap didaftar pada 2012

Posted: 17 Apr 2013 02:05 AM PDT

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR 17 April - Sebanyak 19,575 kes bankrap didaftar Jabatan Insolvensi sepanjang tahun lalu iaitu, peningkatan sebanyak 408 kes berbanding tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sehingga Mac tahun ini pula, jabatan itu telah mendaftarkan sejumlah 4,925 kes kebankrapan.

"Kes-kes kebankrapan ini kita golongkan kepada beberapa kelompok usia iaitu antara 35 hingga 44 tahun, 45 hingga 54 tahun, 25 hingga 34 tahun, 55 tahun ke atas dan 25 tahun ke bawah.

"Bagi kelompok 25 tahun ke bawah, seramai 171 orang diisytihar bankrap pada 2011 tetapi menurun kepada 130 orang, tahun lalu manakala setakat Mac tahun ini, 54 orang dikenakan tindakan sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan 1Malaysia Fix Capital Xcess (1MFX) Program Res-Q : Peluang Kedua Untuk Atasi Bankrap di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

1MFX bertujuan untuk menyediakan rangkaian pengurusan kewangan secara profesional dan menguruskan isu kebankrapan dengan berorientasikan khidmat pelanggan sepenuhnya.

Misi 1MFX adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik bermula dari pelan penyelesaian yang lebih realistik, strategi pembayaran balik hutang sehingga ke platform pengurusan kes. - UTUSAN ONLINE

Penyebaran cetakan skrin

Posted: 17 Apr 2013 02:04 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 April - Akhbar dalam talian, Utusan Online memaklumkan berlaku penyebaran cetakan skrin palsu memaparkan muka depan laman webnya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hari ini.

Penyebaran cetakan skrin Utusan Online palsu itu memaparkan logo sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) pada siaran berita mengenai kejadian letupan tong gas di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Cetakan skrin palsu itu dikesan tersebar sejak pagi ini menerusi laman-laman sosial dan pelbagai aplikasi lain termasuk WhatsApp.

Pihak Utusan Online menafikan sekeras-kerasnya penerbitan berita sedemikian dan percaya ia didalangi pihak-pihak tertentu yang cuba menjatuhkan reputasi laman berita milik Utusan Melayu (M) Berhad menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved