Sabtu, 24 September 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


AG gubal dua akta baru

Posted:

AG gubal dua akta baru

AG gubal dua akta baru

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my


HISHAMMUDDIN Tun Hussein beramah mesra dengan bekas polis pada Majlis Hari Raya Kementerian Dalam Negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 23 Sept. – Dua undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 hanya akan diumumkan selepas Jabatan Peguam Negara (AG) selesai menggubal undang-undang itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua akta baru itu akan diumumkan oleh Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya, pada peringkat ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi maklumat dalam konteks keselamatan negara.

"Maklumat (keselamatan) kepada AG itu disampaikan oleh PDRM menerusi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam.

"Kita tunggu AG yang akan mengumumkan sendiri akta baru itu nanti," katanya pada sidang akhbar di Rumah Terbuka KDN di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin menafikan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan ISA pada 16 September lalu itu bersifat retorik, sebaliknya dilakukan berlandaskan transformasi untuk membangunkan negara ini.

"Apa yang kita lakukan tidak sesekali akan menjejaskan keselamatan, ketenteraman dan keharmonian yang wujud sejak merdeka lagi.

"Tetapi perubahan yang kita lakukan ini adalah untuk mengimbangi kepentingan dan keselamatan negara dengan hak asasi serta individu setiap masyarakat di negara ini.

"Oleh itu, setiap pertimbangan yang dilakukan perlu dikaji dengan teliti dan bukan KDN sahaja terlibat sebaliknya Kementerian Penerangan serta Jabatan Perdana Menteri juga memainkan peranan," katanya.

Ujar beliau, Jemaah Menteri menyokong langkah diumumkan Perdana Menteri dan tiada muslihat mahupun agenda di sebaliknya, melainkan perancangan membawa Malaysia ke hadapan.

Jangan buat spekulasi kes samun pengurup wang

Posted:

Jangan buat spekulasi kes samun pengurup wang

Jangan buat spekulasi kes samun pengurup wang

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung kes samun seorang pengurup wang oleh tiga pegawai sebuah agensi penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 15 September lalu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan profesional bagi menyelesaikan kes tersebut.

"Justeru, polis harus diberi kepercayaan untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan sesi 2010/2011 di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 19 graduan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 33 graduan Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan menamatkan pengajian.

Ismail memberitahu, pihaknya memberi kepercayaan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk menyiasat kes samun itu yang melibatkan kerugian AS$300,000 (RM950,000).

"Saya yakin Pengarah JSJ akan dapat menjalankan siasatan dengan profesional berdasarkan penemuan baru. Petunjuk baru juga akan diperoleh dari semasa ke semasa," ujarnya.

Pada 19 September lalu, tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk memberi keterangan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun seorang pengurup wang di KLIA.

Selepas penahanan ketiga-tiga pegawai tersebut, polis kini mencari dua lagi lelaki rakyat tempatan yang dipercayai bersubahat dengan tiga pegawai berkenaan.

Dua beradik diburu polis Thailand

Posted:

Dua beradik diburu polis Thailand

Dua beradik diburu polis Thailand

Daripada RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my


Chaitath Intanuchit menunjukkan gambar suspek yang mempunyai kaitan dengan kejadian letupan bom di Sungai Golok tempoh hari, di Narathiwat kelmarin.


NARATHIWAT, Selatan Thailand 23 Sept. – Polis Thailand memburu dua beradik termasuk seorang daripadanya disahkan mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia, kerana dipercayai bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom di daerah Golok, pada 16 September lalu.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Chaitath Intanuchit berkata, wajah seorang daripada suspek berjaya dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di Hotel Merlin yang turut terjejas akibat pengeboman itu.

Beliau berkata, lelaki tersebut, Suhaidi Rubaku, 26, diburu bersama abangnya, Roslan, 27, yang dipercayai turut terlibat menghasilkan bom dan tidak menolak kemungkinan kedua-duanya telah melarikan diri dan bersembunyi di Malaysia.

Katanya, mereka yang berasal dari Mukim Peluru, Sungai Padi di selatan Thailand merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan polis Kelantan pada 14 Disember 2009 di Pasir Mas, Kelantan, kerana terlibat menghasilkan bahan letupan termasuk bom.

Jelas beliau, kedua-dua suspek adalah pengedar dadah antarabangsa diisytiharkan sebagai penjenayah merbahaya kerana turut terlibat dalam pengeboman lain di daerah Golok pada 21 Ogos dan 6 September 2009.

"Selepas mendapatkan maklumat daripada 35 saksi dan melalui rakaman CCTV, kami telah mengeluarkan arahan bahawa Suhaidi merupakan individu sangat dikehendaki polis kerana bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom itu dan abangnya dipercayai turut membantunya.

"Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa hari lalu kerana mungkin suspek berada di Malaysia selepas siasatan kami mendapati dia turut mempunyai Mykad, namun menggunakan nama berlainan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Rejimen Tentera Marin Narathiwat, Kapten Somkeart Ponprayoon.

Dalam kejadian pukul 7.30 petang, 16 September lalu, empat rakyat Malaysia maut, manakala 14 lagi cedera dalam tiga letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet di sempadan negara Thailand itu.

Chaitath berkata, rakaman CCTV yang diperoleh jelas merakamkan Suhaidi telah terlebih dahulu melintas di hadapan Hotel Merlin berulang kali dalam waktu yang singkat, sebelum meletakkan bom tersebut di sebelah hotel tanpa disedari orang lain.

Katanya, hasil siasatan mendapati pengeboman tersebut bukan ditujukan kepada rakyat Malaysia tetapi merupakan tindakan balas dendam Suhaidi dan abangnya selepas pihak berkuasa Thailand merampas pil kuda, wang tunai, senjata api dan emas milik mereka dua hari sebelum itu yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM800,000.

"Kami mendapati, beberapa pengeboman sebelum ini turut berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa merampas dan mematahkan aktiviti pengedaran dadah oleh suspek, justeru kami yakin letupan kali ini turut mempunyai motif sama.

"Jumlah rakyat Malaysia yang paling ramai terkorban adalah tidak sengaja kerana suspek sebenarnya mahu membalas dendam dan berharap letupan itu membunuh dan mencederakan lebih ramai orang," tambahnya.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek merupakan penjenayah antarabangsa yang sukar ditangkap kerana ada antaranya memiliki dua taraf kerakyatan yang memudahkan mereka untuk bersembunyi di antara dua negara. – Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved