Khamis, 14 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Berazam sambung persekolahan lepas bersalin

Posted:

Berazam sambung persekolahan lepas bersalin

Berazam sambung persekolahan lepas bersalin

BERANI mengambil keputusan untuk bercerai, tetapi apabila melibatkan soal anak, pasangan suami isteri yang bercerai pasti lepas tangan. Seperti nasib yang menimpa Kartini Kamaruddin (bukan nama sebenar) yang ditemui di Rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Subang Jaya Selangor baru-baru ini.

Sementah usia 14 tahun, kini dia sarat mengandung. Malah sebenarnya sedang menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak hasil hubungan luar nikah dengan seorang lelaki durjana bernama Hisyam Shamsuddin (bukan nama sebenar), 20.

Bagaimana boleh mengandung, jika tidak kerana satu hubungan seks?

Lebih parah, Kartini yang jahil agama tidak tahu pun bahawa hubungan seks dengan Hisham adalah salah. Kerana itu hubungan terlarang tersebut berlaku berulang-ulang kali.

Baik di rumah Hisham, di rumah kawan-kawan Hisham malah dalam kereta sekalipun, Kartini tidak pernah membantah dirinya diratah.

"Suka sama suka," ujarnya pendek.

Bagaimana Kartini yang berasal dari kawasan perumahan Felda di selatan Perak itu tidak tahu bahawa seks di luar nikah adalah zina? Adalah satu dosa? Dan satu kebejatan sosial yang stigma buruk dilemparkan oleh masyarakat tidak akan pernah berubah terhadap si pelaku itu?

Dia tidak tahu semua itu kerana tidak pernah diajarkan begitu.

Tidak diajar? Apakah yang boleh kita harapkan untuk memastikan dia tahu segala-galanya? Sedangkan selama ini dia tidak pernah mendapat bimbingan, didikan dan sentuhan kasih sayang daripada si ayah apatah lagi si ibu.

Mereka dengan ego masing-masing hanya tahu mencari hala dan jalan masing-masing selepas bercerai di saat Kartini berusia dua tahun.

Sayu hati mengenangkan sehingga kini Kartini tidak pernah menatap wajah orang tuanya sendiri. Entahkan masih hidup atau sudah mati sejak berlaku detik perceraian yang sangat hitam itu.

"Sejak ditinggalkan mak dan ayah, neneklah yang menjaga saya. Sejak itu jugalah langsung tiada khabar berita mengenai mak dan ayah, jauh sekali untuk menjenguk saya dan nenek sehinggalah ke hari ini," ujarnya.

Kartini mengakui bahawa dengan nenek, makan minum pakainya terjaga dan mencukupi. Begitu juga dengan kasih sayang tetapi tidak lebih dari itu.

Walaupun bersekolah di sebuah sekolah menengah di kampungnya tetapi jauh daripada mendapat didikan yang sempurna, mempunyai kawalan kendiri dan mengerti soal maruah dan harga diri yang sepatutnya diterima daripada ibu bapa.

Kartini menerima huluran tangan Hisyam yang muncul di saat dia seorang diri.

Atau lebih tepatnya, hasil lepak-lepak di tepi jalan, siapa juga pemuda yang datang menegur, Kartini tidak ada masalah membalas.

Tanpa menyedari niat sebenar lagi kotor yang bersalut di hati pemuda yang berkerja di sebuah kilang membuat kereta di utara Selangor itu, Kartini senang menghabiskan masa senggang bersamanya.

Hampir setiap petang Kartini akan menyelinap keluar dari rumah semata-mata untuk menemani Hisyam yang akan mengajaknya berjalan-jalan ke mana sahaja.

Dengan sikapnya yang rela memenuhi segala permintaan Kartini untuk dibelikan itu dan ini menyebabkan hati remaja ini semakin tertambat kepada Hisyam, yang dianggap satu kebaikan dan kemuliaan seorang lelaki yang sudi untuk membelikan apa sahaja.

Akhirnya, Kartini terjebak pada perangkap yang dipasang oleh Hisyam. Maka berlakulah perlakuan-perlakuan yang tidak senonoh lagi sumbang dan menjijikkan tanpa dibantah sedikit pun oleh Kartini.

"Tidak sampai sebulan pun sejak kami mula berkenalan," ujarnya berterus terang.

Membenarkan dirinya disentuh malah Kartini mengakui Hisyam melayaninya umpama puteri hingga menyebabkan dirinya dinodai bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi.

Setelah dirinya hamil pun, Kartini masih lagi naif dengan nasib yang menimpa diri.

Tambahan pula kehamilan itu tidak pernah bocor kepada pengetahuan sesiapa, baik rakan-rakan, guru-guru di sekolah sehinggalah kepada neneknya sendiri.

"Nenek hanya tegur apabila badan saya semakin naik itu sahaja," katanya.

Malah sehingga kandungannya memasuki lima ke enam bulan, Kartini seperti biasa ke sekolah kerana kandungannnya masih tidak nampak hingga boleh menimbulkan rasa curiga pada orang lain.

Sehinggalah salah seorang ibu saudaranya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendapati perut Kartini semakin membusung tinggi. Ketika itu ia sudah tidak dapat dirahsiakan lagi.

Supaya bau tembelang yang pecah tidak busuk sekampung, Kartini perlu segera diselamatkan, sekurang-kurangnya supaya maruah keluarga (masih) terpelihara.

"Sebenarnya saya ada menghubungi Hisyam, memberitahunya yang saya tidak lagi datang bulan dan syak saya mengandung. Dia terus berjanji untuk mencarikan ubat yang boleh membuatkan saya datang bulan.

"Saya pun tunggu, tetapi lama kelamaan dia senyap. Tidak lagi datang mencari saya sehinggalah saya akhirnya dapat bercakap dengannya, tiba-tiba Hisyam mengaku bahawa dia sebenarnya sudah bertunang.

"Saya pun terdiam, tidak tahu hendak kata apa. Saya cuba hubungi dia lagi. Puas saya mendail nombor telefon bimbitnya dan akhirnya entah lelaki mana yang jawab!" ujarnya lemah.

Sehinggalah si ibu saudara menemui maklumat mengenai Baitul Fiqh ini, melalui sebuah majalah wanita, lalu Kartini pun segera di hantar ke sini!

"Bila masuk di sini, barulah buat pertama kali saya dihantar ke hospital (untuk menjalani pemeriksaan ibu mengandung) dan mujurlah saya (dan kandungan yang sudah masuk tujuh bulan itu) dalam keadaan sihat sehingga hari ini," ujarnya.

Di Baitul Fiqh, Kartini adalah antara penghuni termuda yang pernah menjalani 'perlindungan' sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2006.

Namun Kartini kelihatan ceria dan cergas walaupun sesekali mengesat air mata kala bercerita dan berazam akan kembali sebagai Kartini yang baru - serba baru.

"Saya hendak sambung sekolah dan tidak mahu lagi jadi begini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Menjadi mangsa kerakusan teman lelaki

Posted:

Menjadi mangsa kerakusan teman lelaki

Menjadi mangsa kerakusan teman lelaki

MASALAH sosial terutamanya yang melibatkan remaja perempuan hamil luar nikah benar-benar tidak mengenal mangsa. Bukan sahaja anak mangsa perceraian mudah terjebak, begitu juga si remaja yang dalam kawalan ibu bapa!

Sebab itu orang tua ada berkata menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang.

Begitulah yang terjadi kepada Mardiah Mahmud (bukan nama sebenar), 14, yang merupakan anak tunggal yang selama ini menjadi belahan jiwa, segunung intan ibu bapanya.

Namun akhirnya angkara hubungan dengan teman lelaki, Mardiah kini mengandung anak luar nikah.

Mardiah sama sekali tidak menduga bahawa teman lelaki yang selama ini begitu dipercayai akhirnya tiada beza seperti lelaki-lelaki rakus yang lain.

"Saya kenal Faizal (bukan nama sebenar) bukannya baru. Kami kenal lama, hampir empat lima tahun rasanya. Tapi tak sangka dia sanggup buat saya begini," ujar Mardiah sambil menahan sebak.

"Ayah seorang yang sangat garang," katanya pendek.

Kata-kata yang cukup mematikan soalan dan segala-galanya terjawab dengan sendirinya. Apabila si ayah bertindak seperti itu, maka teman lelaki adalah satu cara untuk Mardiah melarikan diri.

Berbanding remaja lain yang lazimnya agresif dan aktif, Mardiah adalah sebaliknya. Jiwanya sangat halus. Orangnya lemah lembut dan lebih banyak tersenyum daripada berkata-kata.

Maka kelembutannya sangat bertentangan dengan sikap bapanya yang sering mengongkong dan mengawal yang menyebabkan hatinya mudah terguris dan banyak tangisan dipendam dalam hati.

Beliau tidak mampu untuk memberontak. Namun dengan kehadiran Faizal, maka figura seorang ayah semakin hilang dari pandangan mata dan diganti Faizal yang pandai mengambil hati.

Ditambah lagi Faizal yang lebih berusia daripadanya (19 tahun) dilihat sebagai seorang pemuda yang matang, yang tidak mungkin akan mengambil apa-apa kesempatan ke atasnya.

Mardiah lebih mengikut telunjuk Faizal. Hubungan mereka terjalin baik tetapi penuh berhati-hati terutamanya daripada pengetahuan ibu bapa Mardiah.

Sehinggalah tanpa di sangka, pada suatu hari yang berlakunya tragedi itu, Faizal telah menunjukkan belangnya yang sebenar.

Ketika mereka bersama menaiki motosikal yang asalnya bertujuan untuk berjalan-jalan tetapi akhirnya melencong ke sebuah rumah kosong.

"Saya benar-benar tergamam. Faizal bertukar umpama singa yang buas. Saya tidak mampu melawan dan melarikan diri apabila di rumah kosong itu. Saya menjadi mangsa kerakusan nafsu Faizal.

"Tetapi apabila Faizal berjanji untuk bertanggungjawab, saya pun (senyap)...." katanya.

Apabila tidak datang haid selepas peristiwa hitam itu, Mardiah tidak sedikit pun bimbang kerana sebelum ini pun beliau sering mengalami kitaran bulanan yang tidak teratur.

Namun segala-galanya terbongkar dan jangkaan jauh meleset apabila sebenarnya Mardiah didapati mengandung apabila disahkan oleh doktor.

Ia diketahui apabila Mardiah mengadu mengalami sakit-sakit di bahagian pinggang dan mengalami bengkak di kaki dan akibatnya doktor menemui punca sebenar yang menyebabkan beliau sakit-sakit itu!

Saat itu, ibu bapa mana dapat menyorokkan muka. Satu-satunya anak yang selama ini begitu dijaga dan dikawal akhirnya memalitkan arang di muka mereka.

Namun malu itu cepat-cepat hendak ditutup. Mardiah segera dihantar ke Baitul Fiqh bagi membolehkan remaja ini menjalani tempoh mengandung sehingga selamat bersalin tanpa diketahui oleh sesiapa.

Yang membezakan lagi antara dua kes remaja ini, iaitu Kartini akan menyerahkan anak yang bakal lahir sebagai anak angkat kepada satu pasangan suami isteri.

Sementara Mardiah memberitahu bahawa ibunya ingin membela dan menjaga anak yang bakal lahir itu.

Persamaan antara kes Kartini dan Mardiah ini hanyalah satu - mereka tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap jenayah perkosaan yang dilakukan oleh teman lelaki masing-masing.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved