Khamis, 25 Ogos 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pakar asing kedua beri keterangan

Posted:

Pakar asing kedua beri keterangan

Pakar asing kedua beri keterangan

oleh AMIRUDDIN HARUN
dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat bela diri yang masuk hari keempat hari ini di Mahkamah Tinggi di sini bertukar menjadi dewan kuliah mata pelajaran kimia apabila pakar asid deoksiribonukleik (DNA), Dr. Brian McDonald dipanggil memberi keterangan.

Pakar asing kedua yang menjadi saksi pembelaan keempat itu dengan panjang lebar memberi keterangan berhubung perkara-perkara berkaitan DNA termasuk terminologi, cara-cara pengumpulan dan pemeriksaan sperma serta garis panduan bagi makmal forensik sehingga menimbulkan kebosanan dalam kalangan orang awam dan petugas media di galeri awam.

Peguam Ram Karpal Singh yang ditugaskan menyoal McDonald, 60, dalam pemeriksaan utama itu mengemukakan soalan-soalan berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan oleh dua ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saidon yang merupakan saksi-saksi pendakwaan.

Keterangan oleh pakar dari Australia itu bagaimanapun diikuti dengan penuh tekun oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang dilihat kerap kali menongkat dagu sewaktu mendengar penjelasan saksi berkenaan.

Lay Hong yang merupakan Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Kimia Malaysia turut hadir membantu pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Beliau duduk di tengah-tengah antara Mohd. Yusof dan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin yang mengendalikan pemeriksaan utama terhadap Lay Hong dan Nor Aidora di peringkat pendakwaan.

Dalam keterangannya, McDonald antara lain menyatakan, sesebuah makmal forensik perlu memenuhi garis panduan di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan pengiktirafan ISO 17025 sebelum sampel yang diperiksa oleh makmal terbabit boleh dianggap berintegriti.

Menurutnya, ini bermakna lembaga akreditasi akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan bahawa makmal terbabit telah memenuhi garis panduan yang ditetapkan sebelum diberikan status piawaian berkenaan.

Menurut beliau, di Australia, sesebuah makmal forensik perlu memperoleh akreditasi sekiranya barang-barang kes yang diperiksa ingin dijadikan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Ram Karpal kemudian meminta saksi berkenaan merujuk kepada sepucuk surat dari American Society Crime Laboratory Directors/Laboratory Accreditation Board (ASCLD) bertarikh 5 April lalu yang ditujukan kepada Ketua Seksyen DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon.

Berdasarkan surat tersebut, makmal forensik jabatan kimia berkenaan didakwa masih belum diakreditasi tetapi keterangan tersebut dibantah oleh Mohd. Yusof dengan alasan surat itu bukan ditulis atau ditujukan kepada McDonald, sehingga berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya.

Hakim Mohamad Zabidin bagaimanapun kemudian membenarkan surat itu ditandakan sebagai ID (bahan yang belum dijadikan bukti).

Surat itu antara lain menyatakan bahawa ASCLD membenarkan permohonan jabatan tersebut untuk mendapatkan status akreditasi dilanjutkan dari 18 April lalu kepada 18 Oktober depan.

Jabatan berkenaan sebelum ini telah memohon untuk mendapatkan akreditasi di bawah piawaian ISO pada 2005 dan diletakkan dalam tempoh percubaan selama lima tahun yang sepatutnya berakhir pada tahun lalu tetapi dilanjutkan sehingga 18 April lalu.

Dalam pemeriksaan utama itu, Ram Karpal turut menimbulkan isu kesilapan tarikh pada label dua bekas mengandungi sampel DNA pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang sepatutnya bertarikh 28 Jun 2008 (masa sampel itu diambil) dan bukannya 26 Jun 2008 (hari kejadian), yang dihantar kepada Lay Hong untuk dianalisis.

Menurut McDonald, sekiranya berlaku kesilapan sedemikian, tindakan perlu diambil untuk mengesahkan dan membetulkannya serta langkah-langkah tersebut direkodkan, selain mengenal pasti bila dan siapa yang melakukan kesilapan berkenaan.

Menjawab pertanyaan lain peguam tersebut, McDonald memberitahu, dalam kes melibatkan sampel air mani yang diambil melalui calitan putik kapas, sampel berkenaan sepatutnya turut diletakkan di sisip kaca (slide) bagi tujuan pemeriksaan.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa dalam kes-kes melibatkan serangan seksual, langkah tersebut diperlukan untuk menentukan kehadiran sperma pada calitan putik kapas itu sebelum mentafsir keputusan analisis di makmal.

Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, kira-kira 30 lelaki yang memakai kemeja-T kuning berkumpul di hadapan kompleks mahkamah tersebut sambil memegang kain rentang 'Selamat Hari Raya peliwat 2.0' dan 'Keadilan Untuk Saiful'.

Perbicaraan bersambung esok.

Dua peguam diarah tandatangan tanpa kehadiran Sosilawati

Posted:

Dua peguam diarah tandatangan tanpa kehadiran Sosilawati

Dua peguam diarah tandatangan tanpa kehadiran Sosilawati


TERTUDUH kes pembunuhan Sosilawati Lawiya, N. Pathmanabhan bersama tiga tertuduh lain diiringi polis keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah


SHAH ALAM 25 Ogos - Dua peguam yang pernah bekerja dengan N. Pathmanabhan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa mereka menurunkan tandatangan sebagai saksi terhadap dua dokumen perjanjian jual beli tanah antara Datuk Sosilawati Lawiya dengan individu lain pada Ogos tahun lalu tanpa kehadiran kedua-dua pihak.

Kam Sani, 38, dan Nor Zairawaty Abd. Razak, 31, yang masing-masing meninggalkan Pathma Nalli & Partners pada November dan September tahun lalu selepas firma guaman itu disita turut mengakui perbuatan tersebut menyalahi undang-undang.

Kedua-duanya bagaimanapun mendakwa terpaksa berbuat demikian selepas diarahkan oleh Pathmanabhan yang merupakan pemilik firma guaman tersebut dan majikan mereka.

Kam yang juga saksi pendakwaan ke-39 memberitahu dia diarahkan menjadi saksi bagi perjanjian jual beli hartanah di Pulau Pinang antara Southern Symphony Sdn. Bhd. (Southern Symphony) yang diwakili Sosilawati sebagai pengarah dengan satu pihak lain pada 3 Ogos 2010.

"Sebagai peguam, saya tahu tidak boleh tandatangan tanpa kehadiran pihak-pihak terbabit, tetapi saya terpaksa lakukan sebab majikan saya, Pathmanabhan arahkan saya.

"Saya ada bertanya adakah itu tandatangan Sosilawati, Pathmanabhan berkata ya, semuanya teratur dan tidak perlu risau. Masa tu dokumen belum dimatikan setem, tarikh pun belum ada," jelas beliau.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, bekas peguam bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Kam, walaupun namanya dipinjamkan sebagai rakan kongsi Pathmanabhan dan bertanggungjawab menandatangani cek apabila lesen guaman lelaki itu digantung, dia tidak mendapat sebarang kelebihan atau bayaran, sebaliknya hanya diberi gaji tetap sebagai peguam di firma itu.

Pada prosiding hari ini, dia turut mengecam Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan sebagai individu yang pernah datang ke pejabat firma guaman Pathmanabhan yang lama di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting untuk memindahkan barang-barang ke pejabat baharu di Jalan Kemboja.

"Saya kenal Kathavarayan sebab pernah mewakilinya di Mahkamah Majistret bagi kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (kes ugut). Dalam tahun 2008 saya selalu jumpa dia berhubung kes itu.

"Walaupun kes itu sudah selesai selepas dia dilepas tanpa dibebaskan, Kathavayaran kerap datang ke pejabat. Saya mendapat tahu dia bekerja dengan Pathmanabhan sebagai pembantu," jelasnya.

Suri rumah itu turut memberitahu, Pathmanabhan pernah memaklumkan kepadanya yang dia ada membeli sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting.

Sementara itu, Nor Zairawaty pula memberitahu diarah menandatangani dokumen perjanjian jual beli hartanah antara syarikat Southern Symphony dengan Ample Quality Sdn. Bhd. pada pukul 11 pagi, 20 Ogos 2010.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani sama ada boleh atau tidak dia menurunkan tandatangan sekiranya diarahkan berbuat demikian, saksi memberitahu:

"Pathmanabhan ada di sebelah saya dan suruh saya tandatangan. Saya boleh kata tak nak, tetapi dia majikan saya."

Sebagaimana Kam, Nor Zairawaty juga pernah melihat Sosilawati datang ke pejabat Pathmanabhan atas urusan jual beli hartanah pada 2008 selain diarah ke mahkamah di Pulau Pinang pada 14 Ogos tahun lalu untuk menarik balik kayveat ke atas tanah yang dibeli jutawan kosmetik itu daripada seorang lelaki India.

Menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon, saksi itu mengesahkan Datuk Abdul Rahman Palil pernah datang ke pejabat baharu dan lama firma guaman itu atas urusan hartanah tetapi tidak mengetahui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa itu ialah pengarah Ample Quality.

Semasa disoal oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir pula, saksi mengesahkan tidak melihat geran tanah berkaitan semasa menandatangani perjanjian jual beli tersebut.

Perbicaraan yang masuk hari ke-27 bersambung esok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved