Khamis, 20 Oktober 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Himpun diteruskan tanpa Pas

Posted:

Himpun diteruskan tanpa Pas

Himpun diteruskan tanpa Pas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan meneruskan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam di Shah Alam, Sabtu ini walaupun Pas membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut.

Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, pihak sekretariat akan mengumpulkan seberapa ramai masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang atas semangat persaudaraan demi mempertahankan akidah yang satu.

Sesungguhnya beliau berkata, dorongan perhimpunan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan terhadap amanah dan tanggungjawab kepada Allah atas kepentingan akidah tauhid yang satu dan bukan menyentuh untuk kepentingan mana-mana parti politik.

''Namun begitu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan. Oleh itu, kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik supaya turut serta dalam perhimpunan ini.

''Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh Himpun ini berkaitan dengan persoalan mempertahankan akidah umat Islam daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini bagi mengulas keputusan Pas untuk tidak terlibat di dalam program Himpun Sabtu ini.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya telah dimaklumkan bahawa program itu tidak melibatkan parti-parti politik dan oleh itu, Pas mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

Mengulas lanjut Azmi berkata, di dalam perhimpunan itu pihaknya mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Satu lagi mesej jelas beliau, ialah mengenai penegasan berhubung larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabar.

''Melalui perhimpunan ini kita juga mahu menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan,,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, keengganan Pas menyertai perhimpunan itu membuktikan parti tersebut berkiblatkan kuasa semata-mata.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai talam dua muka, beliau turut mendesak Pas supaya membuat pertimbangan untuk kembali ke pangkal jalan semula dengan menyertai perhimpunan ini.

"Tindakan Pas seolah-olah menolak realiti wujudnya cabaran keruntuhan akidah umat Islam yang berleluasa di negara ini.

"Kenapa Pas menggadai prinsip asas agama ini? Adakah mereka (Pas) melihat kuasa politik itu lebih besar daripada perjuangan mendaulatkan agama? Adakah menjaga hati rakan-rakan pembangkangnya lagi penting?'' soalnya.

Tambah Ahmad Zaki, sepatutnya Pas dengan imej Islamnya berada di barisan paling hadapan bagi menangkis gejala murtad dan bukannya bertindak mengecewakan masyarakat Islam kerana enggan terlibat.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yakin perhimpunan itu akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam.

''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,'' katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Enam IPTS ditarik balik kelulusan

Posted:

Enam IPTS ditarik balik kelulusan

Enam IPTS ditarik balik kelulusan

KUALA LUMPUR 19 Okt . - Sebanyak enam buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) telah ditarik balik kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas pelbagai kesalahan.

Menurut kenyataan yang dikeluar oleh Kementerian Pengajian Tinggi, penarikan itu dibuat berdasarkan kegagalan IPTS terbabit menguruskan pelajar antarabangsanya dengan berkesan.

"Selain itu, kementerian juga telah mengenakan syarat tambahan bagi pengambilan pelajar antarabangsa dari negara Sub Sahara dan menguatkuasakan pemakaian No Objection Certificate (NOC) kepada semua pelajar yang menggunakannya sebagai kelayakan kemasukan ke IPTS di negara ini.

"Perakuan ini diberikan melalui permohonan dalam sistem e-Student yang ditadbir urus oleh Jabatan Imigresen. Kelulusan pas pelajar dan tapisan keselamatan juga di bawah bidang kuasa imigresen berdasarkan perakuan kementerian," tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu , bagi tindakan penguatkuasaan pula, pihaknya telah membuat pemantauan ke atas pelajar antarabangsa dengan mewajibkan IPTS mengemukakan laporan berkala setiap suku tahun mengenai status pelajar dan peratus rekod kehadiran mereka ke kelas.

"Operasi bersama Jabatan Imigresen ke atas IPTS dan pelajar antarabangsa sering dilakukan dari semasa ke semasa dan sekiranya ada institusi yang melakukan kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil.

"Sehingga bulan ini, terdapat 189 IPTS berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan mempunyai kelulusan KDN dalam pengambilan pelajar.

"Bagi mengekang persepsi kurang sihat terhadap pelajar antarabangsa, usaha secara lebih bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelajaran akan diadakan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, kementerian juga dalam usaha meminda akta dan peraturan berkaitan IPTS (Akta 555) serta mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan tegas serta denda lebih tinggi terhadap IPTS yang disabitkan kesalahan.

Full content generated by Get Full RSS.

Pelengkap transformasi negara

Posted:

Pelengkap transformasi negara

Pelengkap transformasi negara

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak pada sesi bergambar bersama beberapa anggota Kabinet sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia Ke-23 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin (enam, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali (lima, kanan). – BERNAMA


PUTRAJAYA 19 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi digital yang dikenali sebagai Digital Malaysia akan menjadi pelengkap kepada dasar transformasi negara.

Menurut Perdana Menteri, ia sejajar dengan hasrat membawa Malaysia ke arah negara berpengetahuan dan berpendapatan tinggi memandangkan ia komponen utama ke arah pencapaian negara maju menjelang 2020.

''Digital Malaysia akan memberi penekanan kepada dua tonggak iaitu kreatif dan inovatif serta produktiviti, MDeC akan meneraju usaha untuk mencapai perkara ini.

''Salah satu inspirasi kita ialah meningkatkan sumbangan ICT kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) daripada 9.8 peratus kepada 17 peratus menjelang 2020," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) ke-14, di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Dasar transformasi negara bermula dengan Dasar Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik, Program Transformasi Luar Bandar, Inisiatif Reformasi Strategik dan terbaru Digital Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, dari segi kedudukan digital ekonomi, Malaysia berada pada tangga ke-36 daripada 70 buah negara dan menyasarkan kedudukan 20 teratas menjelang 2020.

Dari segi IMD World Competetive Scoreboard pula, kata Najib, Malaysia berada pada tangga ke-16 daripada 59 buah negara dan menyasarkan kedudukan 10 teratas menjelang 2020.

''Dari segi GNI, Digital Malaysia menyasarkan RM75 bilion menjelang 2020, diikuti RM93 bilion daripada inisiatif ICT sedia ada dan RM126 bilion yang dijangka dalam ETP dan GTP yang akan membawa sumbangan GNI daripada Digital Malaysia kepada RM294 bilion menjelang 2020," katanya.

Beliau turut menyifatkan mesyuarat IAP hari ini amat berhasil kerana dapat berbincang mengenai keperluan mengembangkan potensi keusahawanan setiap individu selain membolehkan kerajaan menyediakan budaya dan ekosistem potensi sebenar usahawan,

Najib optimis untuk Malaysia mencapai sasaran yang menjurus ke arah keperluan menukar syarikat ke dalam perniagaan e-perdagangan dan perniagaan dalam talian pada sesi perbincangan bersama pakar-pakar dalam bidang digital.

''Kita berbincang tentang keperluan untuk memastikan inovasi dan cara pemikiran kreatif yang bermula dari bangku sekolah kerana kita pada masa ini sedang menilai semula sistem pendidikan untuk membolehkan ia menyuntik pemikiran kreatif dalam sistem pendidikan negara.

''Kita juga berbincang tentang keperluan untuk menggalakkan mereka yang gagal supaya tidak putus asa tetapi kegagalan itu sebagai permulaan kepada kejayaan," katanya.

Bagi golongan muda pula, Perdana Menteri menambah, mereka akan digalakkan memiliki semangat keusahawanan, berfikir dan bertindak secara inovatif dan kreatif untuk menjadikan mereka lebih efektif serta terbuka kepada masyarakat global.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji untuk mengkomersialkan 300 hak harta intelek yang dibangunkan oleh universiti supaya ia boleh dipasarkan secara berperingkat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved