Khamis, 15 Disember 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Gedung sejarah pendidikan negara

Posted:

Gedung sejarah pendidikan negara

Gedung sejarah pendidikan negara

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


Pelbagai ilmu dan susur galur sejarah boleh diterokai apabila mengunjungi Muzium Pendidikan Nasional di UPSI, Tanjung Malim.


TANJUNG MALIM 14 Dis. – Sejarah penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula cukup lama, ibarat menapak warisan empat generasi yang melalui pelbagai peristiwa sehingga menjadi institusi begitu dihormati.

Walaupun boleh dianggap sebagai antara universiti termuda di negara ini apabila hanya beroperasi pada 1 Mei 1997, namun sejarah susur galur penubuhannya cukup lama dan unik iaitu bermula sejak 29 November 1922.

Daripada sebuah kolej yang hanya mempunyai 120 pelatih, era universiti itu bermula sebagai Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) (1922-1957), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) (1957-1987), Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) (1987-1997) dan UPSI (1997-sekarang).

Dibina atas tanah seluas 64 hektar di kaki Banjaran Titiwangsa, bangunan UPSI direka bentuk berdasarkan ala gothic iaitu unsur seni bina Belanda pada zaman pertengahan.

Penubuhan UPSI pada ketika itu dikenali sebagai SITC, diilhamkan oleh R. O. Winstedt yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu.

Dalam laporannya pada 1917, Winstedt mencadangkan agar sebuah maktab perguruan didirikan di Perak bagi memperluaskan sektor pendidikan khusus untuk orang Melayu di negara ini.

Sejajar dengan perkembangannya, UPSI telah melahirkan ramai tokoh termasuk Bapa Bahasa Melayu Moden, Zainal Abidin Ahmad atau Za'ba; bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan tokoh akademik, Tan Sri Awang Had Salleh.

Malah, UPSI juga pernah melahirkan ramai tokoh penyair, cerpenis dan novelis seperti A. Wahab Ali, Ali Majod, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad dan Suratman Markasan.

Selepas 89 tahun melalui pelbagai pengalaman dan pembangunan pendidikan, Bangunan Suluh Budiman yang dahulunya menempatkan pelatih pada era SITC kini menjadi antara ikon utama kepada UPSI dan dikekalkan sebagai bangunan warisan negara.

Berdasarkan perkembangan semasa, pihak pentadbiran UPSI mengemukakan cadangan bagi menubuhkan muzium pendidikan yang bermatlamat memulihara semua nilai warisan dan rangkuman sejarah dari dahulu hingga kini.

Penubuhan muzium tersebut yang dinamakan Muzium Pendidikan Nasional (MPN) merupakan usaha melestarikan khazanah warisan pendidikan demi memartabatkan ilmu serta budaya bangsa dan negara.

Dirasmikan pada 19 Julai 2011 oleh Raja Permaisuri Perak, Raja Permaisuri Bainun, institusi itu kini menjadi gedung rujukan terulung yang merakamkan kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran sepanjang tamadun pendidikan dan sejarah Malaysia.

Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Ishak Saat berkata, inisiatif penubuhan MPN bermula dengan jawatankuasa sementara pada 2005 di mana dekan-dekan dan kakitangan UPSI menjalankan kajian dan merantau ke muzium-muzium di seluruh negara bagi mengumpul maklumat yang diperlukan.

Sehubungan itu katanya, projek cadangan mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji serta mentauliahkan bangunan Suluh Budiman untuk dijadikan MPN di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI bermula pada 24 Ogos 2009.

Katanya, kerja-kerja membaik pulih bangunan tersebut perlu merujuk kepada prinsip pemuliharaan atau konservasi bangunan bersejarah seperti yang tertakluk dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan garis panduan Konservasi Jabatan Warisan Negara Malaysia.

"Bangunan Suluh Budiman merupakan sebuah bangunan bersejarah yang telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 12 November 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

"Bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang amat penting kepada pembangunan negara khususnya dalam bidang perguruan dan pendidikan," katanya.

Ishak memberitahu, muzium yang dibaik pulih dengan kos RM9.8 juta itu mempunyai 21 buah galeri pameran dengan setiap satunya mempunyai tema yang tersendiri.

"Sebelum ini, negara masih tidak mempunyai muzium yang menempatkan bahan pameran yang komprehensif berkenaan pendidikan. Jika ada pun hanya galeri mahupun muzium-muzium yang berdasarkan perkembangan pendidikan di sesebuah negeri.

"Oleh itu, UPSI mahu menjadikan MPN sebagai pusat setempat yang mengupas sejarah dan perkembangan pendidikan negara di setiap peringkat," katanya.

Menurutnya, MPN juga bukan hanya sekadar pameran tetapi turut terlibat dalam bidang penyelidikan, restorasi dan konservasi serta penerbitan.

"Artifak bagi pameran ini bukan hanya diperoleh daripada UPSI, malah pihak-pihak berkaitan di seluruh negara dan juga individu yang berminat serta pinjaman daripada beberapa pihak.

"Penubuhan muzium ini juga disifatkan sebagai pemangkin pelancongan pendidikan di Perak seterusnya di negara ini," katanya.

Bagi orang ramai yang mahu berkunjung ke muzium itu, ia dibuka pada hari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Full content generated by Get Full RSS.

Komited bantu rakyat

Posted:

Komited bantu rakyat

Komited bantu rakyat

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Dis. - Kerajaan Perak kini giat menyelesaikan masalah tanah membabitkan penternakan haram ikan hiasan di Kopisan, Gopeng selaras dengan usaha untuk membantu petani dan penternak di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi mencapai penyelesaian tersebut, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kini mengatur beberapa pertemuan dengan pengusaha haram tersebut bagi membolehkan mereka beroperasi mengikut undang-undang.

"Apabila saya menjadi Menteri Besar, masalah utama yang saya hadapi adalah untuk membenarkan petani dan penternak membangunkan tanah kerajaan ini yang telah mereka usahakan bertahun-tahun lamanya.

"Perkara ini tidak mudah kerana ia melibatkan ribuan ekar. Saya telah mengarahkan pejabat tanah untuk mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah tersebut.

"Namun, masih terdapat orang yang menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa. Sebagai contoh, masalah pemilikan tanah yang menghantui para petani limau bali di Ampang bertahun lamanya telah diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kurang setahun selepas kita mengambil alih pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi soal jawab bersama beberapa wakil media Cina berkenaan isu semasa di kediaman rasminya di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan Zambry berkata, langkah seterusnya yang diambil kerajaan adalah menyelesaikan masalah tanah melibatkan pekebun sayur-sayuran dan buah-buahan melibatkan kawasan seluas 2,200 hektar di Cold Stream New Village di Bidor.

Menurut beliau, langkah tersebut dilihat mencabar kerana terdapat beberapa pekebun yang mengusahakan tanah berkenaan sejak sekian lama sementara ada yang menjalankan aktiviti tersebut di kawasan yang dilabelkan untuk pembangunan.

"Ini merupakan cabaran terbesar bagi pihak kerajaan kerana ia melibatkan kawasan dari Lembah Kinta sehingga ke Batang Padang. Sektor pertanian ini besar dan saya menjangkakan prosesnya akan menjadi rumit," katanya.

Namun katanya, dalam membenarkan pekebun tersebut beroperasi secara 'halal', hanya mereka yang telah mengusahakan aktiviti berkenaan sejak bertahun lamanya akan diberi pertimbangan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan ke atas tanah kerajaan.

Full content generated by Get Full RSS.

MBAS sita enam premis

Posted:

MBAS sita enam premis

MBAS sita enam premis

ALOR SETAR 14 Dis. - Sebanyak lima premis perniagaan dan sebuah rumah kediaman disita oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini kerana gagal membayar cukai pintu yang tertunggak sehingga melebihi RM25,000.

Ketua Bahagian Hasil MBAS, Azalina Abd. Rahman berkata, operasi sita itu terpaksa dijalankan kerana pemilik premis perniagaan dan rumah tersebut masih enggan membayar cukai pintu walaupun notis E telah diserahkan kepada mereka.

"Kami telah menyerahkan notis E kepada pemilik premis dan rumah kediaman berkenaan, namun selepas 14 hari dari tarikh notis dihantar, masih tiada maklum balas daripada mereka.

"Tindakan sita ini terpaksa kami ambil kerana jumlah cukai yang tertunggak semakin tinggi dan ada antara pemilik premis yang tidak membayar cukai pintu sehingga mencapai RM7,000," katanya kepada pemberita di perkarangan pejabat MBAS di sini hari ini.

Menurutnya, MBAS akan terus menjalankan operasi sita kerana masih ramai pemilik premis perniagaan dan rumah kediaman yang tidak mahu menjelaskan cukai pintu mereka.

"Jumlah keseluruhan cukai pintu yang tertunggak di bandar raya ini adalah kira-kira RM19 juta dan kami sentiasa mengalu-alukan mereka yang ingin membayar cukai pintu tertunggak tersebut," ujar beliau.

Sementara itu, operasi menyita barang-barang di sebuah rumah kediaman oleh MBAS di Jalan Datuk Kumbar hari ini sedikit tegang kerana pemilik rumah enggan memberi kerjasama.

Pemilik rumah tersebut yang berada di dalam kereta miliknya enggan keluar dari kereta berkenaan sehingga memaksa pegawai penguat kuasa menunggu di luar pintu pagar rumahnya.

Selepas sejam menunggu, pegawai penguat kuasa MBAS terpaksa mengambil tindakan mengumpil kunci pintu pagar rumah tersebut untuk menyita barang-barang di rumah itu.

Antara barang-barang yang disita adalah televisyen, sofa, almari, kipas angin, meja, kerusi dan beberapa peralatan lain.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved