Ahad, 7 April 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dunia futuristik Hideaki

Posted: 06 Apr 2013 12:18 PM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto JEFFRI IRAN
Solekan dan Dandanan oleh JEFFREY PEEK-A-BOO (03-77252912)

SEWAKTU pereka fesyen yang berasal dari Sungai Pelek, Sepang, Selangor memperkenalkan rekaan fesyen futuristiknya lebih 15 tahun lalu, ramai yang kagum dengan ideanya yang melangkaui waktu.

Namun, ramai juga yang memandang aneh rekaan siber Hideaki Lim dan tidak dapat menghadam ideanya yang lari daripada norma rekaan fesyen ketika itu.

Penggunaan warna-warna metalik dan material yang berkilat dengan potongan yang robotik dan futuristik dilihat hanya indah di pentas peragaan dan tidak mungkin boleh dipakai seharian kerana kelihatan seperti makhluk planet lain.

Ditambah pula dengan solekan serta dandanan rambut gaya futuristik yang dikenakan pada model-modelnya, ramai ketika itu terkejut dengan idea drastiknya.

Pereka fesyen futuristik ini terus tersenyum walau apa sekalipun komen orang di sekeliling kerana dia tahu satu hari nanti fesyen yang direkanya dapat diterima ramai sejajar dengan peredaran zaman.

15 tahun berlalu. Kini, fesyen yang direkanya sejak 2008 menyerupai pakaian yang diperagakan ramai artis antarabangsa seperti kumpulan-kumpulan K-Pop dan Lady Gaga.

Sewaktu ombak K-Pop melanda dunia, ramai kenalan yang menghubungi saya dan menyatakan rekaan seperti saya baru mula digayakan ramai walaupun saya sudah mula merekanya 15 tahun lalu.

Sekarang, kumpulan K-Pop yang kebanyakannya berpakaian futuristik semakin terkenal. Saya berharap orang ramai juga sudah mula terbuka untuk berpakaian sedemikian juga," ujarnya ceria ketika ditemui di kediamannya di Bukit Jalil yang turut dijadikan pejabat, baru-baru ini.

Idea Alien

Saya sebenarnya Alien," kata Hideaki sewaktu diajukan soalan dari mana dia mendapat ilham mereka fesyen siber.

Terangnya, idea rekaannya datang secara spontan dan sememangnya sudah sebati dengan jiwanya.

Dia menyedari minat terhadap rekaan fesyen siber timbul sejak kecil lagi. Sewaktu itu, pelbagai rancangan animasi dari Jepun seperti Ultraman ditayangkan di televisyen.

Bila dia mula menyertai sekolah fesyen, dia amat gemar mengilhamkan rekaan siber dan berasa bosan bila melakar rekaan yang biasa tetapi takut untuk meluahkannya kerana risau dikatakan gila.

Baginya, rekaan fesyen siber amat mencabar dan memberi kepuasan kepadanya sebagai seorang pereka fesyen.

Bila mereka fesyen siber, kita kena memikirkan material yang boleh digunakan dan bagaimana untuk menggunting dan menjahitnya memandangkan ia bukan rekaan pola biasa.

Di samping itu, kita perlu tahu bagaimana untuk memasarkan produk dalam masa yang sama mengekalkan identiti kita yang mungkin dianggap lebih oleh orang lain," ujarnya juga merupakan duta jenama dan ikon fesyen bagi pusat dandanan Peek-A-Boo.

Antara artis terkenal yang pernah memakai rekaannya ialah Maria Farida, Didie Alias, Jehan Miskin, Ezlynn dan Gary Yap.

Permulaan

Bercerita tentang sejarah penglibatannya dalam dunia rekaan fesyen, ujar Hideaki, ia tidak semudah yang disangka.

Ketika dia habis persekolahan, krisis ekonomi melanda negara. Hideaki melakukan dua kerja dalam satu masa bagi mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Hong Kong.

Di sana, dia didedahkan dengan idea-idea pereka fesyen yang lebih berani mencuba.

Setelah menamatkan pengajiannya di sana dan pulang ke Malaysia, dia tidak terus terjun dalam dunia fesyen sebaliknya melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjadi pemandu pelancong dan agen pelancongan bagi mengumpul wang.

Pengalaman dalam bidang pelancongan digunakan sebaik mungkin bagi membina rangkaian di samping modal untuk membuka butik.

Pada awal butiknya beroperasi, ia tidak berjalan dengan baik kerana persaingan yang kuat. Namun, Hideaki tetap cekal meneruskannya dan dalam masa yang sama turut melakukan kerja sampingan.

Hinggalah pada tahun 1998. Ketika itu, dia menyertai pertandingan mereka pakaian untuk satu pertandingan ratu cantik antarabangsa dan rekaan sibernya dinobatkan sebagai juara lalu membuka mata dunia.

Lebih membanggakan, kesemua sembilan juri yang mengadili rekaannya merupakan juri profesional dari luar negara.

Awal 1999, dia memenangi Anugerah Pereka Fesyen Antarabangsa untuk Fesyen Melangkaui 2000. Kemenangannya tepat pada masanya sewaktu dunia sedang melangkah hujung milenium.

Dia mula dikenali ramai dalam dan luar negara serta mula mendapat tempahan terutamanya sewaktu majlis-majlis perasmian barangan elektrik dari luar negara.

Dalam dunia fesyen, kita perlu bekerja keras, disiplin, kuat berazam dan sentiasa memotivasikan diri kerana ia tidaklah semudah yang dirasa.

Fesyen adalah ciptaan. Sebagai pereka fesyen, kita perlu pandai mencipta identiti sendiri yang dikenali ramai," ujarnya yang kini turut menjadi perunding majlis terutamanya pelancaran produk.

Jangan salahkan orang lain

Posted: 06 Apr 2013 12:18 PM PDT

Kita perlu mengelak daripada sering mencari kesalahan orang lain dan sekiranya situasi ini sering berlaku, masalah stres akan timbul. - Gambar hiasan

BARU-BARU ini saya menjalankan satu program motivasi untuk para pekerja. Kebanyakan yang datang ditanggung oleh majikan masing-masing kecuali beberapa orang sahaja yang hadir dengan perbelanjaan sendiri. Menariknya, ketika saya bertanya tentang masalah di tempat kerja mereka, pelbagai jawapan yang saya terima. Ada yang stres kerana dia merasakan bos menganaktirikan dia. Ada yang kata rakan sekerja kaki ponteng hingga mereka terpaksa lakukan lebih banyak kerja dan memikul tugas orang lain. Ada yang kata organisasi tempat mereka bekerja tidak menghargai pekerja dan pelbagai lagi luahan hati mereka.

Semua luahan itu mempunyai persamaan yang ketara iaitu menyalahkan orang lain dan tidak diri sendiri. Apabila kita mahukan sesuatu dan mengharapkan pihak lain yang berubah maka berkemungkinan perubahan itu tidak akan berlaku, atau kalau berlaku sekali pun, lambat. Hasilnya kita kecewa, tertekan dan hampa. Inilah situasi yang dapat dilihat setiap hari dan di mana-mana sahaja sama ada dalam pekerjaan, pelajaran, perniagaan, pengurusan, kepimpinan dan sebagainya. Kita lihat di luar diri dan tidak melihat ke dalam diri.

Dengan melihat masalah berada di luar diri, maka kita tidak mencari ruang untuk lakukan perubahan. Kita selesa dengan diri sendiri dan akhirnya tiada peningkatan atau kemajuan dalam hidup. Sebaliknya jika kita ambil tanggung jawab dan menyalahkan diri sendiri maka kita terbuka kepada perubahan.

Allah berfirman dalam al-Quran yang mafhumnya:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu."

(QS. As Syura, 42 : 30)

PerhubunganSikap suka salahkan orang lain ini berlarutan dalam semua aspek kehidupan termasuk perhubungan. Misalnya, kita salahkan jiran yang tidak faham kita. Sedangkan yang sebenarnya kita yang tidak terlebih dahulu memahami mereka. Kita tidak wujudkan hubungan yang akrab agar mereka ada rasa segan dan hormat pada kita. Kita salahkan anak sebab mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan, sedangkan mungkin kita yang kurang memberikan perhatian terhadap pelajaran dan persekolahannya selama ini.

Nampaknya, walau pun kita sudah mencapai pelbagai kemajuan dalam hidup, namun lagu Bangau Oh Bangau masih lagi menjadi budaya hidup yang berakar umbi dalam fikiran tanpa disedari. Dalam lagu ini, masing-masing menyalahkan orang lain atas masalah yang menimpanya.

Kini sudah tiba masanya untuk kita sedar bahawa dalam hidup ini orang lain tidak boleh menjadikan kita berjaya selagi kita tidak mempraktikkan apa yang disebut sebagai akauntabiliti iaitu bertanggung jawab atas apa yang berlaku serta menerima apa juga kesan darinya. Oleh itu, mulai hari ini apabila berlaku sahaja sesuatu perkara yang kita tidak suka, atau hajat tidak kesampaian, maka nilai dan cari kesalahan diri sendiri dan fikirkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki diri lalu bertindak dengan cara atau pendekatan yang berbeza. Barulah hasilnya juga nanti berbeza.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved