Rabu, 17 April 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Gadis lagak ngeri

Posted: 17 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar KOLEKSI PERIBADI ILIA dan IZHAM JAAFAR

Ilia Iryani Shuib menunjukkan kemahirannya melakukan pelbagai aksi lagak ngeri menggunakan motosikal dalam satu pertunjukkan baru-baru ini.

DIA suka berfesyen malah bersolek serba ringkas untuk menambahkan seri penampilan. Bergaya Muslimah mengikut trend terkini, dia memang calon yang sesuai untuk bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin.

Namun siapa sangka gadis bertudung litup dengan perwatakan lemah lembut serta tutur kata sopan, merupakan seorang gadis pelakon aksi lagak ngeri (stunt women).

Penampilan luaran memang tidak langsung mencerminkan pekerjaan yang sedang dilakukan Ilia Iryani Shuib, 26, gadis lagak ngeri yang memilih kerjaya menjangkau batas imaginasi kebanyakan gadis seusianya.

Minat Ilia kepada motor bermula ketika di universiti lagi. Ketika itu dia memiliki skuter untuk ke berulang-alik ke kuliah dan hobi sampingannya pula ialah make-up skuter tersebut menggunakan cat semburan.

Masa itu sekitar tahun 2008. Pada mulanya saya hanya mencari penaja untuk sebuah program sukan bermotosikal di USM (Universiti Sains Malaysia). Apabila syarikat RK-M sudi menaja program tersebut, salah seorang wakilnya mencadangkan pada saya untuk mencuba aksi lasak dengan motosikal.

Saya memang tidak mempunyai apa-apa asas untuk aksi lasak, namun dengan bantuan kakitangan syarikat tersebut saya berjaya mempelajari beberapa teknik.

Mereka nampak bakat dan terus menawarkan hasrat melatih saya menjadi profesional dan bermula dari situ saya menjalani latihan di kilang RK-M di Prai, Pulau Pinang seminggu sekali," katanya.

Ketika itu menurut Ilia, bidang berkenaan hanya sampingan dan kepuasan bagi dirinya sebagai seorang pelajar kerana mendapat duit poket sambil mengisi waktu lapang.

Lepas tamat belajar, saya mantapkan kemahiran sukan pemotoran bersama dua sahabat Udin dan Alip dari Ipoh. Salah satu pertunjukkan kami, mendapat tajaan Modenas.

Syarikat tersebut juga menaja filem Adnan Sempit 2 dan dari situlah saya mula mendapat tawaran untuk buat aksi lagak ngeri.

Saya nekad untuk cuba dan kemudiannya dapat pula tawaran bekerja dengan MIG sebagai artis dan juga pekerja.

Memang agak gementar ketika pertama kali beraksi di depan kamera.

Sebelum ini saya hanya melakukan aktiviti ini kerana minat, tetapi kini bertukar menjadi kerjaya pula.

Alhamdulillah, saya tidak ambil masa lama menjayakan babak aksi lasak ini. Jika adapun disebabkan terlajak melakukan aksi yang disuruh dan pengarah akan minta ulanginya," ujar Ilia.

Lebih menarik lagi, aksi lasak gadis kelahiran Selangor ini tidak banyak perlu diulang semula.

Ini kerana dia sudah biasa dengan aksi yang diminta lakukan.

Sepanjang hampir lima tahun melakukan aktiviti itu Ilia hanya sekali mengalami kecederaan serius iaitu koyak di lutut ketika melakukan aktiviti permotoran pada 2009.

Ketika itu lutut saya terkoyak serta badan saya banyak luka. Alhamdulillah, insiden itu tidak mematahkan semangat untuk meneruskan apa yang saya minati," jelas Ilia yang memegang ijazah dalam jurusan Akuatif Biologi dari USM.

Demi memantapkan lagi kemahirannya, Ilia kini berguru dengan Gig Saiful yang dianggap sifu di kalangan golongan lagak ngeri lebih-lebih lagi yang membabitkan pemotoran.

Dia mempunyai azam sendiri untuk mengembangkan bakat, menambah kebolehan, memperluaskan publisiti sukan pemotoran dalam kalangan wanita dan pada masa yang sama melakukan lebih banyak amal kebajikan melalui aktiviti pemotoran.

Ilia juga pernah mengikut beberapa pertunjukkan seperti di Terengganu Bike Week 2013 bersama UN Riders awal Mac lalu dan bakal ke Langkawi untuk Langkawi Bike Week 2013 Mei ini.

Saya sedar bidang ini memang berisiko tinggi. Saya juga sedar bahawa aspek keselamatan tidak boleh langsung dipandang ringan.

Apabila aspek keselamatan dititikberatkan, risiko kecederaan boleh dikurangkan," jelas Ilia.

Rahsia

Mengimbau detik awal pembabitan, Ilia hanya memberitahu keluarganya selepas enam bulan membabitkan diri dalam aktiviti lagak ngeri.

Saya terpaksa merahsiakan hal tersebut daripada keluarga kerana bimbang mereka tidak boleh menerima minat saya ini.

Bagaimanapun, keluarga mula mengetahui pembabitan saya dalam sukan permotoran ketika membuat pertunjukan di GP Motor Racing di Sepang pada 2008.

Pihak RK-M menemui keluarga dan menerangkan aktiviti saya," katanya yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik.

Ilia turut berjanji kepada ibu bapanya dan membuktikan bahawa dia boleh berjaya dalam bidang yang diceburi.

Bagi mengelak tercetus kebimbangan, apabila tercedera ketika beraksi dia hanya akan memaklumkan kepada keluarga selepas sembuh daripada kecederaan.

Bukan apa, saya tak mahu ibu ayah risau. Sukan pemotoran kerjaya saya sekarang dan saya memang perlu mengambil risiko tersebut," jelasnya.

Menjadi impian gadis ini untuk membuat persembahan motorcross di peringkat antarabangsa dan mahu memartabatkan sukan itu dalam kalangan wanita di negara ini.

Saya juga mahukan lebih ramai wanita menyertai sukan pemotoran sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya yang mengagumi aksi pelakon aksi lagak ngeri Schescomiles dan Sarah Levito.

Bagaimanapun Ilia menasihati wanita yang ingin mencuba bidang itu supaya mempunyai jiwa yang kental dan jangan takut untuk mencuba.

Sukan ini memang untuk merosakkan motor. Jadi wanita yang ingin mencubanya jangan takutkan itu.

Setakat ini saya amat bersyukur kerana ramai sahabat yang menyokong dan kalau ada pun yang mencemuh kerana mempersoalkan tentang Muslimah merempit.

Apa pun saya anggap itu semua cabaran yang tidak akan sesekali mematahkan minat dalam sukan ini," jelasnya.

Sesiapa yang ingin berkongsi pengalaman atau berkenalan lebih lanjut dengan Ilia boleh like page Facebook Ilia Iryani Shuib.

Dua shabat teroka minat sama

Posted: 17 Apr 2013 02:00 AM PDT

MEREKA berdua yang masih mengikuti Program Peningkatan Skil Industri (INSEP) bagi Teknologi Pembuatan Kasut, merupakan antara beberapa anak muda yang mempunyai minat dalam rekaan kasut dan diberi peluang mempamerkan kebolehan masing-masing pada Festival Kasut Antarabangsa Malaysia 2013 di Pusat Dagangah Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

INSEP merupakan program kolaborasi antara Persatuan Pengilang Kasut Malaysia (MFMA), SHRDC dan pakar-pakar antarabangsa untuk para graduan tempatan mendalami bidang teknologi pembuatan kasut.

Walaupun Aina Azrin dan Fareeza masing-masing berkelulusan peringkat ijazah muda, tidak menghalang mereka mencuba nasib dalam industri rekaan kasut sekali gus menimba pengalaman untuk bergelar pereka kasut terkenal suatu hari nanti.

Aina Azrin yang mengikuti program INSEP mengakui sebelum ini tidak tahu apa-apa tentang teknik dan pembuatan kasut.

Sebenarnya tidaklah terlalu sukar untuk mempelajari teknik dan selok belok menghasilkan kasut yang cantik dan menarik.

Sewaktu mula-mula mengenali dunia pembuatan kasut, saya tidak pernah mempunyai asas tentang jahitan, namun itu tidak menjadi penghalang untuk mempelajari teknik pembuatan kasut," kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Digital Media ini.

Menurut Aina Azrin, pada permulaan dia telah menghasilkan lima jenis rekaan kasut yang semuanya dipelajari hanya dalam masa empat bulan sahaja.

Baginya, untuk menghasilkan sepasang kasut, seorang pereka perlu mempunyai ilmu tentang fabrik dan bahan yang ingin digunakan.

Proses ini perlu bermula dari langkah pertama kasut dilukis dan direka atas kertas sehinggalah proses akhir kemasan dan siap untuk dipakai.

Untuk kelima-lima rekaan kasut, saya memilih yang bertumit tinggi dengan penggunaa warna biru firus sebagai warna utama.

Dari segi bentuk pula saya menghasilkan kasut daripada ilham kulit siput. Pemilihan warna biru iaitu warna alam sesuai untuk rekaan ini," katanya yang menggemari rekaan unik dan pelik.

Aina Azrin juga berharap suatu hari nanti akan menjadi seorang pereka kasut terkenal dan berjaya menghasilkan jenama sendiri.

Sementara itu, Fareeza yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Rekaan Dalaman, mengakui minatnya pada seni dan rekaan kasut mendorongnya mengikuti program tersebut.

Dari peringkat awal menyertai program ini, saya tiada masalah kerana mempunyai asas dalam bidang jahitan. Tambahan pula memang minat dengan pelbagai rekaan kasut yang kreatif di pasaran sekarang.

Walaupun program tersebut hanya mengambil masa kira-kira empat bulan, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sangat berguna kepada mereka yang mempunyai impian menjadi pereka kasut.

Teknik dan cara menghasilkan dari awal rekaan sehingga sepasang kasut dapat dihasilkan akan memberi kepuasan apabila siap untuk dipakai," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh pembelajaran empat bulan tersebut, dia telah menghasilkan lima pasang kasut dengan rekaan dan warna yang berbeza.

Untuk rekaan ini, saya memilih inspirasi kulit ular dalam rekaan kasut tumit leper dan berbaji (wedges).

Rekaan kasut tumit leper dan berbaji ini saya pilih kerana sendiri saya penggemar kasut yang boleh memberi keselesaan apabila disarungkan ke kaki.

Dari segi pemilihan warna pula, gabungan tiga warna seperti emas, hitam dan merah tua menjadi pilihan untuk rekaan ini selain penggunaan bahan yang sesuai dan menarik," kata Fareeza.

- Siti Aishah Yusoff

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved