Khamis, 15 Disember 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Pemuda Pas sedia bersama Hasan

Posted:

Pemuda Pas sedia bersama Hasan

Pemuda Pas sedia bersama Hasan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


NASRUDIN HASAN


KUALA LUMPUR 14 Dis. – Dewan Pemuda Pas Pusat akan berada di belakang Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dalam usaha bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu memperjuangkan Islam demi kesatuan umat.

Sehubungan itu, Ketuanya, Nasrudin Hasan meminta Hasan meneruskan perjuangan itu tanpa meninggalkan jemaah dan pihak Pemuda sedia bersama-sama dengannya demi memartabatkan Islam.

Beliau berkata, sikap positif Hasan itu wajar disahut kerana jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu begitu komited dengan perjuangan Islam.

''Hasan telah menunjukkan sikap positifnya untuk memperjuangkan Islam dan kita akan bersama-sama dengannya untuk meneruskan perjuangan ini.

''Namun adalah amat diharapkan dalam beliau memperjuangkan Islam beliau tidak menghindarkan diri daripada Pas dengan bertindak keluar daripada jemaah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas agenda Hasan yang mahu berjuang memartabatkan Islam dalam satu sidang akhbar di kediamannya, kelmarin.

Ini merupakan reaksi pertama Dewan Pemuda Pas selepas tersiarnya berita pengguguran Hasan sebagai calon ekoran kenyataan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib yang dipaparkan dalam beberapa blog menyatakan kemungkinan besar ADUN Gombak Setia itu akan digugurkan sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13).

Nasrudin berkata, prinsip-prinsip keadilan juga jelas kelihatan pada agenda Hasan itu kerana selaku pemimpin peringkat negeri sudah tentu kepimpinannya bukan hanya setakat ahli Pas sahaja.

Malah katanya ia merangkumi setiap umat Islam di Selangor tanpa mengira ideologi politik.

''Bukan itu sahaja Datuk Dr. Hasan juga adalah pemimpin bagi setiap rakyat bukan Islam di negeri Selangor.'' katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, Dewan Pemuda meminta setiap perkara serta isu yang berkaitan dengan calon hendaklah diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata, setakat ini pucuk pimpinan parti belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai calon yang akan mewakili Pas pada PRU13.

''Oleh itu saya minta perkara mengenai calon ini diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Pas Pusat. Biar mereka yang menentukan dan mengumumkannya selepas semua senarai calon berkenaan dinilai oleh Majlis Syura Ulama.

''Majlis Syura Ulama yang akan menjadi badan terakhir dalam parti sebelum keputusan muktamad mengenai pemilihan calon dibuat,'' ujarnya.

Ditanya sama ada Saari wajar dikenakan tindakan disiplin, Nasrudin berkata, dalam kes tersebut Pemuda Pas berpendapat ia cukup dengan cara nasihat.

''Saya percaya pucuk pimpinan telah pun memberi nasihat sewajarnya kepada pihak berkenaan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang,'' katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bekas pelajar hilang selamat di Dublin

Posted:

Bekas pelajar hilang selamat di Dublin

Bekas pelajar hilang selamat di Dublin

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA dan WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD), Ariff Alfian Rosli, 28, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya kelmarin berada dalam keadaan selamat di Dublin, Ireland.

Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya maklum tentang kehadiran Ariff Alfian di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian di UCD lagi.

Bagaimanapun, katanya, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin.

''Kerana itu juga Ibu Pejabat Imigresen Republik Ireland tidak boleh memberi maklumat berkaitan Ariff Alfian kepada ibu bapanya, ini kerana kita terikat dengan akta tersebut dan bukan seperti yang dilaporkan oleh ibu bapanya semalam.

''Status Ariff Alfian di sini sah termasuk dari segi visa dan segala dokumennya juga sah. Semua sah, tiada kesalahan. Justeru, beliau dibenarkan untuk menetap di sini.

"Namun, kita sebagai pihak yang terdekat dengan Ariff Alfian akan berusaha mendapatkan beliau supaya menghubungi keluarganya di Malaysia,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan kehilangan Ariff Alfian yang dibuat oleh bapanya, Rosli Haron menerusi akhbar Utusan Malaysia kelmarin.

Sementara itu, Bahagian Konsular dan Bahagian Eropah Wisma Putra ketika dihubungi menjelaskan pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengesan pelajar terbabit selepas menerima laporan kehilangan pada 2009.

"Kami telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengesan pelajar tersebut dan telah dimaklumkan pelajar itu mempunyai rekod yang sah untuk memasuki Ireland.

"Namun, percubaan untuk menghubungi beliau gagal kerana dia tidak mahu berjumpa pihak kedutaan mahupun keluarganya," kata sumber tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa ketika dihubungi berkata, pihaknya dalam usaha mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekas pelajar UCD itu daripada pelbagai pihak termasuk Petronas.

''Pegawai kita juga sedang mendapatkan maklumat daripada masyarakat Malaysia di Dublin. Kes ini juga dalam pemerhatian Wisma Putra,'' katanya.

Utusan Malaysia juga difahamkan pelajar terbabit pernah pulang ke tanah air pada pertengahan 2009 untuk meneruskan pengajian di universiti tempatan.

Bagaimanapun, pada November tahun yang sama, dia kembali semula ke Ireland dan terus menetap di republik tersebut dengan rekod perjalanan yang sah.

Full content generated by Get Full RSS.

Ketua Cabang PKR keluar parti

Posted:

Ketua Cabang PKR keluar parti

Ketua Cabang PKR keluar parti

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 14 Dis. - Belum pun selesai isu perbalahan antara Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dengan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy, pakatan pembangkang yang memerintah negeri itu menerima satu lagi tamparan.

Kali ini ia melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apabila Ketua Cabang parti di Bukit Gelugor, Lim Boo Chang keluar daripada parti tersebut

Serentak dengan itu, Boo Chang yang menganggap dirinya telah terpedaya dengan slogan reformasi PKR sejak tiga tahun lalu akan kembali menyertai parti Gerakan.

Berikutan keputusan itu juga, beliau yang menjadi Ketua Biro Undang-Undang dan Perkhidmatan Kemasyarakatan PKR Negeri akan melepaskan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Pada sidang akhbar di sini hari ini, Boo Chang berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas hilang keyakinan terhadap PKR yang didakwa gagal menepati janji untuk mereformasikan rakyat selain pertelagahan sesama sendiri dalam kalangan ahli.

"Selepas tiga tahun menjadi ahli, saya rasa kecewa dan sedar laungan reformasi yang mereka canangkan hanya indah di bibir.

"Itulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk keluar parti dan kembali ke pangkuan Gerakan yang disertai selama 15 tahun sejak 1984 hingga 1999," katanya.

Beliau mendakwa, MPPP juga telah hilang kuasa autonomi berikutan terlalu banyak campur tangan dari pejabat Ketua Menteri serta sebilangan ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Boo Chang, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ahli MPPP kepada Yang Dipertuanya, Patahiyah Ismail.

Selain itu, katanya, beliau juga telah memaklumkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung keputusannya itu.

"Selama perkhidmatan saya sebagai ahli majlis dari tahun 1990 hingga 1995 ketika berada dalam Gerakan, MPPP tidak pernah mengalami campur tangan yang tidak munasabah.

"Saya terkilan kerana salah laku sebegini berlaku di bawah pentadbiran kerajaan yang kononnya mengamalkan pentadbiran melalui slogan Kompeten, Akauntabiliti serta Telus (CAT)," ujarnya.

Selain itu, salah satu faktor yang turut mendorong tindakannya adalah berkaitan perjanjian konsesi Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (sPice) yang dikatakan ada campur tangan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri dakwa beliau, mengarahkan MPPP menandatangani kontrak dengan pihak konsesi dengan tergesa-gesa dan penuh berahsia apabila terma-terma dan syarat-syarat tidak dimaklumkan kepada 23 ahli majlis, kecuali mereka yang menandatangani perjanjian itu sahaja.

Dakwanya, perjanjian itu juga mengecualikan keperluan kajian impak sosial dan penilaian trafik yang membawa kesan kepada kawasan di sekeliling projek.

"Sehingga hari ini, salinan kontrak projek berkenaan tidak diberikan kepada saya seperti yang dijanjikan Patahiyah, malah kerajaan negeri mengarahkan MPPP menampung kos tanpa kelulusan Mesyuarat Biasa Majlis.

"Jadi, demi menegakkan prinsip, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam PKR (berkuatkuasa) serta-merta," katanya.

Ditanya adakah beliau telah mengemukakan permohonan menyertai Gerakan, katanya, tiada permohonan rasmi dihantar, namun berharap beliau diterima semula.

"Ini keputusan peribadi dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana saya percaya Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada pada landasan betul menuju perkembangan ekonomi serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum di bawah Gagasan 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Ong Thean Lye berkata, parti itu masih belum menerima sebarang permohonan daripada Boo Chang.

Beliau berkata parti Gerakan adalah terbuka dan mengalu-alukan kemasukan setiap rakyat Malaysia yang menyetujui perjuangan dan ideologi parti itu sebagai anggotanya.

"Tetapi bagi kes Lim yang telah keluar daripada parti sebelum ini, kami akan mengadakan mesyuarat khas membincangkannya dan memberi laporan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk membuat keputusan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved