Sabtu, 24 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Maizirah OKU serba boleh

Posted:

Maizirah OKU serba boleh

Maizirah OKU serba boleh

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ROY AZIS ABDUL AZIZ


Maizirah suka berdikari.


DENGAN dibantu dua tongkat, dia melangkah keluar dari kereta yang dipandu. Bagi yang tidak mengenalinya, pasti tidak menyangka bahawa si pemandu kenderaan tadi seorang insan kurang upaya.

Kecekapannya memandu sama seperti mereka yang sempurna. Dan sememangnya wanita berusia 49 tahun ini mengakui, tiada apa yang membezakan dirinya dengan insan lain kecuali hanya satu kaki yang hilang.

"Selagi kudrat saya ini mampu digerakkan, tidak sama sekali saya ingin meminta-minta, malah kalau terdaya saya yang akan memberi," demikian tutur wanita bernama Maizirah Alang Mohd Zin memulakan bicara.

Bertempat di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Batu Gajah, Perak, ibu tabah ini menceritakan kisah hidupnya. Kehilangan satu kaki akibat ditimpa kemalangan dua minggu selepas mendirikan rumah tangga merubah 360 darjah kehidupannya. Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar tahun 1984 itu pada mulanya cukup memberi kesan dalam hidupnya.

"Pada mulanya memang rasa susah nak terima keadaan diri. Bayangkan kita sudah biasa bergerak ke sana sini. Disebabkan kemalangan itu, saya kehilangan sebelah kaki. Mujurlah ada keluarga yang membantu memberi semangat. Akhirnya saya akur dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Bermula dari situ, Maizirah tekad untuk meneruskan hidup seperti biasa. Dia menjalani pembedahan demi pembedahan bagi memperbetulkan kakinya. Cubaan memakai kaki palsu gagal kerana kulitnya mengalami alahan teruk. Lalu berbekalkan tongkat, wanita tabah ini melakukan kerja-kerja harian seperti biasa.

Ternyata semangat ibu kepada Nurshafawati Zafirah Ahmad Tajuddin, 23 dan Muhammad Noor Sabqi Waqiuddin, 21 ini luar biasa sekali.

Bukan setakat diri diuji dengan kemalangan yang hampir meragut nyawa, naluri keibuannya turut tersentuh tatkala dua daripada empat cahaya matanya meninggal dunia sejurus dilahirkan.

"Mungkin itu antara ujian yang perlu saya lalui. Saya yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Sedih memang sedih, namun hidup tetap perlu diteruskan," katanya.

Tidak cukup dengan itu, rumah tangganya turut bergelora. Akhirnya setelah memikirkan sehabisnya, dia dan suami mengambil kata putus untuk berpisah pada tahun 2000.

Bagi Maizirah, biarlah dia hidup sendiri membesarkan anak-anak daripada hidup bersama namun tiada bahagianya. Mujurlah dia memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang. Justeru, mencari nafkah untuk membesarkan anak-anak bukanlah sesuatu yang janggal walaupun sudah bergelar OKU.

Setiap kali menjelang hari raya, Maizirah akan mengambil tempahan menjahit baju. Wanita ini turut memiliki kepakaran memasak dan turut menjadi tenaga pengajar di Kolej Komuniti. Adakalanya, dia juga menerima tempahan katering untuk pelbagai jenis juadah.

Dalam usaha menambah pendapatan keluarga, Maizirah juga terlibat dalam pelbagai jenis jualan langsung.

halangan

Bagi Maizirah, walaupun kini bergelar OKU, itu bukan halangan untuk melakukan pelbagai jenis kerja yang dilakukan insan normal yang lain.

"Saya cuma tak ada kaki, namun masih mampu bergerak dan berkerja. Itu sahaja dah cukup. Bila lihat penderitaan orang lain yang lebih susah, hati saya lagi tersentuh," katanya.

Tidak hanya ligat mencari nafkah untuk menampung keluarga sendiri, wanita ini turut aktif dalam pelbagai bidang yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat.

Selain terlibat dengan Persatuan OKU dan Persatuan Ibu Tunggal peringkat bahagian, dia juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Pemadam Batu Gajah. Lebih membanggakan, Maizirah pernah menyertai pertandingan boling OKU dan berjaya mendapat tempat ketiga peringkat negeri Perak.

Wanita serba boleh ini menyeru mereka yang senasib dengannya agar tidak mengharapkan bantuan daripada masyarakat semata-mata.

"Sampai bila kita perlu bergantung kepada orang lain. Jika benar kita tidak berdaya itu tak mengapa, tapi ada juga yang suka mengambil kesempatan," katanya dalam nada yang sedikit kecewa.

Justeru beliau turut berharap, pihak bertanggung-jawab memberi peluang kepada insan sepertinya untuk berdikari dan menjalani hidup seperti insan biasa yang lain.

Ejakulasi awal punca merajuk

Posted:

Ejakulasi awal punca merajuk

Ejakulasi awal punca merajuk


BENARKAH pramatang ejakulasi (PE) dikaitkan dengan masalah pancut awal menganggu hubungan suami isteri? – Gambar hiasan


Soalan:
DALAM satu perbualan antara rakan-rakan saya di pejabat, ada antara mereka pernah mengadu merajuk dengan suaminya kerana terlalu cepat mencapai ejakulasi ketika mereka melakukan hubungan seks.

Saya sendiri pernah mendengar tentang ejakulasi pramatang (PE) yang selalu dialami oleh kaum Adam. Doktor, mengapa perkara ini berlaku, apakah maksud sebenar PE dan bagaimana untuk mengatasinya.

Melur, Selangor

Jawapan

PE didefinisikan sebagai satu keadaan yang menyebabkan lelaki memancutkan air maninya terlalu cepat sebelum masanya. Klimaks selalunya mendahului kehendak lelaki itu sendiri mahupun pasangannya sehingga tidak sempat memberi dan merasakan kepuasan yang lebih lama dalam hubungan seksual.

Ia boleh dikenali sebagai keadaan perubatan yang boleh memberi kesan kepada mana-mana lelaki yang boleh dikenal pasti melalui:

*Pancutan yang berlaku dalam masa seminit atau kurang selepas masuk ke dalam vagina.

*Langsung tidak mampu mengawal pancutan dengan cepat setiap kali hendak atau masuk ke dalam vagina.

*Menyebabkan perlakuan negatif seperti stres, kekecewaan ataupun terus mengelak melakukan hubungan seks.

Antara rawatan yang disarankan adalah komunikasi antara pasangan, pendidikan psiko-seksual, strategi pemikiran dan perbuatan. Ini termasuk beberapa teknik seperti stop-start (Semens 1956 iaitu berhenti, kemudian mula. Selain itu, squeeze (Master and Johnson 1970) iaitu tahan pancutan dengan memegang atau memicit dan stop-pause (Kaplen 1980) iaitu berhenti dan tunggu.

kombinasi faktor fisiologi dan psikologi dipercayai mempengaruhi mekanisme ejakulasi. Penyelidikan mendapati bahawa serotonin, sejenis neurotransmiter (seperti penghantar isyarat kimia dalam otak) yang juga membantu mengawal tidur dan selera, menyederhanakan mood dan mengurangkan kesakitan, memainkan peranan penting menentukan masa ejakulasi.

Matlamat utama bagi terapi PE, tidak kira sama ada berbentuk farmakologi atau tingkah laku ialah untuk meningkatkan kawalan terhadap ejakulasi. Ia mungkin menghasilkan tahap kepuasan seks yang lebih tinggi bagi lelaki dan pasangannya, atau mengurangkan keresahan peribadi atau masalah keintiman yang timbul.

Dalam pada itu, ubat yang diiktiraf ialah Dapoxetine.

Bukan penyebab ketidaksuburan

Soalan

SAYA berumur 35 tahun dan baru tiga tahun berkahwin dan masih belum dikurniakan anak. Saya merasakan diri saya mungkin berhadapan dengan masalah PE. Adakah masalah saya ini petanda saya tidak subur hingga menyukarkan memperolehi anak? Apakah yang perlu saya lakukan?

Lelaki Delima

Jawapan

PE sebenarnya tidak menyebabkan ketidaksuburan tetapi ia boleh menyukarkan seseorang wanita sukar mengandung terutamanya apabila pancutan berlaku sebelum ia masuk ke dalam vagina. Ia juga memberi kesan kepada emosi, fizikal dan mental seseorang lelaki. Melalui pengalaman pesakit PE, kebanyakan mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah, murung dan tertekan. Emosi dan perasaan mereka kadang-kadang tidak menentu, resah, cepat baran atau marah dan menjejaskan rutin seharian mereka dalam jangka masa yang panjang.

Saya nasihatkan anda berjumpa pakar, lakukan pemeriksaan untuk menjalani rawatan yang betul.

Jejas hubungan intim?

Soalan

BENARKAH pramatang ejakulasi (PE) dikaitkan dengan masalah pancut awal menganggu hubungan suami isteri? Adakah ia satu penyakit serius? Kebiasaannya, apakah yang akan doktor lakukan untuk memeriksa sama ada seseorang lelaki menghidap penyakit ini?

JJ, Perak

Jawapan

Ya, PE bermakna pancutan terlalu cepat dan ia merupakan punca yang selalu dikaitkan dengan masalah seksual. Mengikut kajian, sehingga 29 peratus lelaki mungkin menghidap PE di Malaysia. Ia menjadi serius apabila menjadi punca hubungan suami isteri tidak bahagia dan tertekan. Dalam beberapa kes PE yang dapat dikesan, rumahtangga terjejas hanya kerana masalah kecil dalam hubungan seks suami isteri.

Apabila pesakit berjumpa doktor, analisis dan sejarah seksual pesakit akan diambil untuk diagnosis PE. Saya menggalakkan pasangan iaitu isteri turut hadir berjumpa doktor untuk berbincang dan mendapatkan maklumat seksual mereka dengan lebih tepat.

Dalam pada itu, kaum lelaki perlu sedar bahawa PE adalah masalah perubatan yang boleh menjejaskan hubungan intim dan kualiti kehidupan. Justeru itu, mereka perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved