Khamis, 6 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Terserah kepada kerajaan Pusat

Posted:

Terserah kepada kerajaan Pusat

Terserah kepada kerajaan Pusat

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 5 Okt. - Kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Pusat dan pihak-pihak yang terlibat termasuk T-Best sama ada akan meneruskan kontrak penganjuran kejohanan kapal layar, Piala Monsun yang sepatutnya berakhir pada 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Malah jelasnya, Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

"Kita serah kepada pihak-pihak berkenaan terutama penganjur kejohanan Piala Monsun iaitu T-Best sama ada meneruskan Piala Monsun pada masa akan datang atau sebaliknya.

"Kita harap begitulah (Piala Monsun diteruskan) sebab kita ada kemudahan dan kita tak mahu pembaziran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Ahmad berkata, semua pihak perlu akur dengan rasional penganjuran kejohanan tersebut kerana ia mampu memberi pulangan pelaburan dan pengiklanan untuk jangka panjang.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala usaha untuk menarik kunjungan pelancong," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 54 atlet Terengganu akan mewakili negara bagi kejohanan Sukan Sea di Jakarta, Indonesia dari 11 hingga 22 November ini.

Menurutnya, penyertaan mereka pada kejohanan itu akan turut disertai seramai tujuh orang pegawai dan jurulatih.

Beliau memberitahu, kesemua atlet berkenaan akan menyertai acara seperti lumba basikal, kanu, softball, olahraga, silat, judo, sepak takraw, angkat berat, lawan pedang dan perahu layar.

"Kita serah kepada kontinjen negara untuk menentukan sasaran emas oleh atlet-atlet kita pada Sukan Sea nanti," tambahnya.

Peruntukan RM51.7j bina 3 sekolah di Kelantan

Posted:

Peruntukan RM51.7j bina 3 sekolah di Kelantan

Peruntukan RM51.7j bina 3 sekolah di Kelantan


Sabri Said (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Hussian Awang pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Negeri Kelantan di SMK Padang Enggang, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 5 Okt. - Pembinaan tiga sekolah baharu berharga RM51.7 juta membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan rakyat Kelantan daripada mendapat pendidikan terbaik.

Tiga sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jias di Pasir Mas yang mempunyai 26 bilik darjah, SMK Padang Enggang (24 bilik darjah) dan SMK Badang di sini (30 buah bilik darjah).

Tujuh buah sekolah lagi dijangka siap menjelang November ini ialah SMK Kubang Kerian 3, SMK Long Gafar 2, SMK Sungai Petai, SMK Panchor Perdana dan SMK Jeli 2.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran, Sabri Said mengingatkan perunding dan kontraktor agar menyiapkan projek tersebut mengikut jadual dan menepati spesifikasi ditetapkan dalam kontrak.

Katanya, pematuhan kepada spesifikasi penting dalam memastikan sekolah terlibat dapat digunakan oleh para pelajar serta guru dengan selamat dan kondusif.

"Secara tidak langsung ia juga dapat mengelakkan daripada sebarang kejadian buruk sekiranya perkara itu tidak dititikberatkan," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Negeri Kelantan di SMK Padang Enggang di sini hari ini.

Beliau yang menerima replika kunci daripada tiga kontraktor kemudian menyerahkannya kepada Pengarah Pelajaran negeri, Hussian Awang.

Sabri memberitahu, tanggungjawab perunding dan kontraktor adalah memastikan jika terdapat kecacatan pada bangunan seperti bumbung bocor, tandas rosak, sistem perparitan dan kumbahan tidak berfungsi dengan baik, maka kerja-kerja pembaikan perlu dibuat dalam tempoh setahun.

Jika mereka gagal katanya, kementerian akan melantik pihak ketiga untuk membetulkan kecacatan itu dan kos ditanggung oleh kontraktor seperti tercatat dalam perjanjian.

"Kebiasaan yang berlaku ialah apabila projek sekolah diserahkan, keadaan padang sekolah kurang memuaskan dan tidak menepati mutu serta keselamatan untuk digunakan," ujarnya.

Majlis Penerangan Perdana di Teman, Sabtu ini

Posted:

Majlis Penerangan Perdana di Teman, Sabtu ini

Majlis Penerangan Perdana di Teman, Sabtu ini

KOTA BHARU 5 Okt. - Kira-kira 10,000 orang dijangka menghadiri Majlis Penerangan Perdana Negeri Kelantan di Terminal Agribisnes Negara (Teman) di Tunjong pada Sabtu ini bermula pukul 8 pagi.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin memberitahu, pada majlis itu satu sesi taklimat akan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang akan menyentuh pelbagai isu.

Beliau berkata, orang ramai juga berpeluang mendengar taklimat mengenai aspek keselamatan yang akan disampaikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penerangan tentang sistem biometrik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Satu forum isu semasa mengenai masa depan rakyat Kelantan juga akan diadakan dengan menampilkan ahli panel iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad bertindak sebagai moderator," katanya di sini hari ini.

Dali berkata, sepanjang program itu orang ramai juga berpeluang menyaksikan tayangan video mengenai kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Katanya, majlis penutup program akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambahnya, orang ramai dijemput hadir ke majlis tersebut bagi mengetahui pelbagai isu semasa yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved