Sabtu, 8 Oktober 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk mahu jambatan dibaiki

Posted:

Penduduk mahu jambatan dibaiki

Penduduk mahu jambatan dibaiki

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my


ABDUL Halim Non (kiri) bersama rakannya menunjukkan hakisan tanah yang menyebabkan jambatan hampir roboh di Kampung Tualang, Pulai, Baling, baru-baru ini.


BALING 7 Okt. - Keselamatan lebih 50 penduduk Kampung Tualang, Pulai di sini terancam apabila sebuah jambatan yang digunakan mereka untuk berulang-alik setiap hari didapati dalam keadaan uzur dan berisiko untuk runtuh pada bila-bila masa.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati jambatan yang merupakan satu-satunya jalan menghubungkan kampung itu dengan jalan besar, strukturnya sudah kian usang manakala tanahnya mengalami hakisan.

Lebih menakutkan sebahagian tanah di tepi jambatan itu mula menunjukkan tanda-tanda runtuh selepas hujan lebat petang kelmarin.

Penduduk, Azmi Ahmad berkata, selepas tanda-tanda itu timbul, penduduk tidak berani menaiki kenderaan melalui jambatan itu kerana bimbang ia tidak dapat menampung berat kenderaan tersebut.

"Masalah hakisan tanah ini telah lama berlaku dan telah pun dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Namun sehingga sekarang tiada hasil positif malahan semakin lama, hakisan ini semakin teruk. Sehinggalah petang kelmarin, tanah yang menyokong titi ini terhakis sebanyak 0.5 meter," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, hakisan itu mengakibatkan tanah yang menyokong jambatan tersebut semakin menipis dan amat bahaya untuk dilalui oleh kenderaan.

Sehubungan itu, penduduk terpaksa meletakkan penghalang untuk mengelakkan kenderaan keluar masuk menggunakan titi berkenaan yang turut menjadi nadi laluan penduduk termasuk mengeluarkan hasil pertanian.

"Penduduk tiada pilihan, kerana titi ini merupakan jalan utama untuk keluar ke jalan besar. Kami tidak mahu keadaan bertambah buruk berlaku sekiranya kenderaan berat menggunakan titi ini," katanya.

Katanya, penduduk di sini juga terpaksa meletakkan barangan terbuang sebagai benteng untuk mengelakkan hakisan ini dari terus berlaku.

"Namun, aliran air kelmarin terlalu kuat sehingga menyebabkan benteng turut dihanyutkan air. Hakisan tanah menjadi semakin buruk sehingga memberi kesan kepada struktur titi ini," katanya.

Sementara itu, Biro Bencana Alam UMNO Bahagian Baling, Ishat Mat berkata, pihaknya sememangnya prihatin terhadap masalah itu dan akan terus membawa masalah itu kepada pihak berkenaan bagi membolehkan ia segera diperbaiki bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Tuntutan palsu: Kontraktor, juruteknik JKR dipenjara

Posted:

Tuntutan palsu: Kontraktor, juruteknik JKR dipenjara

Tuntutan palsu: Kontraktor, juruteknik JKR dipenjara

BUTTERWORTH 7 Okt. - Seorang kontraktor dan juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) masing-masing dihukum penjara empat tahun dan denda RM144,709.65 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu enam tahun lalu.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin turut memerintahkan Ramli Bakar, 52, dan Ab. Rashid Abdullah @ Abu (gambar), 57, dipenjara empat bulan lagi sekiranya gagal membayar denda masing-masing.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa memberikan satu dokumen mengandungi butiran palsu kepada Pembantu Tadbir Kewangan JKR Seberang Perai Utara (SPU), Mazlina Pahazir bagi menuntut bayaran pembinaan pagar sepanjang 405 meter (m) bernilai RM11,323.80 sedangkan ukuran sebenarnya adalah 162.2 m.

Dia juga dituduh menuntut bayaran untuk tiang pagar bernilai RM28,979.26 sedangkan nilai sebenarnya adalah RM6,826.02 sahaja.

Ab. Rashid pula dituduh bersubahat dengan Ramli untuk mengemukakan kedua-dua tuntutan tersebut yang dibuat pada Julai 2005 di Pejabat JKR SPU.

Ramli didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala Ab. Rashid didakwa mengikut Seksyen 11(a) yang dibaca bersama Seksyen 20(1) akta yang sama.

Kedua-dua seksyen tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Janariah Abdul Mutalib manakala Ramli diwakili peguam, Abdul Samad Khalid manakala RSN Rayer mewakili Ab. Rashid.

Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 2009, sebanyak 12 saksi termasuk Ketua Jurutera JKR SPU telah dipanggil memberi keterangan.

Minta alih pondok pengawal ganggu pemandu

Posted:

Minta alih pondok pengawal ganggu pemandu

Minta alih pondok pengawal ganggu pemandu


Pondok pengawal yang didakwa penduduk menghalang pandangan pengguna jalan raya di Taman Gunung Bayu, Alor Setar.


ALOR SETAR 7 Okt. - Kira-kira 200 penduduk Taman Gunung Bayu, Lencong Barat di sini meminta pihak berkuasa untuk mengalihkan sebuah pondok pengawal di kawasan berkenaan kerana ia mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di kawasan taman itu.

Seorang penduduk di taman itu, Abu Bakar Khamis, 57, berkata, pondok pengawal itu diletakkan di simpang tiga dan telah berlaku beberapa kemalangan kerana ia menghalang pandangan pengguna jalan raya.

"Sudah tiga bulan pondok pengawal ini berada di bahagian kanan simpang tiga ini kerana ia diminta oleh penduduk di kawasan ini yang bimbang berlaku kecurian pada waktu malam.

"Mereka kutip wang sendiri untuk bayar gaji pengawal keselamatan namun yang menjadi masalah sekarang pondok pengawal ini diletakkan di kawasan yang tidak sesuai," katanya ketika ditemui di Taman Gunung Bayu di sini hari ini.

Menurutnya, pondok pengawal itu sepatutnya diletakkan di bahagian kiri simpang tiga itu, namun saranannya tidak diendahkan.

"Saya juga hampir terlibat dalam satu kemalangan kerana saya tidak nampak motosikal yang datang dari arah kanan simpang ini.

"Tambahan pula pada waktu malam kawasan ini gelap dan pengawal keselamatan meletakkan kon di tengah jalan sehingga ramai penunggang motosikal terlanggar kon," ujarnya.

Tambahnya, dia juga telah menghantar surat kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tinggal di kawasan berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah itu namun tiada jawapan daripada ADUN itu.

"Rumah dia hanya beberapa meter dari pos pengawal ini dan dia tahu masalah yang berlaku di kawasan ini.

"Malangnya sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas yang diterima daripada ADUN ini dan kami amat berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved