Khamis, 6 Oktober 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tidak seorang pun dibuang

Posted:

Tidak seorang pun dibuang

Tidak seorang pun dibuang


MOHD. Zain Hassan (dua dari kiri) memberi penjelasan kepada pegawai kanan Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan mengenai nasib pekerja Alam Flora ekoran penamatan perkhidmatan di Selangor di ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Alam Flora Sdn. Bhd. memberi jaminan bahawa tidak seorang pun daripada 756 pekerjanya di Selangor akan diberhentikan berikutan penamatan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah di negeri itu berkuat kuasa 16 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, pekerja terbabit akan ditempatkan semula di kawasan konsesi Alam Flora yang lain iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

"Langkah tersebut adalah bagi memastikan kebajikan pekerja terbabit tidak diabaikan sejajarnya dengan amalan polisi syarikat iaitu mendahulukan kebajikan pekerjanya.

"Beberapa sesi dialog telah diadakan bagi membincangkan isu berkaitan penempatan baru itu dan maklum balas daripada kesatuan pekerja turut diambil kira bagi memastikan mereka memahami objektif dan inisiatif yang dibuat oleh Alam Flora," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi ibu pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penamatan kontrak Alam Flora di Selangor dibuat setelah kerajaan negeri itu enggan tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang berkuat kuasa pada 1 September lalu.

Akta itu mensyaratkan semua urusan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diswastakan sepenuhnya dan dalam konteks Selangor kepada Alam Flora.

Mohd. Zain berkata, banyak kemudahan akan disediakan kepada pekerja terbabit seperti pengangkutan, elaun kenderaan ataupun tempat tinggal, selain terus menikmati kemudahan sedia ada termasuk perubatan tanpa had.

Beliau berkata, pekerja terbabit juga berpeluang mengembangkan kerjaya mereka kerana akta yang baru itu memerlukan lebih ramai tenaga kerja untuk memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSPPA).

"Sebagai contoh, di ibu negara, kita akan menambah jumlah lori dari 66 buah pada masa ini kepada 140 buah dan ini memerlukan pemandu. Ini bermakna mereka yang sebelum ini memungut sampah ada peluang menjadi pemandu lori pula," katanya.

Katanya, Alam Flora menjangkakan kira-kira 2,000 pekerja diperlukan untuk memenuhi tuntutan KPI itu dan seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada menggunakan pekerja asing.

Sementara itu, Mohd. Zain berkata, jumlah aduan yang diterima oleh pihaknya meningkat sejak Ogos lalu akibat orang ramai tidak mengetahui syarikat itu tidak lagi bertanggungjawab dalam urusan pembersihan awam dan kutipan sampah di Selangor.

Nasib peniaga kecil perlu dibela

Posted:

Nasib peniaga kecil perlu dibela

Nasib peniaga kecil perlu dibela

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Belanjawan 2012 yang dibentangkan pada Jumaat ini diharap menjadi penggerak bagi menjayakan program membantu usahawan kecil di bawah Skim Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik).

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Bahrim Abdul Razak berkata, skim tersebut perlu berjalan seperti dirancang bagi membela nasib usahawan kecil.

"Bantuan kepada para peniaga dan penjaja kecil sebanyak RM50 juta diharap dapat ditambah kepada RM500 juta kerana ia tidak mampu membantu lebih 500,000 peniaga dan penjaja kecil Melayu yang berdaftar di seluruh Malaysia.

"Pinjaman kewangan tanpa faedah kepada peniaga dan penjaja ini perlu dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 dan RM10,000 kepada RM30,000," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas harapan peniaga dan penjaja kecil sempena pembentangan Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat esok.

Bahrim berkata, setakat ini hanya Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberikan pinjaman tanpa faedah kepada golongan peniaga dan penjaja kecil.

"Saya juga berharap agar nasib peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara akan terbela," katanya.

Beliau menambah, Tabung Pemulihan Usahawan Kecil Dinamik (TPUKD) sebanyak RM100 juta perlu diwujudkan sebagai tabung pemulihan bagi peniaga dan penjaja yang tidak mampu menyelesaikan hutang dengan segera.

Isu tauliah: Hasan Ali mahu menghadap Sultan

Posted:

Isu tauliah: Hasan Ali mahu menghadap Sultan

Isu tauliah: Hasan Ali mahu menghadap Sultan

SHAH ALAM 6 Okt. - Exco Hal Ehwal Islam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali berhasrat menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan larangan ahli-ahli politik diberi tauliah mengajar di masjid dan surau di negeri ini.

Menurut beliau, perkara itu telah menimbulkan sedikit keraguan dan kecelaruan serta rasa tidak puas hati kalangan pengamal dakwah yang kebetulan ialah ahli politik.

"Kami akur dengan perintah istana agar ahli politik yang tauliah mengajar sudah tamat tidak lagi diperbaharui manakala mereka yang masih mempunyainya dibenarkan mengajar sehingga tamat tempoh sah.

"Apa pun sebagai Exco agama, saya harap kalau ada ruang saya rundingkan dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membolehkan saya menghadap Tuanku untuk berbincang lanjut perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Implimentasi Dasar dan Strategi (Peranan Media Dalam Mendepani Ancaman Akidah) di sini hari ini.

Menurut Hasan, secara kebetulan ahli politik sama ada yang masih aktif atau tidak merupakan 'orang agama' yang selama ini menyampaikan pengajaran Islam dengan membaca kitab atau talaqqi di masjid-masjid dan surau di negeri ini.

"Rakyat sendiri minta golongan tersebut diberi kesempatan (terus mengajar), mereka sudah berbelas tahun ada kelas talaqqi, takkan kita nak potong orang ini, apa akan jadi kepada masyarakat kerana mereka itu sumber ilmu kepada rakyat untuk mengetahui hal agama," katanya.

Beliau yakin Sultan Selangor akan bersikap terbuka dengan cadangan yang bakal dikemukakannya mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu Hasan berkata, pihaknya tidak menganggap media membuat laporan yang salah berhubung pemeriksaan JAIS ke atas sebuah premis yang didakwa sebagai Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada awal Ogos lalu sehingga mencetuskan kontroversi.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang menjadi penyebab pemeriksaan itu menjadi kontroversi dengan salah satunya adalah ada pihak yang cuba mengeksploitasi situasi berkenaan memandangkan ia melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Beliau melihat arahan 'tutup mulut' yang dikeluarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada semua Exco membabitkan isu tersebut ada kebaikannya walaupun pihaknya mempunyai banyak maklumat yang boleh didedahkan.

Beliau berharap semua pihak terutama media bersimpati dengan JAIS iaitu dalam konteks berita-berita yang disiarkan seharusnya menepati kehendak agensi itu.

"Saya tidak minta supaya sokong JAIS kerana ia bukan pertubuhan politik. JAIS bukan seperti agensi pembangunan lain yang boleh ditohmah kalau mempunyai kesilapan teknikal. Ia membawa perkara akidah, syariat dan akhlak, jadi setiap pembentangan (laporan) anda itu mesti bersifat cermat dan bijaksana serta adil," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hasan menegur laporan media mengenai istilah 'serbu' yang digunakan dalam pemeriksaan ke atas gereja berkenaan hingga menyebabkan JAIS dilihat kasar dalam membuat tindakan berkenaan sedangkan perkataan lebih sesuai adalah siasat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved