Khamis, 6 Oktober 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


‘Semangat Bangsa’ jadi tarikan

Posted:

'Semangat Bangsa' jadi tarikan

'Semangat Bangsa' jadi tarikan


Mohd. Noor Abdul Rahman bersama sebahagian lukisannya yang dipamerkan sempena 1MCAT 2011 di Danga City


JOHOR BAHRU 5 Okt. – Lirik lagu Bangsa Johor yang diukir menggunakan seni khat kufi adalah antara hasil karya yang menarik perhatian pengunjung pada Pameran Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) 2011 di Danga City Mall di sini.

Lagu yang diukir pada permukaan kayu cengal berusia lebih 250 tahun itu merupakan seni arca bertajuk Semangat Bangsa yang dihasilkan oleh pengarca terkenal, Abdul Majid Yahya, 63.

Menurut Abdul Majid, arca bernilai RM32,000 yang dihasilkannya pada awal Ogos lalu itu mengetengahkan ciri-ciri negeri Johor.

"Selain lagu Bangsa Johor yang diukir menggunakan seni khat kufi, arca ini juga menerapkan elemen lain, termasuk diperbuat dari kayu cengal yang banyak terdapat di Johor.

"Bukan itu sahaja, arca ini turut diselitkan dengan 'permata' kerana nama Johor diambil dari perkataan 'Jauhar' yang bermaksud permata dalam bahasa Arab," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Abdul Majid berkata, untuk menghasilkan karya tersebut, beliau terpaksa menyimpan kayu cengal yang diperoleh dari Hutan Lipur Panti, Kota Tinggi itu selama dua tahun.

Beliau yang mewarisi bakat mengukir kayu daripada datuknya, Allahyarham Ali Wongso itu, turut bercadang menghasilkan lebih banyak arca mengandungi lagu-lagu kebesaran dari negeri lain pada masa akan datang.

"Saya menganggap pameran seumpama ini sangat bermakna kepada semua pengkarya kerana dapat mempamerkan bakat kami kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, pameran kali ini turut memberi kesempatan kepada pelukis, Mohd. Noor Abdul Rahman, 71, untuk mempamerkan hasil lukisannya yang bertemakan perkampungan, flora dan fauna.

Beliau yang mula aktif melukis sejak 1960-an itu bukan sahaja telah menghasilkan beratus-ratus lukisan malah turut mengikuti banyak pameran seni di seluruh negeri.

"Antara lukisan saya termasuklah pemandangan rumah Melayu di kampung, sawah padi, ternakan dan dasar lautan. Biasanya lukisan yang saya hasilkan turut dibeli oleh pengunjung termasuk oleh pelancong luar," katanya.

Jelas Mohd. Noor lagi, hasil lukisan terbaru beliau yang bertemakan burung walet turut dipamerkan sempena 1MCAT kali ini dan akan dijual pada harga RM10,000.

1MCAT 2011 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia Johor mempamerkan 100 hasil karya seni visual kontemporari yang terdiri daripada pelbagai media, gaya dan mesej.

Hamim taja Utusan Malaysia untuk 10 sekolah

Posted:

Hamim taja Utusan Malaysia untuk 10 sekolah

Hamim taja Utusan Malaysia untuk 10 sekolah


HAMIM Samuri (tengah) bersama wakil daripada sekolah-sekolah pada Majlis Penyerahan Tajaan Akhbar Utusan Malaysia dan Sisipan ADaP bagi kawasan Parlimen Ledang di SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, Ledang, baru-baru ini.


LEDANG 5 Okt. - Sepuluh buah sekolah menengah dalam Parlimen Ledang menerima tajaan 6,000 naskhah Utusan Malaysia beserta sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) sumbangan wakil rakyatnya, Hamim Samuri bagi membantu persediaan pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Tajaan bernilai RM7,200 itu disampaikan Hamim kepada Penolong Pengurus Pemasaran Zon Selatan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Tengku Izaham Tengku Adnan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati di sini, baru-baru ini.

Tajaan akhbar bagi tempoh sebulan itu bukan sahaja dapat menjadi bahan bacaan umum kepada pelajar, malah mereka dapat memanfaatkan Siri Soalan Percubaan Peperiksaan SPM 2011 yang turut disiarkan dalam sisipan ADaP.

Hamim menasihati para pelajar tingkatan lima untuk meningkatkan usaha bagi menghadapi SPM dengan memperbanyakkan ulang kaji.

"Dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi, saya harap pelajar menggunakan Siri Soalan Percubaan SPM dalam sisipan ADaP sebagai alat bantu untuk mengulang kaji pelajaran semoga lulus dengan cemerlang," katanya.

Beliau mahu melihat lebih ramai pelajar cemerlang dilahirkan di kawasan Parlimen Ledang dan seterusnya menjadi modal insan berkualiti untuk memajukan lagi daerah dan negara ini.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya juga telah menyediakan wang sagu hati untuk dihadiahkan kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sapian Ismail serta wakil Pegawai Pelajaran Daerah Muar/Ledang, Basiron Kudari.

Selain SMK Tengku Mahmud Iskandar, sekolah yang turut mendapat tajaan itu adalah SMK Persisiran Perdana, SMK Parit Bunga, SMK Pei Hwa, SMK Bukit Gambir, SMK Sagil, SMK Tun Mamat, SMK Ledang, SMK Seri Tangkak dan SMA Loghatul Quran Kesang Tasek.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved