Khamis, 15 Disember 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Industri makanan makin maju

Posted:

Industri makanan makin maju

Industri makanan makin maju

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Para pelajar menunjukkan aneka kek dan hiasan pastri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bachok, baru-baru ini.


BACHOK 14 Dis. – Industri hospitaliti melibatkan sektor penyediaan makanan adalah bidang yang kian berkembang pesat di seluruh dunia.

Individu yang berkemahiran dalam bidang itu kini berpotensi mendapatkan pekerjaan berasaskan permintaan tenaga sumber manusia atau paling tidak mereka berupaya memulakan perniagaan sendiri.

Permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja itu terbukti apabila Wilayah Iskandar Malaysia dilaporkan memerlukan lebih 12,000 tenaga dalam bidang itu menjelang 2025 sejajar dengan perkembangan di koridor berkenaan.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) pula memerlukan lebih 25,000 tenaga tempatan di seluruh negara.

Malah, di Kelantan tenaga kerja itu diperlukan untuk memenuhi permintaan hotel-hotel dan restoran terkemuka tempatan.

Menyahut keperluan itu, Sekolah Teknologi Makanan adalah salah satu dari tiga jurusan utama di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok dengan menawarkan kursus kemahiran yang sangat popular di kalangan wanita dan turut disertai pelatih lelaki yang berminat mempelajari kemahiran berkaitan.

Pengarahnya, Engku Aziz Engku Mat berkata, latihan yang didedahkan di IKBN lebih menjurus kepada keupayaan pelatih menguasai kemahiran untuk ke gerbang kerjaya yang memang diperlukan di seluruh negara.

Selain Sekolah Teknologi Makanan katanya, IKBN Bachok turut menawarkan kursus automotif dan binaan awam yang turut menjadi perhatian sektor perindustrian dan perkilangan seluruh negara.

"Ini menepati Piagam Pelanggan IKBN iaitu memastikan semua bekas pelatihnya mendapat pekerjaan sesuai dengan bidang kursus dalam kadar segera selepas menamatkan pengajian dan tidak menganggur dalam tempoh yang lama," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Engku Aziz berkata, penganjuran Program Gerbang Pekerjaan yang dianjurkan oleh IKBN setiap tahun melibatkan sebilangan besar pengusaha restoran terkemuka, sektor perkilangan dan perindustrian adalah sebahagian usaha untuk menawarkan tenaga kerja kepada pihak terbabit.

Beliau berkata, antara jurusan paling diminati ialah kemahiran penyediaan makanan yang secara khusus melatih peserta secara teori dan amali mengenai kaedah memasak makanan Barat dan Timur.

"Kemahiran ini juga boleh dimanfaatkan oleh pelatih untuk tampil sebagai usahawan makanan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) selepas menamatkan kursus di IKBN sekiranya tidak berminat untuk bekerja di hotel atau di restoran," katanya,

Pelatih tahun akhir jurusan itu, Norsyamimi Hassan, 20, berkata, bidang yang paling menarik baginya ialah mempelajari kaedah mengukir buah-buahan yang mendapat permintaan untuk majlis kenduri perkahwinan atau jamuan makan di hotel lima bintang.

"Bayangkan betapa indahnya apabila buah tembikai, timun, betik dan lain-lain digubah menjadi sejambak bunga yang menarik. Ia menyerlahkan nilai seni yang tinggi. Kebanyakan pelatih tidak melepaskan peluang untuk mengusai kemahiran ini," katanya.

Selain itu katanya, seni menghias makanan, pengurusan dapur dan cara mengendali majlis-majlis tertentu adalah subjek yang perlu dipelajari bagi melengkapkan kemahiran yang diperlukan.

Katanya, pelatih akan dinilai berdasarkan keterampilan dari aspek pengetahuan, kemahiran, kelakuan, kebersihan, keselamatan dan kebolehan melaksanakan kerja amali untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Bagi Nur Amimi Abdul Kadir, 19, kursus disertainya banyak membantu meningkatkan kemahiran dalam bidang penyediaan makanan dan berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan sarjana bagi memenuhi cita-citanya menjadi seorang chef berjaya.

"Saya akan memanfaatkan SKM yang diperoleh nanti untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selepas tamat kursus yang diikuti selama setahun di IKBN," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Program jejak perpaduan di Jabi

Posted:

Program jejak perpaduan di Jabi

Program jejak perpaduan di Jabi

BESUT 14 Dis. - Jejak Perpaduan 1Malaysia peringkat negeri bermula di Kampung Jabi di sini semalam dengan upacara pelepasan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali.

Program yang diterajui Pertubuhan Penyokong Integrasi Perpaduan dan Prihatin Nasional (Pemimin) itu bertujuan melonjakkan kesedaran, penghayatan serta penyatuan perpaduan di kalangan masyarakat negara ini.

Lebih 80 remaja tempatan berbasikal fixie turut mengiringi ketibaan 15 peserta yang mengayuh basikal dari Tumpat sebagai mewakili Zon Timur.

Ramlan yang juga Timbalan Pengerusi Timbalan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri memuji usaha penganjur yang menarik penyertaan golongan muda dalam aktiviti sihat itu.

Katanya, usaha itu akan memberi banyak pendedahan kepada golongan muda tentang tanggungjawab dan peranan mereka yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa depan.

Peserta yang dilepaskan bersama pengiring berbasikal itu kemudian bertolak ke Kampung Kepala Gajah untuk mengagihkan risalah dan kalendar perpaduan kepada penduduk kampung.

Mereka kemudian berhenti rehat di Masjid Kampung Tok Dor untuk bersama penduduk menjalankan aktiviti amal sebelum meneruskan perjalanan ke daerah-daerah lain di negeri ini.

Full content generated by Get Full RSS.

KADA agih peruntukan RM1.5 juta

Posted:

KADA agih peruntukan RM1.5 juta

KADA agih peruntukan RM1.5 juta

Oleh TOREK SULONG
pengarang@utusan.com.my

BACHOK 14 Dis. - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengagihkan pelbagai peralatan pemerosesan makanan bernilai RM1.5 juta kepada 300 petani berdaya maju menerusi projek industri kecil dan sederhana (IKS) khusus untuk membangunkan ekonomi kumpulan sasar sepanjang tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datul Ilias Husain berkata, ia turut melibatkan tujuh usahawan di kawasan Bachok yang masing-masing menerima peralatan sama bernilai RM5,000 hingga RM7,000 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM50,000.

Beliau berkata, pihaknya memberi perhatian yang khusus untuk menjana pendapatan petani serta melahirkan lebih ramai usahawan menerusi bimbingan teknikal.

"Bahagian Industri Bukan Padi KADA yang bertanggungjawab memantau dan memastikan setiap petani menerima sumbangan kerajaan Persekutuan menghadiri pelbagai kursus yang berkaitan untuk mendapatkan kepakaran dalam sektor IKS.

"Bantuan yang disalurkan menerusi pelbagai agensi pertanian itu membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap golongan petani yang sentiasa mendapat pembelaan yang berterusan.

"Ini membuktikan kerajaan sudah menguruskan negara berkebajikan dan petani tidak seharusnya mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran baru oleh parti pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan peralatan IKS dan perniagaan kepada tujuh petani KADA kawasan Bachok di Dewan Terbuka Teratak Pulai di sini hari ini.

Ilias yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, di bawah program IKS 1Azam Tani, lebih RM1 juta telah dibelanjakan kepada 100 peserta di daerah ini dengan agihan peruntukan sebanyak RM10,000 termasuk bantuan untuk meningkatkan perniagaan kedai runcit dalam kalangan petani.

Katanya, ia tidak termasuk di bawah program Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri yang juga melibatkan 100 petani dengan nilai bantuan berjumlah RM1 juta yang turut diagihkan menerusi KADA.

"Dalam semua aspek, petani tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan termasuk dalam pengurusan tanaman padi hingga kepada insentif jualan hasil sejak sekian lama dinikmati manfaatnya oleh petani secara berterusan.

"Di Bachok, petani yang mengusahakan tanaman padi turut menerima peruntukan bantuan penanaman padi yang melibatkan agihan baja subsidi, racun, pembiayaan kos membajak dan banyak lagi dengan peruntukan melebihi RM14 juta bagi dua musim penanaman di sepanjang tahun ini," katanya.

Ilias berkata, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Gunung dengan 1,190 petani yang mengusahakan 3,280 hektar tanaman padi dan PPK Puteri Saadong di sini bersama 600 petani yang mengusahakan tanaman padi dengan keluasan 2,244 turut menikmati manfaat bantuan yang disediakan.

Tambahnya, ini tidak lagi dihitung dengan perbelanjaan kerajaan untuk menyediakan parit dan saliran kepada petani yang menelan perbelanjaan berbilion ringgit.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved