Rabu, 17 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Keluarga Aminulrasyid saman Koperal Jenain

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

SHAH ALAM 17 April - Anggota polis, Koperal Jenain Subi yang dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, hari ini menghadapi tindakan saman ganti rugi sehingga RM50 juta daripada keluarga remaja berusia 15 tahun itu.

Tuntutan saman untuk menuntut ganti rugi itu dikemukakan atas alasan kecuaian oleh Jenain, 51, dan tiga yang lain.

Saman tersebut difailkan oleh kakak remaja itu, Nor Azura, 43, atas kapasiti sebagai pentadbir harta Aminulrasyid, bersama ibunya, Norsiah Mohamad, 64, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua.

Selain Jenain, pihak plaintif menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Timbalan Ketua Polis Negara), Ketua Polis Negara, dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak defendan.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Daim & Gamany pada pukul 11 pagi di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, defendan pertama gagal mematuhi prosedur yang betul dan sah untuk menghentikan kereta orang yang disyaki bagi membolehkan pemeriksaan dan tangkapan dilakukan.

Jenain juga menurut pihak plaintif, gagal mematuhi prosedur yang betul dan sah apabila gagal memberi sebarang amaran yang munasabah atau mengambil langkah munasabah lain sebelum melepaskan tembakan.

Pihak plaintif mendakwa, pihak defendan mengambil tindakan yang tidak berpatutan dan melampau terhadap mangsa sehingga melanggar tugas sebagai anggota polis mengikut Seksyen 3(3) dan 20 Akta Polis 1976.

Selanjutnya atau secara alternatif, pihak plaintif menyatakan, defendan pertama dan anggota polis lain secara salah dan dengan niat menembak Aminulrasyid sehingga mengakibatkan kematiannya pada 26 April 2010.

Kematian itu, menurut pihak plaintif telah mengakibatkan ibu dan keluarganya mengalami kehilangan serta kerugian.

Justeru, pihak plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi untuk manfaat harta mangsa, ganti rugi kecuaian dalam jawatan awam, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas sebanyak RM12,000.

Yang turut dituntut oleh pihak plaintif adalah perisytiharan bahawa pihak defendan telah dengan sengaja atau dengan niat jahat melanggar kebebasan asasi mangsa seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan batal saman peguam 8 Mei

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 April - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Mei ini keputusan permohonan Badan Peguam dan Majlis Peguam untuk membatalkan saman yang difailkan oleh seorang peguam berhubung mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan 11 Mei tahun lalu, berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan peguam Tommy Thomas bagi pihak Badan Peguam dan Majlis Peguam serta peguam Shaharuddin Ali dan Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz hari ini.

Mohd. Khairul Azam yang merupakan ahli Majlis Peguam dan Badan Peguam selaku plaintif dalam saman yang difailkan pada 16 Mei 2012 menamakan majlis dan badan tersebut sebagai pihak defendan.

Plaintif menuntut satu perisytiharan, notis panggilan EGM bertarikh 4 Mei tahun lalu dan usul mesyuarat tersebut sebagai tidak sah serta terbatal selain bertentangan dengan Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976.

Antara alasan yang diberikan oleh Mohd. Khairul bagi mendapatkan perintah perisytiharan EGM tersebut sebagai tidak sah adalah notis yang dikeluarkan kepada ahlinya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, Mohd. Khairul memohon pengisytiharan, EGM Badan Peguam dan usul yang diluluskan dalam mesyuarat bertarikh 11 Mei tahun lalu, tidak sah dan terbatal.

Dalam prosiding itu, Thomas memohon supaya saman yang difailkan oleh Mohd. Khairul dibatalkan kerana tiada kausa tindakan selain menyalahgunakan proses mahkamah.

Menurut beliau, notis yang dikeluarkan itu juga tidak langsung menyebabkan prejudis terhadap Mohd. Khairul.

Shaharuddin pula ketika membalas hujah mempersoalkan tindakan pihak defendan yang hanya memuat naik notis tersebut di dalam e-mel.

Menurut beliau, adakah pendekatan memuat naik notis panggilan EGM itu menerusi e-mel merupakan satu tindakan yang inovatif memandangkan tidak semua ahli mempunyai akses kepada e-mel tersebut.

Sehubungan itu, Shaharuddin memohon agar permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman tersebut ditolak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved