Sabtu, 8 Oktober 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kedai makan diserbu

Posted:

Kedai makan diserbu

Kedai makan diserbu

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my


KAKITANGAN Sains memotong saluran paip haram sebuah kedai menjual nasi ayam dalam operasi Sains di Ampangan Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 7 Okt. – Seorang peniaga nasi ayam terkedu apabila premisnya di Ampangan, dekat sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri air dalam operasi pagi semalam.

Serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu dianggotai sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Penguatkuasaan Sains dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Operasi yang diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid berkata, bekalan air yang diperoleh melalui penyambungan tidak sah itu dipercayai digunakan untuk operasi harian premis perniagaan tersebut.

''Hasil pemeriksaan, pemilik premis didapati telah melakukan kesalahan menjalankan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 12 milimeter (mm) terhadap paip utama milik Sains.

''Kita telah mengeluarkan satu notis makluman kesalahan kepada pemilik premis dan turut menyita paip tersebut untuk dijadikan sebagai bahan bukti," katanya di sini, hari ini.

Jelas Mohadir, ujian klorin yang dijalankan di premis berkenaan turut mendapati air yang digunakan itu merupakan air terawat milik Sains.

''Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (AIPA 2006).

''Jika disabit kesalahan, pesalah terbabit boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," tegasnya.

Pikul tanggungjawab tingkatkan bahasa Melayu

Posted:

Pikul tanggungjawab tingkatkan bahasa Melayu

Pikul tanggungjawab tingkatkan bahasa Melayu

MELAKA 7 Okt. - Setiap masyarakat di negeri ini perlu memikul tanggungjawab untuk mempertingkatkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan pada masa kini dan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, masyarakat perlu sedar bahawa bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan akan hilang kepentingannya jika semua pihak mengabaikannya.

"Tidak perlulah kita terus bernostalgia dengan kegemilangan masa lampau bahasa kita, sedangkan kita sendiri tidak melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pra Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2011 oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Program Kempen Senyum dan Budi Bahasa di Melaka Mall di sini semalam.

Md. Yunos berkata, usaha- usaha yang lebih agresif dan tersusun perlu dilakukan untuk meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan.

"Ini termasuklah dengan menghasilkan lebih banyak karya- karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

"Agensi-agensi pelaksana dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara serta para ilmuan perlu mewujudkan sinergi bagi menghasilkan karya-karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan," katanya.

Di samping itu, tambah beliau, usaha sama strategik dengan masyarakat penutur bahasa Melayu di Indonesia, Brunei dan Singapura boleh diwujudkan untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sains sedia pasang meter persendirian

Posted:

Sains sedia pasang meter persendirian

Sains sedia pasang meter persendirian

SEREMBAN 7 Okt. - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersedia membantu pemilik serta penghuni flat Taman D'Pinggiran Kota, Lukut, Port Dickson, dekat sini yang berhadapan dengan tindakan pemotongan bekalan air ekoran kegagalan pihak pemaju melangsaikan tunggakan bil hampir 10 bulan.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, untuk tujuan itu, pihaknya telah mencadangkan kepada penduduk kawasan terbabit untuk memasang meter persendirian bagi membolehkan pengguna membayar bil mereka terus kepada pihak Sains tanpa melalui pihak pemaju.

''Sebelum ini, pihak Sains telah bertindak memotong bekalan air penduduk tersebut kerana pihak pengurusan flat berkenaan gagal melangsaikan bil sejak awal tahun ini yang dicaj melalui penggunaan meter pukal.

''Kita telah mengadakan sesi dialog dengan penduduk flat berkenaan hari ini bagi membincangkan resolusi terhadap masalah yang dihadapi mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Azlan, pihaknya akan menjalankan pemasangan meter persendirian sekiranya penduduk bersetuju dengan syarat dan terma yang ditetapkan.

''Antara syaratnya termasuk penduduk akan dikehendaki membayar sebanyak RM135 iaitu meliputi kos deposit RM75 dan RM60 bagi kos penyambungan baru.

''Kita akan mempercepatkan proses penyambungan bekalan sebaik mereka melengkapkan borang permohonan termasuk pembayaran kos tersebut," katanya.

Mengulas berhubung tunggakan bil tersebut, Azlan memberitahu, pihaknya akan memastikan pihak pemaju membayar semula segala tunggakan bil yang gagal dilangsaikan sejak Januari itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved