Sabtu, 24 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Judi haram: 4 PBT pantau rapi

Posted:

Judi haram: 4 PBT pantau rapi

Judi haram: 4 PBT pantau rapi

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 23 Sept. - Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memberi jaminan melakukan pemantauan rapi setiap hari di 266 kafe siber berlesen di kawasan tadbiran masing-masing bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kegiatan perjudian haram.

Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dua minggu lalu memutuskan untuk tidak mengeluarkan lagi lesen kafe siber dalam usaha memantau 32 premis sedia ada bagi mengekang penyalahgunaan lesen itu.

Dua lagi PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) juga bertindak demikian apabila kali terakhir meluluskan permohonan lesen kafe siber pada tahun lalu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, setakat ini hanya 161 lesen kafe siber diluluskan PBT itu di bawah Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred MBMB 2010 dan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001.

"Kali terakhir MBMB mengeluarkan lesen tersebut ialah pada tahun lalu dan selepas itu kita memang tidak pernah memproses apa-apa permohonan lesen berkaitan kafe siber.

"Usaha kini lebih tertumpu ke arah memantau kegiatan kafe siber sedia ada selain membuat serbuan ke atas kafe siber yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai keresahan sebahagian penduduk di negeri ini yang bimbang dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram di kafe-kafe siber di seluruh negeri ini tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengkaji dengan teliti permohonan untuk membuka kafe siber dan seumpamanya bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kegiatan perjudian haram.

Khalid yang menyifatkan penyelewengan lesen kafe siber itu sudah lama berlaku berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh PBT kerana pengeluaran lesen bukan di bawah bidang kuasa polis.

Mengulas lanjut Zainal berkata, sejak awal bulan lalu sehingga semalam, lebih 20 serbuan telah dibuat dan tindakan diambil terhadap 28 premis kafe siber dengan merampas 90 buah komputer dan 88 unit pemproses pusat (CPU) dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian haram.

Yang Dipertua (YDP) MPAG, Kamaruddin Md. Shah pula ketika dihubungi memberitahu, pengeluaran lesen kafe siber dihentikan sejak dua minggu lalu dan ketika ini hanya 32 kafe siber berlesen beroperasi di daerah Alor Gajah.

"Dalam usaha memerangi habis-habisan kegiatan perjudian berkomputer secara haram ini, kami melakukan pemantauan dan serbuan hampir setiap hari.

"Kami juga mengenal pasti lima premis judi haram berkomputer dan dua daripadanya yang beroperasi di Taman Sri Naning, Simpang Ampat dan Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru telah diserbu dan sejumlah 37 set komputer beserta CPU dirampas," katanya.

Dalam pada itu YDP MPJ, Murad Husin berkata, pihaknya kini giat melakukan pemantauan terhadap 68 premis kafe siber berlesen di daerah itu selain masih memproses dua permohonan lesen kafe siber.

"Pemantauan yang dijalankan mendapati semua 68 premis ini tidak terlibat dalam perjudian haram kecuali lima premis tidak berlesen yang menjalankan kegiatan judi berkomputer.

"Kompaun kerana tiada lesen telah dikenakan selain turut merampas 19 unit komputer. MPJ dengan kerjasama polis akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

YDP MPHTJ, Sapiah Haron pula berkata, pihaknya turut memperhebatkan operasi pemantauan dan serbuan di lima kafe siber berlesen di kawasan itu.

"Bagaimanapun, kita turut mengenal pasti sembilan kegiatan judi haram yang beroperasi tanpa lesen di premis-premis kosong di lima kawasan iaitu Bukit Beruang, Ayer Keroh, Batu Berendam, Taman Merdeka dan Gangsa.

"Tindakan telah diambil malam tadi dan dengan kerjasama pihak polis kita telah merampas 178 buah komputer dan 86 unit CPU," katanya.

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan

Posted:

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan


Zainal Abidin Ahmad beramah mesra bersama anak-anak peneroka selepas menghadiri jamuan hari raya di Balai Raya Felda Lui Timur, semalam.


JEMPOL 23 Sept. - Peneroka di daerah ini dinasihatkan supaya tidak terlalu tamak dengan bertindak memajak atau menjual tanah kepada orang tengah yang menjanjikan tawaran lumayan kerana dibimbangi mereka akan menjadi mangsa penipuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, tanah tersebut merupakan harta berharga yang boleh menjadi sumber pendapatan mereka hingga ke anak cucu.

"Baru-baru ini ada orang luar yang datang ke Felda Pasoh Dua dan memperkenalkan diri sebagai orang tengah kepada seorang jutawan di Sabah.

"Dia menawarkan RM30 juta jika peneroka bersedia memajak tanah mereka seluas empat hektar," katanya pada majlis Jamuan Aidilfitri di Balai Raya Felda Lui Timur, dekat sini baru-baru ini.

Jelasnya, peneroka perlu berwaspada kerana tawaran tersebut terlalu tinggi dan berisiko kerana ia melebihi harga pasaran.

"Harga bagi keluasan itu dianggarkan RM250,000 sahaja. Kita tidak mahu ada peneroka yang tertipu gara-gara mahu memperolehi wang dengan cepat dan mudah," tegasnya.

Mengulas lanjut perkembangan tersebut, Zainal Abidin bimbang apabila hampir 10 daripada 380 peneroka di kawasan tersebut sudah mula bersetuju untuk memajakkan tanah mereka.

"Dimaklumkan mereka sudah memberi salinan kad pengenalan dan salinan geran tanah kepada pihak tersebut. Kini peneroka tersebut sedang menunggu untuk dibawa ke Sabah bagi mendengar taklimat dalam masa terdekat ini," katanya.

Jelas beliau, dua tahun lalu senario yang sama berlaku di Felda Pasoh Empat apabila mereka diarah menyerahkan geran asal tetapi bernasib baik kerana hanya memberi salinan geran.

"Mereka telah menyerahkan geran salinan dan berharap perjanjian itu menjadi, namun sehingga kini tiada khabar berita. Jika mereka serahkan geran asal sudah pasti ditipu.

"Jika peneroka benar-benar mahu memajak atau menjual tanah, sebaiknya berunding dengan pihak pengurusan Felda sebelum berbuat demikian," katanya.

Kastam Melaka rampas RM3.52j rokok seludup

Posted:

Kastam Melaka rampas RM3.52j rokok seludup

Kastam Melaka rampas RM3.52j rokok seludup

MELAKA 23 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini mematahkan tiga sindiket penyeludupan rokok seludup dan merampas 39,182 karton rokok putih dan keretek bernilai RM3.52 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan baru-baru ini.

Pengarah JKDM Negeri, Datuk Mohd. Nasir Said berkata, dalam operasi pukul 3.15 petang semalam, pasukan itu menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Kinrara, Puchong, Selangor.

Menurut beliau, rumah tersebut telah dijadikan stor untuk menyimpan 6,682 karton rokok putih dan keretek pelbagai jenama yang tidak mempunyai label cukai bernilai RM125,536 dengan nilai cukai sebanyak RM563,359.

"Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 30-an yang direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya di sini hari ini.

Dalam serbuan Selasa lalu, kata beliau, satu lagi sindiket penyeludupan rokok yang beroperasi di Johor Bahru tumpas apabila pihaknya merampas sebuah van yang membawa 3,000 karton rokok bernilai RM66,000 melibatkan cukai sebanyak RM306,960.

"Pemandunya berjaya melarikan diri ketika van itu ditemui di Kilometer 9.2 Lebuh Raya Utara Selatan di Tanjung Kupang, Johor," katanya.

Menurut beliau, dalam rampasan terbesar pada 16 Jun lalu, anggotanya berjaya merampas dua lori membawa 29,500 karton rokok bernilai RM547,5000 dengan nilai cukai RM1,910,130 di kawasan Rawat dan Rehat Ayer Keroh.

"Ketika kenderaan itu diperiksa, pemandunya tiada dan kita percaya lori dari negara jiran itu diletakkan di situ sementara menunggu pertukaran pemandu selain membuat penukaran nombor pendaftaran palsu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nasir memberitahu, sepanjang tahun ini pihaknya menggagalkan 22 kes penyeludupan rokok bernilai RM10.29 juta termasuk cukai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved