Sabtu, 19 November 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


MegaTraverse catat sejarah

Posted:

MegaTraverse catat sejarah

MegaTraverse catat sejarah

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah setiap pendaki Malaysia di puncak Gunung Apo yang merupakan gunung tertinggi di Filipina pada 25 Oktober 2011.


TIDAK pernah dalam sejarah pendakian saya sejak tahun 1996, saya terpaksa menempuh trek yang panjang dan terlalu curam seperti dalam ekspedisi Mindanao MegaTraverse Mt. Talomo & Mt. Apo 2011 di Filipina ini.

Tidak pernah juga saya terpaksa tidak mandi selama empat hari berturut-turut dalam satu ekspedisi yang ekstrem ini. Trek yang ditempuh memerlukan kudrat yang bukan kepalang untuk memastikan diri tiba di tapak perkhemahan. Cabaran menuruni lembah yang sangat dalam, meniti tebing rapuh di lereng sungai, perjalanan malam tanpa henti serta laluan batuan longgar yang panas, kesemuanya menjadi rencah pendakian yang tidak akan dilupakan ini.

Itulah yang kami seramai 19 pendaki Malaysia serta 11 pendaki Filipina termasuk jurupandu arah (guide) serta pengangkut barang (porter) lalui sepanjang meredah hutan Mindanao pada 22 hingga 25 Oktober lalu. Ketua jurupandu arah kami ialah Jun Sicao.

Bak kata Zainudin Lot (Deeno) yang mengendalikan ekspedisi ini: "Ini trip paling hardcore sepanjang saya mendaki di luar negara kerana trip enam hari dipendekkan empat hari."

"Apa pun kesusahan dan kesakitan itu bersifat sementara. Kejayaan melepasi Mindanao MegaTraverse kekal dalam ingatan dan menjadi sejarah pencapaian peribadi yang cemerlang buat setiap pendaki," ujarnya.

Menurutnya yang juga Penasihat Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL), beliau difahamkan oleh rakan pendaki dari Filipina, Dr. Gideon Lasco bahawa setakat ini hanya lima kumpulan kecil pendaki Filipina direkodkan pernah merentasi hutan dari Gunung Talomo ke Gunung Apo.

Ini bermakna, kami menjadi kumpulan pendaki dari luar Filipina pertama berjaya melakukannya.

Berikut catatan pendakian kami.

Hari Pertama: Dari Davao City, kami menaiki jip menuju ke Kampung Tamayong. Pendakian bermula sekitar pukul 11.30 pagi. Laluan tanah merah di celah-celah kebun pisang diredah hampir dua jam di bawah terik mentari. Setibanya kami di Kampung Sicao, kami berhenti solat dan makan tengah hari.

Mengikut jadual, kami perlu tiba di puncak Gunung Talomo ( 2,674 meter/8,770 kaki) dari paras laut (dpl) untuk bermalam. Namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

Ini kerana kami memulakan pendakian agak lewat dan malam pula menjelang sekitar pukul 5.30 petang. Trek yang curam dengan akar-akar pokok berselirat, serta lantai hutan yang semakin becak ditimpa hujan membuatkan kami berasa cukuplah setakat Kem Lumot (2,200 meter dpl). Apatah lagi seorang pendaki wanita terjatuh ketika kami berhenti rehat di kawasan jeram. Saya tiba di Kem Lumot pada pukul 9.25 malam.

Hari kedua: Dalam kedinginan, kami memulakan pendakian tepat pukul 7.27 pagi. Tiga jam mendaki barulah kami tiba di puncak Talomo. Cuaca cerah membolehkan kami melihat Teluk Davao dan Pulau Samal dari kejauhan.

Agak seronok mendaki kerana suhu yang dingin, selain panorama hutan lumut yang memukau. Terasa seolah-olah kami berada di suatu alam lain kerana kebanyakan pokok dibaluti lumut segar yang menghijau. Sekitar pukul 10.25 pagi, saya menjejakkan kaki di puncak Talomo. Udara dingin menyapa kami dan selepas bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Kem Basinan. Kami dimaklumkan oleh Gideon bahawa perjalanan memakan masa sekitar 10 hingga 12 jam lagi!.

Dari puncak Talomo, trek yang ditempuh menjunam turun dan ketika berada di permatang, kami dapat melihat puncak Gunung Apo di sebelah kanan. Kelihatan dekat sahaja, tetapi oleh kerana trek yang dilalui menempuh lurah dan lembah yang teramat dalam, selain topografi yang seakan-akan memusing lereng, maka perjalanan menjadi terlalu jauh.

Satu demi satu puncak dilepasi, antaranya dua puncak yang lebih tinggi daripada puncak Talomo iaitu puncak Lipopocan dan puncak Dalag.

Selepas menuruni lereng bukit yang tinggi, kami menghadap pula trek menjunam ke lembah sungai yang amat dalam. Apa yang boleh dikatakan tentang trek ini adalah 'sukar yang teramat sukar'. Malah ada peserta berkata kesukarannya tidak masuk akal kerana ada trek yang terlalu curam, selain trek yang terputus dan terpaksa dilepasi dengan pelbagai gaya dan cara. Betapa gentarnya hati kami dan menggigil kedua-dua lutut tatkala kami terpaksa memijak dengan hujung kaki tebing curam yang rapuh di tepi sebatang sungai. Apatah lagi suasana ketika itu sudah gelap gelita. Hanya cahaya lampu suluh memandu kami ke arah yang betul. Jika tersilap langkah, pasti kami terhumban ke gaung.

Kami difahamkan terdapat sebatang balak yang panjang perlu diseberangi. Selepas balak itu, kononnya di situlah Kem Basinan. Mendengar itu, kami kembali segar untuk meneruskan perjalanan. Namun balak yang disebut tadi tidak kunjung tiba sehinggakan ada di kalangan kami berkata, "Mana balak ni...tak ada pun...ishhhh... kena tipu lagi,".

Kami berasa tertipu kerana Gideon asyik memberitahu jarak perjalanan hanya kira-kira tiga jam lagi, sedangkan ketika itu kami telah berjalan melebihi 10 jam, namun masih belum tiba.

Akhirnya, balak yang disebut itu ditemui tetapi kami tidak dibenarkan melaluinya kerana sebahagiannya sudah runtuh akibat reput. Balak itu sempat digunakan oleh kumpulan pendaki hadapan bagi menyeberangi lembah sungai yang dalam.

Sebagai laluan alternatif, kami menuruni lembah dan mendaki semula tebing sungai menuju ke seberang. Berjalan di hadapan saya adalah Abu Bakar Mohamad (pak cik Burn), 55 tahun. Tiba-tiba kami terdengar jeritan pak cik Burn. Rupa-rupanya, trek yang dipijaknya runtuh. Nasib baik pak cik Burn sempat menyambar dahan dan akar pokok di tebing sungai. Jika tidak, tentu jarak jatuh lebih jauh ke dalam jurang. Kesan runtuhan itu menyebabkan laluan ke 'tapak perkhemahan palsu' terputus. Kami terperangkap di situ. Bantuan diterima apabila rakan-rakan Filipina menebang pokok bagi membuat titi kayu untuk kami lalui. Alhamdulillah, kesemua pendaki selamat melepasi kawasan berbahaya itu. Di tapak perkhemahan palsu itu, sekali lagi kami dimaklumkan jarak perjalanan ke Kem Basinan adalah sekitar tiga jam lagi!

Kami meneruskan pendakian dalam perasaan yang pelbagai. Masing-masing melayan diri, namun kumpulan saya agak meriah dengan pelbagai cerita yang disampaikan oleh Murdafi Ithnin, Norsafrina Shamsir Md. Nasir dan Ayieen Carlos Ismail. 'Radio bergerak' yang dimainkan oleh mereka cukup menghiburkan. Namun, saya sudah sampai ke tahap tidak mampu untuk berkata-kata kerana terlalu letih melayan perjalanan yang seperti tiada penghujungnya ini.

Saya juga mula berhalusinasi apabila ternampak cahaya dari khemah, sedangkan ia adalah cahaya lampu suluh pendaki di hadapan! Keadaan trek yang terlalu curam dengan halangan balak tumbang benar-benar membuatkan kami terseksa. Selepas berhempas pulas meredah malam, kami tiba di Kem Basinan pada pukul 11.55 malam. Ini bermakna saya telah berjalan dari Kem Lumot ke Kem Basinan selama 16 jam 28 minit!

Hari Ketiga: Gideon memberi taklimat ringkas. Katanya, perjalanan hari ini lebih mudah dan hanya dua hari sahaja yang sukar. Malah Jun Sicao berkata : "the worst is over". Selepas sarapan, kami berjalan menuju ke Tasik Venado. Benar sebagaimana yang dikata. Trek bahagia dan kami seronok menyakat Mohd Shobri Ahmad yang berjalan perlahan kerana kakinya melecet. Gurau senda melegakan sedikit perasaan yang tertekan akibat 'didera' sepanjang dua hari lalu. Di tasik itu, kami dapat melihat gahnya Gunung Apo (2,954 meter/9,692 kaki dpl) yang merupakan puncak tertinggi di negara Filipina. Selepas makan tengah hari, kami meneruskan pendakian ke Summit Campsite (Kem Puncak) sekitar pukul 4.00 petang.

Kami berjalan mengelilingi tasik menuju ke trek bukit lalang. Sebelum senja menutup tirai, kami sempat menikmati keindahan Tasik Venado dari atas bukit, selain Gunung Talomo yang disimbahi cahaya oren senja.

Di sinilah, Kamariah Ismail, 49, (Kak Kay) mengadu tidak sihat. Saya bertanyakan Kak Kay, boleh berjalan atau tidak. Beliau menjawab, "Boleh...tapi perlahan,". Bagi saya, asalkan boleh berjalan, itu sudah okey. Soal cepat atau lewat tiba di tapak khemah, itu soal kedua kerana yang penting adalah keselamatan dan kemampuan diri.

Kami tiba di Kem Puncak tepat pukul 7.30 malam. Ingatkan bermalam di Kem Puncak yang rata membuatkan kami selesa, rupa-rupanya suhu sejuk melampau sehingga 2 darjah celsius mengganggu lena kami. Walaupun menyarung pakaian tebal dan beg tidur yang sesuai, namun suhu sejuk tetap menyelinap masuk ke dalam pakaian!

Hari Keempat: Inilah hari yang dinanti. Segala kepayahan dan kesakitan yang ditanggung tiga hari lalu hilang seperti ditiup angin lalu. Kami 'berlenggang kangkung' ke puncak Gunung Apo dengan hanya membawa kamera. Macam-macam stail bergambar dirakamkan sebelum kami berpatah balik ke tapak khemah.

Perjalanan turun membawa kami melewati kawasan Boulders, Kem Godi-Godi, Kem Baroring dan Kampung Paradise. Boulders adalah kawasan kontang yang dipenuhi batuan gunung berapi pelbagai saiz. Terdapat lohong yang menyemburkan gas panas dan sulfur di pertengahan kawasan ini. Menapak di kawasan ini turut menguji ketahanan diri. Terik mentari membakar kulit kami selama dua jam. Saya berjalan keseorangan sehinggalah bertembung dengan Jurimah Mohd. Ariffin, Haziana Mohamad dan Kak Kay. Kami tiba di Kem Baroring pada pukul 2.20 petang. Kumpulan terakhir tiba dua jam kemudian. Perjalanan ke kampung dikatakan memakan masa sekitar empat hingga lima jam lagi. "Wah...lama lagi nak berjalan ni," hati saya berkata. Pelbagai trek ditempuh, antaranya trek kerbau dan kebun sayur. Untuk melepaskan lelah, kami berhenti rehat di satu kawasan lapang. Tiba-tiba Gideon bersuara. Beliau menyuruh kami menutup lampu suluh. Rupa-rupanya sekumpulan kelip-kelip berterbangan menyinari kami. Cantiknya tak terkata.

Saya tiba di kampung pada pukul 7.25 malam. Kemudian kami berjalan sekitar satu jam lagi untuk menaiki pikap yang membawa kami ke Kapatagan. Dari situ, kami menaiki lori sayur menuju ke Davao City yang memakan masa tiga jam perjalanan.

Ada juga kejutan pada malam terakhir ini. Ketika pak cik Burn berdiri kerana lenguh, terdengar suara Jhoc Nalda menjerit, 'sit down...sit down...kidnap for ransom.' Rupa-rupanya kawasan yang dilalui kerap berlaku kes culik untuk mendapatkan pampasan. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang buruk berlaku.

Kami tiba di Davao City pada pukul 1.15 pagi. Lega rasanya mengenangkan segala kepayahan berlalu pergi.

Hakikatnya, tahap kesukaran yang dilalui adalah berbeza bagi setiap individu. Namun bagi saya, pendakian ini memang sukar tetapi berbaloi dengan pengalaman yang diraih.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved